Menangani gejala negatif dalam Internet


Oleh: Mohd Afendi Daud

(Berita Harian)

KEBELAKANGAN ini hampir setiap hari kita mendengar orang menyebut dan memperkatakan teknologi maklumat atau IT. Apatah lagi dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Cyberjaya. Seluruh MSC akan dilengkapi peralatan telekomunikasi, teknologi maklumat dan jaringan perkhidmatan digital dalam semua proses perkhidmatan dan perhubungan yang mempunyai sistem infrastruktur yang termoden. MSC ialah satu kawasan yang dibangunkan berasaskan industri IT dan telekomunikasi. Semua urusan yang dijalankan akan menggunakan komputer.

Komputer bukanlah satu perkara yang asing bagi masyarakat tidak kira di mana saja mereka berada. Di mana-mana komputer boleh didapati dan tidak semestinya di pejabat saja. Malah di kebanyakan rumah pun boleh dilihat ada komputer peribadi. Begitu juga dengan penggunaan Internet yang kini kian menjadi ‘kegilaan’ masyarakat hari ini terutama remaja baik dalam negara mahupun luar negara. Akibat kegilaan ini, remaja mudah lupa diri. Internet boleh mengubah pemikiran manusia terutama mereka yang terpengaruh dengan kecanggihannya. Ia begitu berpengaruh dan sifatnya yang dapat memasuki mana-mana negara di dunia seperti tiada batasan sempadan. Internet sukar disekat apabila pintunya dibuka seolah-olah apa yang diperkatakan mengenai kebebasan bersuara hampir mencapai tahap mutlak.

Internet bermaksud hubungan antara jaringan. Sebuah rangkaian komputer antarabangsa yang terbesar di dunia yang mengandungi berjuta-juta komputer di seluruh dunia. Melalui internet kita dapat berhubung antara satu sama lain walau di mana sekali pun kita berada dan pada bila-bila masa. Percambahan saluran internet ini mendedahkan masyarakat kepada pelbagai bentuk maklumat. Maklumat yang diperolehi ada antaranya positif dan ada yang meninggalkan kesan negatif. Oleh itu, pengguna media perlu mempunyai satu keupayaan untuk menilai maklumat yang diperolehi melalui Internet ini. Pengguna Internet perlu bersikap kritis supaya dapat memastikan tidak menerima sebarang maklumat secara bulat-bulat.

Tidak semua maklumat yang diperolehi melalui internet bermanfaat walaupun kebaikan sesetengah laman tidak boleh dipertikaikan. Bahan yang disebarkan mempunyai kesan positif dan negatif. Nilai yang dipaparkan lebih menggambarkan nilai penghasil bahan yang sesetengahnya terlalu asing bagi kita. Biasanya golongan remaja adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan aspek sebegini. Oleh itu, perlu dirumuskan satu pendekatan yang sistematik untuk menangani kesan dan pengaruh internet ke atas masyarakat di negara ini.

Walaupun kerajaan sudah mengambil langkah seperti penapisan dan mewujudkan peraturan bagi menangani masalah ini, langkah juga perlu diambil untuk menimbulkan kesedaran di kalangan pengguna media khasnya internet. Mereka perlu diupayakan supaya mampu menilai kesan dan pengaruh media secara amnya. Satu cara yang agak berkesan sekali ialah celik media. Ia adalah keupayaan seseorang memahami sesuatu perkara atau kesan yang diterima dari media massa. Ini mencakupi memahami proses penyediaan dalam penyebaran maklumat oleh media. Seterusnya bagaimana menggunakan maklumat yang diperolehi dengan bijaksana.

Seseorang yang celik media mampu mengenal pasti peranan dan kesan media dalam kehidupan seharian. Mereka boleh menilai dan menguasai apa yang di lihat oleh mereka daripada apa yang diberi oleh media. Mereka bukanlah pengguna media yang pasif dan menerima apa saja yang dilihat dan dibaca. Mereka menjadi lebih kritikal terhadap apa yang mereka perolehi atau lihat. Celik media bukan satu kempen antimedia. Ia bertujuan mengembangkan keupayaan pengguna media untuk memanfaatkan media masa dan berupaya memberi maklum balas mengenai apa yang patut dilakukan secara lebih berkesan.

Ini adalah daya usaha untuk memupuk kepekaan pengguna media, khususnya kanak-kanak dan golongan remaja terhadap kesan dan pengaruh media. Ini dilakukan dengan membina kefahaman kepada mereka mengenai kesan dan pengaruh media. Mereka dididik supaya lebih kritikal dan mampu menilai bahan yang mereka tonton.

Sejak kebelakangan ini, kita kerap mendengar pelbagai gejala sosial yang melanda anggota masyarakat hari ini seperti bohsia, bohjan, lepak, sumbang mahram, homoseksual dan beberapa penyakit sosial yang lain. Sering pula kita dengar media dipersalahkan. Apakah media saja dipersalahkan? Bagaikan satu alasan yang mudah untuk dijadikan alat untuk menangkis sebarang persoalan.

Bila dikenangkan kembali perkembangan pada tahap awalnya, kemunculan media dihubungkaitkan dengan usaha membangunkan masyarakat ialah Unesco sendiri memberikan perhatian berat kepada media massa kerana berkeyakinan bahawa media boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat, mengurangkan buta huruf, meningkatkan hasil pertanian, nilai makanan dan kesihatan serta memperbaiki taraf hidup penduduk sesebuah negara yang sedang membangun ekonominya.

Betapa besar harapan yang diletakkan kepada media sehingga dijangkakan akan dapat menyelesaikan semua masalah pembangunan negara. Media massa boleh dijadikan sebagai alat utama yang mampu memberi kesan dan mempengaruhi pemikiran masyarakat, baik di kalangan kanak-kanak, remaja atau golongan dewasa.

Ada golongan tertentu yang mengambil kesempatan untuk mempergunakan media massa dalam membawa cerita atau berita yang berunsur negatif bagi mempengaruhi masyarakat. Penggunaan tipu daya secara halus untuk mengaburi masyarakat dengan kebenaran. Kebanyakannya menjanjikan program yang berbentuk keganasan, keruntuhan moral dan unsur-unsur lain yang tidak sesuai dengan norma masyarakat kita.

Sebaliknya pelajar dan generasi muda wajar melayari laman web yang informatif dan bersifat ilmiah. Mereka sepatutnya mencari maklumat baru atau mendalami pengetahuan. Mereka perlu dilatih sama ada di rumah atau melalui sistem persekolahan supaya lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat.

Disiplin diri penting untuk memanfaatkan dan menangani unsur-unsur negatif IT kerana pada akhirnya pengguna sendiri yang perlu membuat pilihan sama ada membuang masa dengan melayari laman yang tidak berfaedah atau memanfaatkan maklumat melalui Internet. Pilihan terletak di tangan mereka sama ada untuk memanfaatkan IT untuk kemajuan diri, masyarakat dan negara atau sebaliknya.

Jika generasi muda mahu terus terperangkap di bawah pengaruh unsur-unsur negatif dalam internet yang boleh merosakkan pemikiran mereka, itu adalah pilihan mereka. Selain budaya kuning yang diketengahkan sesetengah laman web, ada juga pihak yang menyebarkan dakyah palsu yang menggembar-gemburkan isu untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Dari segi penerimaan, mereka perlu menilai terlebih dahulu mesej yang dipaparkan sebelum membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak. Soal sebegini juga memerlukan pengetahuan yang luas yang dapat membantu mereka memilih agenda dan maklumat yang perlu diterima atau tidak. Pengguna internet wajar membebaskan diri mereka daripada dikongkong atau dibelenggu laman web yang boleh meracuni pemikiran, hati dan naluri mereka.

About these ads

9 Respons

  1. mohon keizinan utk dibentangkn pd murid2 sye…

  2. salam sy mohon izin bahan ini dijadikan bahan rujukan kerja kursus saya. terima kasih

  3. mintak iziz copy

  4. salam,,
    sy minta izin untuk dijadikan rujukan kerja sklh,
    terima ksh utk bhn bacaan ini..

  5. aslkm, mohon izin tuan untuk djadikan bhan rujukan..

  6. thanks for the info.

  7. mohon izin tuan untuk menggunakan ini sbg rujukan..terima kasih…

  8. Tlg izinkan sya untuk dijadikan rujukan karja sekolah….semoga tuan diberkati TUHAN

  9. mohon izin tuan untuk dijadikan rujukan..
    terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 43 other followers

%d bloggers like this: