Kagumi seni bina lama India


Oleh Tamrin Anuar


SENI ukiran lama pada Amber Fort yang dibina pada 1558 masih utuh.

BERKONGSI menggunakan jalan raya dengan kereta kuda, kereta lembu, gajah dan unta, selain kenderaan bermotor, basikal serta pejalan kaki adalah pengalaman menarik serta sukar dilupakan ketika berkunjung ke kota Jaipur, India.

Dengan keadaan jalan berdebu dan dipenuhi tanah merah serta najis haiwan, Jaipur, bandar lama yang terletak 300 kilometer (km) ke selatan New Delhi, dibangunkan pada 1699 oleh Maharaja Jai Singh.

Walaupun bandar yang dikenali sebagai “The Pink City’ itu di kelilingi gunung ganang, ia tetap menjadi pilihan pelancong dari seluruh dunia.

Keunikan seni bina lama gabungan Hindu dan Islam yang terpahat di bangunan seperti Hawa Mahal yang dibina pada 1799, Jantar Mantar (1728), City Palace (1729), Amber Fort (1558), serta puluhan bangunan bersejarah lain, mendorong sekumpulan 27 pelajar dan dua pensyarah Sekolah Seni Bina, Bangunan dan Reka Bentuk, Kolej Universiti Taylor’s membuat kajian lapangan, baru-baru ini.

Pelajar berkenaan menghabiskan masa seminggu untuk memerhati, melukis dan merakam keajaiban seni bina, sistem saliran, struktur bangunan dan bahan binaan, selain hiasan dalaman yang digunakan masyarakat silam, khususnya di kediaman pembesar negeri itu.

Seorang ahli delegasi yang juga pelajar program Diploma Seni Bina, Muhammad Nashraf Azami, berkata pengalaman yang dilaluinya sangat menakjubkan dan beliau seronok melihat seni bina yang binaannya banyak dipengaruhi agama serta budaya setempat.



KEINDAHAN seni pembinaan Taj Mahal sungguh unik.

Walaupun dihimpit kemiskinan, kesibukan Jaipur yang didiami setengah juta penduduk tetap aktif dengan kegiatan perniagaan, malah ia menjadi tumpuan peminat batu arked, barangan kulit, tembikar dan tekstil daripada serata tempat.

Perjalanan dari Jaipur ke Agra dengan bas sejauh 340 km mengambil masa lima jam itu mendedahkan penulis dengan pemandangan indah saujana mata memandang. Dengan dihiasi tanaman padi, jagung, gandum dan barli sesekali pemandu terpaksa membunyikan hon apabila ada gembala bersama sekawan kerbau melintas jalan.

Berbeza dengan Jaipur, kota Agra yang dibangunkan sekitar 1501 kelihatan lebih teratur dan bersih, manakala sistem trafik lancar, namun kadang kala membosankan kerana pengguna jalan rayanya tidak berdisiplin.

Agra terkenal di seantero dunia kerana kewujudan Taj Mahal yang dikenali ‘Dream in Marble’ iaitu bangunan dibina Maharaja Shah Jahan untuk persemadian isteri tercinta, Arjumand Banu Begum atau Mumtaz Mahal.

Penulis teruja dapat memegang dan merakam binaan ajaib yang dibina menggunakan 20,000 pekerja serta kepakaran arkitek dari Parsi, mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan.

Sementara pelajar Kolej Universiti Taylor’s terus menyiapkan kajian lapangan dengan melukis dan merakam gambar, manakala ribuan pelancong dari seluruh dunia bertali arus menuju lokasi untuk melihat dengan lebih dekat bangunan dibina pada 1631 itu.

Sepanjang perjalanan dari Agra ke New Delhi yang mengambil masa enam jam, banyak masa diambil disebabkan kekangan trafik akibat deretan kereta unta, kereta kuda dan beca yang sarat dengan muatan.

Bandaraya New Delhi yang penduduknya 15 kali ganda dari Kuala Lumpur teramat sesak. Bagaimanapun, rombongan kami sempat meninjau beberapa tempat menarik antaranya Masjid Jama, Gerbang India, Kuil Lotus, Red Fort dan Qutub Minar.

Menggunakan seni bina Afghan, Qutub Minar dibina daripada batu merah dan marmar pada 1209. Dengan ketinggian 73 meter dan 15 meter diameter di bahagian tapak dan 2.5 meter pada kemuncaknya, mercu tanda New Delhi itu menunjukkan simbol kebijaksanaan dan keagungan masyarakat silam menerusi seni bina dihasilkan.


About these ads

Satu Respons

  1. aasdsdcsc

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 43 other followers

%d bloggers like this: