24 jam seronok beli-belah di Seoul


Oleh Azida Shaharuddin


PASAR Dongdaemun meriah dengan pengunjung pada waktu malam hingga awal pagi.

SEKIRANYA berkunjung ke Seoul, ibu negara Korea Selatan, tentunya anda tidak mahu melepaskan peluang untuk melawat beberapa destinasi menarik bandar raya yang terkenal dengan pelbagai tempat bersejarah itu.

Berkeluasan kira-kira 605 kilometer persegi, ibu negara Korea Selatan itu adalah bandar raya terbesar negara berkenaan tetapi pada hakikatnya, lebih kecil berbanding New York dan Tokyo. Namun, ia tetap menjadi antara bandar raya berkepadatan penduduk tinggi di dunia dengan lebih 10 juta penduduk.

Antara destinasi yang menjadi tumpuan pelancong adalah Istana Changdeokgung, Istana Gyeongbokgung, Muzium Kebangsaan Korea, National Folk Museum, Namsan Park, kuil Buddha Dongmyo dan Taman Olimpik Seoul, Songpa-gu.


Namun, selepas melawat ke tempat berkenaan, tentu perlu membeli barangan sebagai memori dan buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air. Justeru, pastikan anda singgah ke tiga tempat membeli belah terkenal di Korea Selatan iaitu pasar Namdaemun, Dongdaemun dan Itaewon.

Pasar Namdaemun ialah pasar raya tradisional terbesar di Korea Selatan, tidak ubah seperti Jalan Petaling di Kuala Lumpur yang menempatkan kira-kira 1,000 kedai di kawasan pasar seluas kira-kira empat hektar.

Selain menawarkan pelbagai barangan kraftangan, pasar yang sudah sebati dengan tawar menawar antara peniaga dan pengunjung itu turut menjual barangan keperluan harian termasuk makanan, pakaian dan barangan dapur serta pelbagai produk tempatan dan luar negara.

Malah, pakaian tradisional Korea, rumpai laut dan ginseng yang lazimnya diminati pelancong China dan Jepun turut diniagakan di pasar ini manakala pengunjung Malaysia pula akan tertarik dengan kerongsangnya yang dapat dibeli dengan harga murah pada kuantiti yang banyak.

Ia bagaikan syurga bagi penggemar kerongsang Korea yang dapat memiliki beraneka bentuk hiasan bertatah kristal berkenaan dan sehingga kini, ramai peniaga Malaysia menjadikannya destinasi untuk memborong barangan itu.

Pemborong pasar itu memulakan perniagaan dari jam 12 tengah malam hingga 6 pagi, peniaga antara jam 7 pagi hingga 5 petang, manakala penjaja berniaga dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Disebabkan ia berada di pusat bandar Seoul, tiada masalah bagi pengunjung untuk mendapatkan perkhidmatan bas dan teksi. Namun, pasar Namdaemun yang tidak ketinggalan menawarkan pelbagai jenis makanan, tidak menempatkan gerai yang menyediakan makanan halal.

Seperti pasar Namdaemun, pasar Dongdaemun juga terletak di pusat bandar Seoul tetapi kira-kira 20 minit dari pasar Namdaemun.

Sebagai pasar terbesar Korea Selatan, ia tidak menjual barangan tradisional tetapi lebih kepada barangan borong berjenama tiruan yang berkualiti termasuk pakaian, kain sutera, kasut, barangan sukan, peralatan paip serta elektrik, elektronik, barangan pejabat dan mainan di 26 pusat beli-belah, 30,000 kedai dan 50,000 premis pengeluar barangannya.

Namakan saja pakaian dan aksesori pelengkap pakaian berjenama tiruan seperti dompet, beg tangan, kasut dan jam tangan, pastinya dapat dibeli termasuk Burberry, Salvatore Ferragamo, Louis Vuitton, Gucci, Fendi, Christian Dior dan Chanel.

Berbanding pasar Namdaemun, pasar Dongdaemun yang dibuka sejak 1905 itu lebih meriah dan sibuk dengan pengunjung pelbagai peringkat umur terutama golongan muda dan peniaganya yang jauh lebih ramai.

Sebelum ini, pemborong di pasar itu beroperasi dari jam 1 pagi hingga 1 petang, manakala peniaga memulakan perniagaan pada jam 1 pagi hingga 6 petang, tetapi kini kawasan itu masih beroperasi hingga jam 5 pagi berikutan sambutan penduduknya serta pelancong yang gemar membeli belah pada waktu malam hingga pagi.

Itaewon pula, destinasi yang juga sesuai untuk membeli belah termasuk pakaian, kasut, beg tangan dan perabot antik merangkumi kedai dan restoran sepanjang 1.4 kilometer jalan kawasan itu.

Sebilangan besar nama kedai, restoran, stesen minyak, pusat internet, bangunan dan papan iklannya di sekitar Seoul menggunakan bahasa Korea iaitu ‘Hang-Gu’, tetapi tidak dinafikan masih ada menggunakan bahasa Inggeris.

Disebabkan sering dikunjungi pelancong asing termasuk beragama Islam yang bermalam di hotel berdekatan, Itaewon menjadi destinasi paling tepat bagi pengunjung yang ingin menikmati makanan halal.

Kira-kira 10 restoran halal beroperasi di kawasan itu dan dikendalikan peniaga India, Pakistan dan Arab bagi memberikan lebih pilihan kepada pengunjung. Bagaimanapun, anda perlu bijak mengatur masa kerana kebanyakan restoran di Itaewon ini hanya dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 10 malam.


About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 43 other followers

%d bloggers like this: