Pendidikan bertaraf dunia

SUKAR mengikis stigma negatif masyarakat negara maju mengenai tahap kemampuan sistem pendidikan negara membangun kononnya kurang berkualiti dan tidak mampu memenuhi piawaian antarabangsa.

Sikap memperlekehkan sistem pendidikan itu jelas dengan pengamalan diskriminasi, pandangan tidak tepat dan berasas mengenai kualiti malah menganggap kemudahan disediakan tidak menepati standard diperlukan.

Persepsi kurang tepat itu bukan saja memburukkan institusi pendidikan negara membangun malah merencatkan usaha memartabatkan kesamarataan hak memperoleh ilmu di kalangan masyarakat tanpa sempadan.

Hakikatnya, banyak institusi di kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia diiktiraf dan dipilih hub pendidikan terbaik dunia.

Kualitinya setara malah mungkin lebih baik berbanding negara maju.

Sebahagian besar institusi pendidikan itu mempunyai pengalaman, kekuatan malah menyediakan modul terkini hingga mampu melahirkan pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang.

Kejayaan demi kejayaan diiktiraf namun masih ada tanggapan atau suara sumbang memandang rendah institusi pendidikan itu.

Justeru, benarkah suara sumbang kononnya sistem pendidikan negara membangun tidak mampu bersaing kerana jurang globalisasi terlalu luas? Pengurus Pendidikan Fakulti Perubatan Universiti Airlangga (UNAIR), Surabaya, Indonesia, Profesor Dr Imam Susilo, berkata persepsi itu boleh meneng-gelamkan usaha sesebuah institusi membina nama dan reputasi kejayaan.

Menurutnya, walaupun bukan semua negara membangun memberi nilai pendidikan berkualiti, usaha institusi pendidikan di negara berkenaan wajar disokong.

“Masyarakat antarabangsa perlu memahami, bukan semua institusi di negara membangun tidak bagus, malah ada mempunyai rekod kejayaan.

“Malangnya, kerana diskriminasi dan pandang serong, institusi itu tidak dikenali.

“Di negara maju, kejayaan universiti mungkin diukur melalui nama atau hasil penyelidikan.

Tapi, bukan bermakna institusi negara membangun tidak menyumbang atau tiada pencapaian.

“Mungkin medium digunakan terhad menjadikan hasil penyelidikan tidak diketahui melainkan di kalangan masyarakat setempat,” katanya dalam temu bual di Surabaya, Indonesia, baru-baru ini.

Kritikan selalunya mencakupi aspek kekurangan kemudahan pengajian, piawaian standard pembelajaran rendah dan ketinggalan silibus pengajian selain kekurangan sokongan sistem pengantarabangsaan.

Keghairahan melemparkan tanggapan negatif itu menenggelamkan kejayaan pernah dicapai institusi negara membangun dalam kategori elit seperti Times Higher Education Supplement ( THES) dan The Academic Ranking of World Universities (ARWU).

Universiti Malaya (UM), Universitas Gadja Mada, (Indonesia), Chulalongkorn University (Thailand) dan Chinese University of Hong Kong adalah contoh institusi tersenarai dalam dua kategori itu.

Dr Imam memberi contoh bagaimana kebanyakan negara luar memberi persepsi salah mengenai kemampuan universiti di Indonesia yang melahirkan doktor perubatan dan farmasi terbaik di Asia Tenggara.

“Pandangan skeptikal itu bukan saja boleh membunuh semangat institusi dan pelajar tapi memberi pandangan serong kepada negara luar terhadap kemampuan kita menawarkan sistem pendidikan.

“Malah, ini membantutkan hasrat menghantar pelajar dan menyekat transformasi ilmu antara satu sama lain.

“Ia pasti merugikan kerana banyak pengetahuan baru tidak mampu dikongsi hanya kerana tanggapan salah,” katanya.

Ditanya jika tanggapan itu disebabkan faktor kos lebih rendah menyebabkan kualiti sesebuah institusi dipertikaikan, beliau berkata: “Jika negara maju mempertikaikan kos, itu mustahil kerana mereka pasti memilih institusi menawarkan yuran rendah. Jika faktor kualiti, kebanyakan institusi di negara membangun mampu menyediakan kemudahan lengkap.

“Kesimpulannya, mereka mendapat gambaran salah mengenai kemampuan sesebuah negara.

“Negara membangun bukan negara kelas ketiga, kemudahan disediakan mencukupi.

Yang penting, gandakan usaha meneroka bidang ilmu baru.” Beliau berkata, bukan sukar membina nama jika ada usaha berterusan selain memperbaiki kelemahan sistem akademik dan meningkatkan tesis serta penyelidikan.

“Nama bukan jaminan institusi itu cemerlang atau berjaya tapi diadili berdasarkan kemampuan, kaedah pembelajaran, keupayaan penyelidikan dan program ditawarkan.

“Semakin banyak program dan hasil penyelidikan berkualiti dikeluarkan, semakin tinggi prestij sesebuah institusi itu,” katanya.

Seorang penulis, Jessica Ponden, berkata pemilihan sesebuah institusi bukan berdasarkan nama namun keupayaannya memberi pendidikan akademik terbaik, aktif melakukan penyelidikan serta mampu memberi peluang warganya memperoleh ilmu baru.

Beliau menggariskan panduan memilih institusi iaitu saiz, lokasi, kos pembelajaran dan sara diri, kemampuan akademik, aktiviti dan program serta populasi pelajar dan pensyarah.

“Memberi atau membuat penilaian berdasarkan kedudukan sesebuah negara tidak penting kerana tahap kemampuan institusi boleh dipertikaikan.

“Yang penting, penjanaan dan pembangunan sesebuah institusi itu menerusi produknya boleh membantu membina nama selain menjadi pilihan masyarakat,” katanya.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers

%d bloggers like this: