Gugusan Pulau Karimun tumpuan utama pelancong


Oleh Mohd Roji Abdullah


SUASANA sibuk di Tanjung Balai yang menjadi destinasi membeli-belah serta pasar tradisional.

PASTI ramai antara kita yang pernah mendengar atau membaca cerita epik mengenai lelaki bernama Badang, tetapi tidak pula diketahui dengan jelas di mana asalnya manusia yang kononnya gagah perkasa sehingga mampu mencabut batang balak sebesar pemeluk itu.

Mungkin ada yang menganggap kisah Badang sekadar hiburan untuk mengisi masa lapang masyarakat zaman dulu, namun di Karimun (Indonesia), Badang, dianggap benar-benar wujud dan dikatakan sebagai seorang hulu balang pada zaman pemerintahan Kerajaan Riau-Lingga (1722-1784).

Kubur Badang atau dikenali sebagai Sibadang yang terletak di Pulau Buru, iaitu satu daripada 198 pulau yang membentuk Kabupaten Karimun, kini antara tempat bersejarah yang dijadikan antara produk tarikan pelancongan ke wilayah berkenaan.

Penulis yang berkunjung ke Karimun, baru-baru ini bagaimanapun tidak berkesempatan mengunjungi kubur itu yang terletak di sebuah pulau kecil di selatan pusat pentadbiran utama iaitu Tanjung Balai, namun berdasarkan penerangan beberapa penduduk serta gambar dalam risalah pelancongan Karimun, ternyata kubur Badang wujud di sana.

Berdasarkan catatan sejarah, Karimun, pernah diduduki rakyat Melaka yang melarikan diri selepas negeri itu ditawan Portugis pada 1511.

Selepas tewas kepada Portugis, Sultan Mansur Syah, melarang keturunan raja tinggal di Melaka dan menggalakkan kaum kerabatnya itu mendirikan kerajaan kecil di kepulauan Riau termasuk di Karimun.

Kerajaan Johor pula menjadikan Karimun sebagai pangkalan armada angkatan lautnya untuk menyerang Portugis ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah I (1518-1521) hingga Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Syah (1559-1591).

Pada zaman penjajahan Belanda pula, Tanjung Balai di Karimun, yang terletak di penghujung bahagian selatan Selat Melaka, dijadikan sebagai pelabuhan utama.

Hubungan erat yang terjalin sejak sekian lama dengan Kerajaan Melaka dan Johor, selain penghijrahan penduduk Melaka pada zaman pemerintahan Portugis menyebabkan kebudayaan Karimun, sama ada tarian, makanan serta pakaian tradisionalnya tidak jauh bezanya dengan Malaysia.

Kedudukannya yang terletak di sempadan laut antarabangsa iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia, menjadikan Karimun berpotensi sebagai destinasi pelancongan baru yang mampu dibangunkan setaraf Bali.

Daripada 198 pulau besar dan kecil yang membentuk gugusan kepulauan di selatan Selat Melaka itu, 108 pulau kini berpenghuni manakala 90 lagi masih belum didiami dan sekadar menjadi persinggahan nelayan yang melarikan diri dari angin kencang dan laut bergelora.

Kepala Dinas Pariwisata (Pelancongan), Seni dan Budaya Karimun, Drs Syuryaminsyah, berkata gugusan pulau itu dikenal pasti berpotensi dijadikan sebagai daya tarikan pelancong ke Karimun terutama yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Beliau berkata, sebagai wilayah pemerintahan (Kabupaten) yang baru, Karimun berusaha mempelbagaikan produk pelancongannya selain bergantung kepada gugusan pulaunya yang cantik.

“Sebenarnya banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi di Karimun terutama di sekitar pulau yang berselerakan di selatan Selat Melaka ini dan kami sedang berusaha untuk menjadikan pelancongan sebagai industri utama di Karimun,” katanya.

Ketika ini, kebanyakan pelancong terutama dari Singapura dan Malaysia memilih untuk membeli-belah ketika berkunjung di Karimun khususnya di Tanjung Balai yang terkenal dengan produk kain batik dan pakaian berjenama.

Selain menawarkan pelbagai barangan menarik untuk dibawa balik, pelancong juga berpeluang untuk melihat beberapa tinggalan sejarah di Karimun selain kubur Badang.

Antaranya, Batu Bertulis yang terletak di lereng bukit di wilayah Desa Pasir Panjang yang dipercayai bukti kewujudan pengaruh Buddha pada zaman pemerintahan Srivijaya dan Masjid Agung Meral di Tanjung Balai yang berusia lebih 700 tahun.

Selain itu, Kolam Air Panas di Tanjung Hutan Kecamatan Buru yang dikatakan mata air panas terbaik di Indonesia serta air terjun Pongkar juga mampu menggamit pelancong ke Karimun.

Sesuai dengan kedudukannya di gugusan pulau, banyak pantai menarik di Karimun antaranya Pantai Pelawan (Tanjung Balai), Pantai Pongkar (Kecamatan Tebing), Pantai Lubuk (Kecamatan Kundur) dan Pantai Telunas.

Bagi rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Karimun, mereka boleh ke sana menggunakan feri dari Terminal Feri Minyak Beku di Batu Pahat selain Terminal Kukup di Pontian.

Pelayaran dari Terminal Minyak Beku ke Tanjung Balai Karimun berlepas pada jam 10.30 pagi dan dari Tanjung Balai pula pada jam 2 petang setiap hari. Pelayaran mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit.

Harga tiket laluan sehala ke Tanjung Balai ialah RM70 tetapi jika membeli tiket pergi balik, penumpang hanya perlui membayar RM95 untuk dewasa manakala untuk kanak-kanak RM35 sehala dan RM50 untuk dua hala.

FAKTA: Karimun

  • Bandar utama – Tanjung Balai.
  • Keluasan keseluruhan dengan 198 gugusan pulau – 7,984 kilometer persegi.
  • Kedudukan – Bersempadan dengan Malaysia dan Singapura di utara, di selatan bersempadan dengan Indragiri Hilir, di barat mengadap Bengkalis dan Pelawan dan di timur bersempadan dengan Batam.
  • Jumlah penduduk – 199,697 terdiri dari 19 etnik antaranya Melayu, Jawa, Tionghua, Flores, Batak, Minang dan Bugis.
  • Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa seharian dan Bahasa Indonesia digunakan dalam urusan rasmi.

  • About these ads

    Tinggalkan Jawapan

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 41 other followers

    %d bloggers like this: