Esfahan kota sejarah, tercantik di Iran

Oleh Shamsiah Sanin


IMAM Square menjadi tempat penduduk Esfahan berehat dan bersiar-siar.

Beribu-ribu pokok sesetengahnya berusia 100 tahun hiasi ibu kota purba

‘ESFAHAN Nesf-e Jahan’… ungkapan lama Parsi ini yang bermaksud, ‘Esfahan adalah separuh dunia’ memang tepat untuk menggambarkan kota ini sebagai bandaraya paling indah di Iran dan antara yang tercantik di dunia.

Udara nyaman dan segar, selain beribu-ribu pokok sesetengahnya sudah berusia ratusan tahun, ditanam di kiri, kanan dan di pembahagi jalan di seluruh Esfahan membuatkan kota itu kelihatan seperti berada di dalam taman.
Esfahan atau Aspadana purba yang sudah menjadi ibu kota wilayah Esfahan hampir 1,000 tahun lalu, terletak di kaki pergunungan Zagros dan mempunyai ketinggian 1,570 meter di atas paras laut. Kedudukan ini membolehkan bandaraya itu mempunyai udara bersih dan langit yang biru sepanjang tahun, manakala pemandangan banjaran gunung yang mengelilingi kota ini menambahkan lagi keindahannya.

Sungai Zayandeh Rud yang merentang dari barat ke timur sepanjang 360 kilometer dan melalui Esfahan menjadi tempat persinggahan kepada beribu-ribu itik serta burung penghijrah tanpa gangguan, memberikan suatu pemandangan yang unik.

Sungai itu yang bermula dari kaki banjaran Zard Kuh-e Bakhtiari turut menjadi sumber pengairan kepada rumah dan taman di seluruh Esfahan.

PINTU gerbang Masjid Esfahan unik.

Beberapa jambatan yang dibina merentasinya dan sudah berusia beratus-ratus tahun antaranya Jambatan Khaju, Sa’adat Abad, Sio Sieh Pol dan Pol-e Shahrestan, menambahkan lagi keindahan di sekitar sungai itu.

Rombongan 20 kakitangan agensi pelancongan Malaysia bersama empat wartawan baru-baru ini dibawa mengunjungi Esfahan, sebagai satu daripada usaha kerajaan Iran melalui agensi pelancongan negara itu, Iran Markaz, untuk menarik lebih ramai pelancong Malaysia mengunjungi kota berkenaan dan tempat lain yang menarik di Iran.

Bagi kebanyakan pelancong termasuk dari Malaysia, Esfahan adalah syurga membeli-belah yang menyediakan pelbagai pilihan barangan untuk dibeli dan dibawa pulang ke tanah air.

Keramahan penduduk Esfahan memang sudah diketahui umum. Jangan terkejut apabila ada orang yang tiba-tiba menegur anda dan bertanya negara asal anda, ketika anda sedang bersiar-siar di kota itu.

Selain sifat ramah semula jadi, mereka suka berinteraksi dengan orang asing sebagai satu cara meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.

Mereka juga suka berkumpul bersama rakan atau ahli keluarga di restoran dan hotel pada waktu malam untuk minum teh bersama juadah ringan sebagai satu cara memanaskan badan. Minum teh dan berkumpul bersama rakan dianggap suatu upacara istimewa bagi penduduk Esfahan.

Esfahan juga kota yang kaya dengan sejarah dan tinggalan berharga zaman lampau. Peluang melihat tempat bersejarah di kota ini dapat memberi gambaran kepada pelancong akan keagungan dan kemegahan yang pernah dikecapinya dari dulu hingga sekarang.

Sejarah panjang kota ini menyaksikan pentadbirannya berpindah daripada satu pemerintahan ke satu pemerintahan. Sebuah bandar yang terkenal ketika era Sassanian, Esfahan dikuasai Arab pada abad ke tujuh dan dijadikan sebuah ibu negeri wilayah.

Pada abad ke-11, Esfahan ditakluki kerajaan Turki Seljuk yang menjadikannya ibu negara empayar mereka, manakala pada abad ke-13, Esfahan dikuasai tentera Monggol.

Tamerlane menawan kota itu dan apabila penduduknya melawan, dia memerintahkan 70,000 rakyat Esfahan dibunuh sebagai balas dendam. Tamerlane dikatakan membina sebuah bukit besar menggunakan tengkorak penduduk yang dibunuhnya.

Di bawah pemerintahan Shah Abbas 1 (1598), Esfahan dibangunkan semula dengan pembinaan begitu banyak masjid, istana dan taman yang mengagumkan pengunjung dari Eropah ketika itu.

Ketika zaman kegemilangannya pada abad ke-17, Esfahan mempunyai 600,000 penduduk dan ini menjadikannya satu daripada bandar terbesar di dunia. Kegemilangan Esfahan musnah apabila ia ditawan tentera Afghanistan pada 1723 yang membunuh hampir keseluruhan penduduknya, manakala tentera Russia menduduki kota itu pada 1916.

Kini segala memori pahit Esfahan sudah berlalu. Kota itu kembali berkembang sebagai pusat pelancongan kaya sejarah dan bandar pengeluar hasil industri, pertanian serta barangan kraftangan terbesar di Iran.

Antara tempat menarik yang dikunjungi ialah Imam Square yang sebelum ini dikenali sebagai King’s Square atau Maidan-e Shah sehingga kejatuhan rejim Pahlavi dengan keluasan 80,000 meter persegi, dua kali ganda keluasan Medan Merah di Moscow.

Ia dibina oleh Raja Shah Abbas pada 1612 sebagai padang permainan polo dan acara rasmi negara tetapi Imam Square kini menjadi tempat bersiar dan berehat penduduk Esfahan pada hari cuti bersama keluarga.

Esfahan juga kota yang mempunyai banyak masjid yang indah dan dilaporkan kota ini mempunyai lebih 100 buah masjid dengan seni ukiran Parsi tersendiri serta unik.

Sebagai contoh, Masjid Lutfollah mengambil masa 18 tahun untuk disiapkan dibina oleh Raja Shah Abas bagi menghormati seorang ulama dan pendakwah dari Lubnan bernama Sheikh Lutfollah. Kubah masjid ini disokong dengan dinding setebal 170 sentimeter dan berbeza dengan masjid lain di Esfahan yang menggunakan warna baru dan batu pirus sebagai warna utama, masjid ini menggunakan warna kuning pada kubahnya. Ia juga tidak mempunyai halaman atau menara, kerana fungsinya lebih kepada sebuah ruang persendirian berbanding tempat ibadat umum.

Sebuah lagi masjid yang terkenal ialah Masjid Imam yang dipanggil Masjid -e Jam’ e Abbasi atau Masjid Diraja sebelum Revolusi Iran.

Masjid ini menyerlahkan hasil seni bina Parsi yang amat halus dan tidak menghairankan jika ia menjadi antara bangunan yang mempunyai seni bina paling mengagumkan di dunia. Pembinaannya bermula pada 1612 ketika pemerintahan Shah Abbas 1 dan siap pada 1638.

Selain masjid, Esfahan diindahkan lagi dengan beberapa istana lama yang kini dijadikan tempat tarikan pelancong, antaranya Istana Ali Qappu yang dibina pada abad ke-17 adalah bangunan tinggi pertama di Iran.

Istana ini tingginya 48 meter dari atas tanah dan mempunyai enam tingkat, setiap satu mempunyai rekaan tersendiri yang boleh dimasuki dengan menaiki tangga yang sempit.

Sebuah lagi istana ialah Hasht Behesht bermaksud lapan syurga menjadi kediaman rasmi raja dinasti Safavid, dibina ketika era pemerintahan Shah Suleiman pada 1669 tetapi kini sudah dimiliknegarakan.

Sebenarnya ada banyak lagi tarikan untuk pelancong ke Esfahan dan ia dapat disaksikan dengan berkunjung sendiri ke kota itu.

Bagaimana ke sana?

Syarikat Iran Airlines (Iranair) menyediakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Teheran dua kali seminggu. Perjalanan mengambil masa kira-kira tujuh jam. Dari Teheran anda boleh mendapatkan perkhidmatan bas ekspres ke Esfahan yang mengambil masa perjalanan selama enam jam.

FAKTA: Esfahan

  • Esfahan terletak di kaki pergunungan Zagros dan mempunyai ketinggian 1,570 meter di atas paras laut.
  • Pada abad ke-11, Esfahan ditakluki kerajaan Turki Seljuk.
  • Tamerlane memerintahkan 70,000 rakyat Esfahan dibunuh sebagai balas dendam.
  • Kegemilangan Esfahan musnah apabila ditawan tentera Afghanistan pada 1723.
  • Lebih 100 masjid dengan seni ukiran Parsi tersendiri serta unik wujud di Esfahan.
  • Istana Ali Qappu yang dibina pada abad ke-17 adalah bangunan tinggi pertama di Iran.
  • About these ads

    Tinggalkan Jawapan

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 42 other followers

    %d bloggers like this: