Teroka misteri Gua Tempurung

MENDENGAR cerita orang mengenai keunikan Gua Tempurung membuat saya hanya memendam rasa apabila tidak berkesempatan meneroka perut gua itu ketika pertama kali berkunjung ke Gopeng, awal tahun lalu.

Kurang empat bulan kemudian, jemputan Olympus kembali membawa saya ke pedalaman Perak yang kaya dengan pelbagai tarikan semula jadi itu. Kali ini dengan tugasan lebih mencabar – menjelajah perut Gua Tempurung “bertemankan” kamera digital terbaru Olympus (mju) u 790 SW dan u 795 SW.

Perjalanan peserta yang diangkut dengan dua lori sudah membayangkan cabaran getir yang bakal kami lalui. Dalam perjalanan, ada yang menjerit apabila sarang kerengga jatuh ke kepala peserta.

Bagaimanapun, cabaran sebenar bermula sebaik saja menjejaki pintu gua. Dengan bantuan lampu suluh, kami mula berjalan perlahan-lahan dalam keadaan gelap. Air Sungai Perah yang mengalir di lantai gua ada kalanya menambah rasa sejuk udara dari dalam perut gua.

Daripada berdiri, merangkak, mencangkung, meniarap sehingga berenang katak, semuanya terpaksa dilakukan bagi memudahkan pergerakan.

Pendek kata, semuanya kelihatan seperti komando yang melaksanakan misi khas.

Kurang setengah kilometer (km), kami tiba di kawasan agak lapang. Dari sini kami “dikerah” mendaki bukit yang agak curam. Di satu sudut, kelihatan batu amaran ditulis dalam bahasa Cina kepada pelombong mengenai bahaya banjir.

Berdiri di atas bukit membuatkan saya sedar mengenai betapa luasnya gua ini. Wujud sejak 8,000 tahun sebelum Masihi, ia menyimpan misteri di sebalik pembentukan pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit yang unik.

Apalah yang sudah disaksikan stalagmit dan stalaktit ini? Sejak berzaman, ia menjadi penonton setia kepada segala macam ragam “penghuninya”.

Mengikut cerita orang lama, gua sepanjang dua km itu terletak antara Gunung Tempurung dan Gunung Rajah ini sudah lama dijadikan tempat bertapa.

Puas saya mengorek cerita misteri daripada jurupandu veteran Gua Tempurung yang kini sudah bersara tetapi dia pantas menolak, “biarlah saya simpan dalam diri saya”.

Bagaimanapun, dia sempat bercerita pengalaman meneroka ruangan gua bersama pengkaji dari Australia pada pertengahan 90-an. Ekspedisi mustahil itu hampir meragut nyawanya apabila terperangkap dalam gua.

“Banyak yang saya saksikan, ada yang “manusia” ada yang “bukan”. Kami juga menemui peralatan melombong bijih yang ditinggalkan. Kini, banyak yang sudah dialihkan atau dibawa keluar.

“Paling tidak boleh saya lupakan apabila banjir menyebabkan kami ‘terkurung’ dalam gua hampir 10 jam. Mujurlah, paras air tidak naik ke lokasi kami berada. Mungkin belum sampai ajal, saya tidak tahu.

Semuanya urusan Yang Esa,” katanya.

Pada 1950-an, gua ini mula dijadikan tempat persembunyian komunis sehingga 10 tahun kemudian. Dekad 70-an menyaksikan ia mula menjadi tumpuan pelombong bijih timah yang ditemui di sungai dalam gua.

Mungkin kerana kerakusan melombong “emas hitam” itu, ada yang menemui ajal di dalamnya. Seperti lombong lain, ia diabaikan apabila hasil bijih mula berkurangan.

Berbanding tanggapan awal mengenai keadaannya yang sempit, gua ini mempunyai lima kubah besar, setiap satunya mempunyai siling menyerupai tempurung kelapa yang berbeza dari segi stalagmit dan stalaktit, suhu dan kandungan marmarnya.Ruang kubah ini tak ubah seperti lobi hotel dengan siling tinggi. Malah, ketinggian dan keluasan ada kalanya kelihatan seperti terminal lapangan terbang kecil. Bezanya, terminal ini lengkap dengan pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit yang unik.

Terowong Angin pula membuatkan pengunjung terasa berada di puncak gunung.

Secara saintifiknya, suhu sejuk itu terhasil daripada proses pengewapan iaitu pertembungan udara panas di luar gua dan udara sejuk di dalam gua sehingga menghasilkan wap air.

Top of the World pula memberi pemandangan sebahagian besar gua tempurung ini.

Dengan pancaran lampu suluh, pelbagai “jelmaan” dapat dilihat termasuk perempuan mengandung, patung Buddha dan monyet memandu kereta.

Meneroka gua ini amat memenatkan tetapi menyeronokkan.

Baju sudah lencun dengan air sungai semakin kotor apabila disuruh menggelongsor menuruni bukit. Di satu bahagian, kami perlu meloloskan diri melalui lubang kecil yang dipanggil lubang tikus – dipercayai laluan air terjun satu ketika dulu.

Kesempatan terluang tidak dilepaskan untuk menguji sendiri kamera Olympus . Ternyata, ia pilihan tepat untuk pengembara dan penggemar aktiviti lasak. Bukan saja tahan gegaran, ia juga kalis air sehingga hampir empat kaki (u 790 SW) dan 10 kaki (u 795 SW).

Hampir separuh perjalanan keluar diisi dengan mendaki 450 anak tangga. Platform yang panjang dengan cahaya lampu malap tidak ubah seperti set majlis puak dalam program realiti “Survivor”.

Sedar tidak sedar, perjalanan sepanjang 3.8 km meneroka gua ini sudah memakan masa hampir dua jam setengah.

Biarpun mengah, hati terasa puas mengenangkan gambar dan rakaman video diambil menggunakan kamera Olympus masih tersimpan elok.

>Info
Ada empat pakej lawatan ke dalam gua yang sedia untuk dipilih jika berhajat melawat Gua Tempurung.

Empat pakej lawatan menarik yang disediakan itu membabitkan aktiviti perjalanan catwalk (perjalanan kering di pelantar) serta perjalanan catwalk yang diselangi acara menyusuri anak sungai.

Perjalanan catwalk (perjalanan kering di pelantar) >Pakej lawatan 1: Golden Flowstone

  • Lawatan di lorong pejalan kaki yang mengambil masa 40 minit.
  • Bayaran RM6 (dewasa), RM2.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).

Pakej lawatan 2: Top of The World

  • Lawatan selama satu jam 45 minit menjelajah bahagian menarik di dalam gua.
  • Perjalanan mulai pintu masuk gua sehingga ke stesen pelantar lima (Dewan Alam Gergasi).
  • Bayaran RM9 (dewasa), RM4.50 (kanak-kanak), RM3 (warga emas).
  • Perjalanan catwalk & menyusuri sungai bawah tanah (perjalanan basah).

Pakej lawatan 3: Top of The World & Short River Adventure

  • Aktiviti berkumpulan yang mencabar dalam perjalanan sejauh dua jam 30 minit.
  • Perjalanan sejauh 2.4 kilometer menjelajah pelbagai laluan berliku, termasuk menyusuri anak sungai.
  • Bayaran RM11 (dewasa), RM6 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).

Pakej lawatan 4: Grand Tour

  • Ekspedisi berkumpulan paling mencabar dengan perjalanan sejauh 3.8 km dengan berjalan kaki sehingga ke pelantar 10.
  • Cabaran diteruskan dengan aktiviti menyusuri anak sungai.
  • Keseluruhan aktiviti mengambil masa selama tiga jam 30 minit.
  • Bayaran RM22 (dewasa), RM11 (kanak-kanak), RM6 (warga emas).

UNTUK KE SINI

Jika anda menggunakan Plus, masuk ke susur keluar Plaza Tol Gopeng, belok ke kiri dan teruskan memandu sejauh dua km sehingga menemui laluan ke Gua Tempurung di sebelah kiri. Laluan khas ini dibina bagi membolehkan kenderaan yang lebih besar seperti bas sampai ke gua terbabit.

About these ads

3 Respons

  1. kolej saya nak buat trip… xtaw nk pegi mne lagi..so sy survey2 tmpa…so tbace la artikel ni…
    so..trip ni dlm 3h 2 m.. nk taw ade pakej yg sesuai tak untuk trip nie???? sy ade la tbace pakej2 yg dtulis di ats…

  2. nanti email ke saya ye kalau ada. TQ

  3. Ada tak contact no tuk pakej ke gua tempurung? saya nak pergi next week

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 43 other followers

%d bloggers like this: