Melayan selera di Alor Star


Oleh: Syah Rul Aswari Abdullah

Ikan bakar di Atap Rumbia, Nasi Lemak Royal, bihun dan laksa utara di Pekan Rabu antara yang tidak boleh dilepaskan jika berkunjung ke Kedah

ALOR STAR, bandar yang melahirkan dua pemimpin terulung negara, Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak banyak berbeza walaupun selepas diisytiharkan sebagai bandar raya pada 21 Disember 2003.


Menghampiri bandar di utara tanah air ini, pengunjung dapat menyaksikan hamparan emas apabila tiba waktu menuai padi. Mercu tanda negeri jelapang padi, bagaimanapun, terletak pada kemegahan menara telekomunikasi ke-29 tertinggi di dunia, Menara Alor Star.

Selesai urusan daftar masuk hotel, kami meneruskan agenda untuk meneroka Kedah. Perjalanan ke Bukit Kayu Hitam yang dijangka mudah ada kalanya bertukar detik cemas memandangkan penjajaran Kancil yang tidak betul membuatkan kereta itu sering kali “melelong” di atas lebuh raya.

Seperti dijangka, kawasan beli-belah di sekitar Bukit Kayu Hitam itu sesak dengan warga dua negara yang melangkah sempadan untuk membeli-belah. Menurut rakan, harga ditawarkan bagaimanapun agak mahal berbanding Padang Besar atau Wang Klian di Perlis.

Seakan tidak berbaloi menempuh perjalanan jauh hanya untuk membeli tuala dan coklat, kami kemudian pulang ke kota tetapi sempat membuat beberapa hentian di tepi lebuh raya.

Pertamanya untuk mencuba air nipah nira yang kelihatan begitu popular di negeri utara tanah air ini. Air buah yang lazimnya menjadi bahan asas dalam pemprosesan gula Melaka ini dijual dengan harga serendah RM2.

Selang beberapa minit kemudian, kami singgah di kedai perabot di tepi lebuh raya. Nama saja di Alor Star, kedai ini sebaliknya menjual pelbagai perabot kayu Indonesia dengan harga yang amat berpatutan. Turut dijual, pelbagai bahan cenderamata dan hiasan rumah.

Malam pertama diisi dengan meneroka tempat makan menarik di sekitar Kota Kuala Kedah. Kebanyakan restoran dan kedai makan menawarkan harga makanan laut jauh lebih murah berbanding di Kuala Lumpur.

TARIKAN DI TENGAH KOTA

Agenda hari kedua diteruskan dengan meneroka tarikan bersejarah di tengah kota. Selain bahan bersejarah menerangkan perkembangan Kedah, Muzium Negeri memaparkan warisan rakyat seperti Jikey dan Mak Ulung, amalan mirip Mak Yong.

Menariknya, Jikey yang menggabungkan lakonan, muzik, tarian dan lagu diadakan selama beberapa hari dengan dimulai dengan upacara membuka panggung. Mek Ulung seperti kebanyakan amalan lama turut mempunyai elemen “jamu”.

Antara lain, muzium itu turut mempamerkan kemeriahan Halu Pulau, pesta menumbuk emping dan Hang, aktiviti laga kerbau yang diharamkan pada 1936. Alasannya, amalan itu menganiaya binatang.

Tidak lengkap jika tidak singgah ke Balai Besar dan Balai Nobat di tengah bandar. Bangunan asal Balai Nobat dibina oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Shah pada 1735.

Bangunan itu rosak teruk ketika tentera Bugis dan Siam menyerang Kedah. Ketika pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah, baginda membaik pulih bangunan berkenaan.

Banyak acara penting diadakan di bangunan ini, antaranya perkahwinan diraja, majlis rasmi dan persidangan dewan undangan negeri di antara 1905 hingga 1973.

Balai Nobat, bangunan dibina setinggi 8 meter (m) dan 5 m lebar ini menyimpan peralatan muzik diraja, antaranya serunai, nafiri, gendang dan gong.

Semuanya terletak berhampiran Masjid Zahir, antara masjid tertua di negara ini dibina pada 1912. Seni bina masjid ini diilhamkan daripada Masjid Azizi yang dibina di bandar Langkat, utara Sumatera.

Bagaimanapun, ketika kunjungan, Muzium Diraja Kedah yang pernah menjadi istana kayu tempat Tunku Abdul Rahman dibesarkan di istana ini oleh ayahanda, Sultan Abdul Hamid dan bondanya, Mak Che Manjalara, ditutup untuk proses ubah suai.

Berdekatan muzium ini, terletak Balai Seni Lukis Negeri, bangunan dengan seni bina kolonial menempatkan karya pelukis tempatan. Sudut khas diwujudkan memaparkan 17 destar, setiap satunya digunakan berdasarkan taraf dan kedudukan dalam masyarakat.

Kunjungan anda ke Alor Star seakan tidak lengkap jika tidak singgah ke Pekan Rabu di Jalan Tuanku Ibrahim yang amat popular di kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Pelbagai barangan termasuk pakaian dari Siam dan kuih tradisional ada dijual di pasar terletak berhampiran stesen bas dalam bandar ini.

TEMPAT MAKAN

Antara tempat pertama yang dikunjungi adalah Atap Rumbia terletak berdekatan pawagam lama dan Menara Alor Star. Popular di kalangan kakitangan kerajaan yang bekerja di sekitar bandar, ia menawarkan pelbagai jenis hidangan masakan kampung termasuk ikan bakar.

Berdekatan stadium, Nasi Lemak Royal di kompleks hijau kuning menjadi tumpuan untuk mereka yang mencari makan nasi lemak dan nasi campur. Kedai makanan dengan pelbagai menu juga banyak dibuka di sekeliling stadium dibanjiri pelanggan dari lewat petang hingga larut malam.

Tidak sah ke Alor Star jika tidak mencuba bihun dan laksa utara. Ada banyak gerai yang menyajikan hidangan ini tetapi kedai makan PR di Pekan Rabu antara yang mesti dicuba. Harga amat berpatutan iaitu kurang RM3 semangkuk.

Jika ke pekan Rabu, jangan lupa singgah membeli pelbagai kuih-muih tradisional termasuk cakar ayam, dodol dan agar-agar. Peniram atau kuih “telinga keling” masih hangat dijual pada harga serendah RM1 untuk 10 biji.

Satu lagi tempat makan popular di ibu negeri Kedah itu adalah Sri Pumpong berhampiran dengan Kedah Golf Club yang menjadi tumpuan penduduk tempatan.

Menghala ke terminal bas, Kuey Teow Ikhwan yang dibuka mulai petang hingga larut malam turut menjadi tumpuan. Untuk penggemar laksa, jangan lupa mencuba Laksa Pak Ya, Teluk Kechai.

Restoran makanan laut di sekitar Kuala Kedah juga menawarkan pelbagai menu stimbot dengan harga amat berpatutan. Beberapa restoran juga menawarkan pengalaman makan malam di tengah sawah padi.

UNTUK KE SINI

Dari Kuala Lumpur, perjalanan dengan bas atau kenderaan persendirian mengambil masa antara lima hingga enam jam dan dua jam jika memandu dari Butterworth. Mereka yang berminat ke Thailand boleh mengambil bas di Pekan Rabu atau terminal bas utama.

Paling mudah menggunakan Ekspres Langkawi yang bertolak 9.45 malam dari KL Sentral setiap hari. Perjalanan mengambil masa antara 10 dan 11 jam.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim Airport di Kepala Batas, 15 kilometer di utara Alor Star. Ia menyediakan perkhidmatan domestik untuk Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia.

 

About these ads

3 Respons

  1. Nasi Lemak Haji Ali la paling best kat alor setar.nasi royal mana best ,mahai nak mampus.

  2. u ader no contct tsk kedai makn cam laksa teluk kecai, mee abu

  3. hang tak try lagi nasi lemak pokok sena kat stadium nuh…, nasi jee telok wanjah, nasik lemak ali…..ppeeerrrgghhh….!!! geng mana makan nasi royal. Org tak pi makan aih kat atap rumbia tu, hg sorang ja pi, mahai nak mampuih! cekik darah! cuba try test tengok di komplek sri tandop kedai catok ja tepi jalan dpn kedai jual pintu tak pun kedai mak wan di jalan pegawai, nak lagi sempoi pi pekena dekat ikan bakaq aqla dpn masjid aqla jitra nuuhh. kalo nak mkn petang mana best mkn laksa, org pekena mee goreng, mee shareef di medan teratai jalan pegawai paling tak pun pulut sambai omar (omaq) di kuala kedah. kalau nak breakfast mai makan kat kedai ani di mergong, satu lorong dgn pak omaq jual pasu, harga dia pasti ko tergezut beruk punya. lagi satu yang hebat di alor star adalah nasik goreng dan nasik sayoq pak cik noq di jalan putra, selamat mencoba.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers

%d bloggers like this: