Bahan-bahan picisan lebih digemari oleh golongan remaja

Bahan picisan itu boleh ditakrifkan sebagai bahan bacaan yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada pembaca. Bahan bacaan sebegini juga tidak mengandungi unsur-unsur keilmuan dan pendidikan. Bahan-bahan bacaan sebegini lebih bersifat humur, hiburan, pornografi dan keganasan. Contoh yang paling jelas dapat dilihat pada komik- komik yang mendapat pasaran yang amat luas di dalam negara kita.

Bahan-bahan picisan lebih digemari oleh golongan remaja berbanding dengan bahan bacaan kesusasteraan mahupun ilmiah. Apabila seorang remaja diberi pilihan sama ada komik- komik hiburan atau buku- buku ilmiah sebagai sumber bacaan untuk mengisi masa lapang, remaja tersebut akan memilih komik- komik hiburan.

Komik- komik hiburan yang boleh diklasifikasikan sebagai bahan-bahan picisan adalah lebih digemari oleh golongan remaja berbanding dengan bahan bacaan kesusasteraan ataupun ilmiah. Remaja acapkali membeli bahan-bahan picisan ini dan mengidentifikasikan bahan-bahan picisan ini sebagai sesuatu yang seronok dan memberi kepuasan kepada mereka. Sumber bacaan melalui bahan ilmiah pula sering dianggap membosankan dan remeh-temeh bagi mereka. Bahan-bahan picisan boleh dicirikan melalui harganya yang murah, ilustrasi yang menarik dan bahasanya yang berslanga dan tidak menepati ciri- ciri tatabahasa yang baik. Bahan-bahan picisan ini walaupun dianggap sebagai sesuatu yang remeh- temeh, tetapi akan meninggalkan impresif kepada banyak pihak terutamanya kepada diri, masyarakat dan negara.

Faktor yang jelas dapat dilihat pada keadaan bahan-bahan picisan itu sendiri yang mempunyai ilustrasi gambar yang menarik dan berwarna- warni sedangkan pada bahan-bahan ilmiah hanya terdapat warna hitam dan putih sahaja. Keadaan ini sangat berbeza, memandangkan ilustrasi yang boleh ditakrifkan sebagai visual lukisan atau lakonan yang diadaptasikan ke atas kertas dengan cara yang berteknik dan menarik perhatian, adalah amat penting dalam menarik minat remaja untuk membelinya. Sudah menjadi lumrah manusia, meminati sesuatu yang berbeza daripada sesuatu yang lain, yang mempunyai variasi dari segi bentuk dan warna, dan semua itu terkandung dalam bahan-bahan picisan. Contohnya, komik- komik seperti Utopia, Ujang, Mangga dan sebagainya mencatatkan bilangan pembaca yang begitu tinggi berbanding dengan bahan-bahan ilmiah.

Kos pembelian turut mempengaruhi minat remaja untuk membeli bahan-bahan picisan. Harga bahan-bahan picisan adalah lebih murah berbanding dengan bahan ilmiah. Harga untuk bahan-bahan picisan hanyalah sekitar RM3- RM5, tetapi untuk bahan-bahan ilmiah, ada yang mencecah ratusan ringgit. Hal ini adalah membebankan remaja yang rata-ratanya masih bergelar pelajar dan tidak bekerja. Jadi, apabila ada yang murah, tentulah mereka akan membeli yang murah. Kesannya, bagi mereka yang ingin membeli buku ilmiah terpaksa mencari wang yang lebih jika ingin mendapatkan bahan-bahan ilmiah. Hal ini akan mengganggu konsentrasi pembelajaran mereka.

Tidak dinafikan oleh masyarakat kita, ibu bapalah yang mencorakkan kain putih kehidupan anak- anaknya. Jika sedari kecil lagi, remaja sudah dihidangkan dengan unsur-unsur ini maka tidak hairanlah mereka turut mewarisi tabiat ini. Contohnya, bagi ibu bapa yang menjual bahan-bahan picisan ini, risiko untuk anaknya menggemari bahan-bahan picisan ini adalah lebih tinggi berbanding dengan anak- anak kepada seorang guru. Implikasinya, remaja akan terikut-ikut dengan gaya bahasa dan idea yang terkandung dalam sesebuah komik yang kebanyakannya memberi nilai negatif kepada remaja. Hal ini akan membawa keburukan kepada pemikiran dan tingkah laku pemangkin negara kita.

Fenomena ini jika dibiarkan secara berterusan akan membawa impak yang buruk terhadap banyak pihak. Pelbagai kemungkinan yang bakal timbul bukan sahaja meninggalkan kesan kepada individu itu sahaja, malahan tempiasnya juga akan melanda keluarga, masyarakat, negara, mahupun ke peringkat globalisasi.Akibat yang paling jelas dapat dilihat pada kesan jangka panjang ialah masa depannya sendiri. Kebarangkalian untuk remaja itu berjaya menjawat jawatan yang tinggi pada masa akan datang adalah amat tipis jika mereka tidak berusaha untuk mengubah sikap mereka sedari dari awal lagi. Perkara sebegini hanya meninggalkan kesan yang buruk sahaja kepada individu itu sendiri, malahan turut melibatkan nama keluarga. Contohnya, mereka yang lebih gemar membaca bahan ilmiah berkemungkinan tinggi untuk menjawat jawatan doktor berbanding dengan remaja yang gemar membaca bahan picisan sahaja, mungkin hanya menjawat sebagai kerani sahaja.

Pelbagai implikasi dapat dikesan dari sudut aspek sosial di negara kita berhubung fenomena ini. Lantaran itu ianya lebih merupakan satu aspek yang begitu penting untuk dititikberatkan kerana bahan-bahan picisan lebih membawa pengaruh negatif kepada diri remaja. Remaja mungkin akan meniru aksi-aksi yang terkandung dalam bahan picisan itu. Contohnya adegan pergaduhan. Sebagai remaja, mereka sentiasa berkeinginan untuk melakukan sesuatu perkara yang tidak pernah mereka lakukan, mereka sentiasa ingin mencuba. Maka akibat ini akan menjejaskan hubungan sosial masyarakat. Gejala sosial juga akan menjadi bertambah tenat dengan kewujudan bahan-bahan picisan yang tidak bermoral ini.

Masyarakat Melayu kita kaya dengan peribahasa. Salah satu peribahasa itu ialah “salah makan memuntahkan, salah tarik mengembalikan, salah langkah surut kembali”. Segala kekurangan dan kelemahan yang kita ada ini, haruslah diperbaiki dengan mengambil langkah- langkah positif. Paling utama ialah menaikkan taraf bahan-bahan ilmiah; yakni kita perlu ada strategi yang boleh menarik minat remaja. Kita perlu merancang promosi besar-besaran bagi memberi maklumat tentang kemunculan produk keluaran baru bahan ilmiah dan mengurangkan sedikit kos pembeliannya. Pengimplimentasian promosi ini janganlah pula dilaksanakan secara “hangat-hangat tahi ayam”.

Proses pelaksanaannya perlulah dilakukan secara konsisten. Contohnya, penerbit bahan-bahan ilmiah ini boleh menyertakan sekali peraduan-peraduan tertentu di dalam buku-buku ilmiah mereka yang dijual. Natijahnya, remaja akan berminat untuk membeli dan akan menyebarkan hal ini kepada rakan- rakannya untuk membeli bahan-bahan ilmiah yang menarik ini.

Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang berkesan dan peka terhadap diri anak-anak. Mendidik anak-anak janganlah “seperti melepaskan batuk di tangga”. Ibu bapa sepatutnya sedar bahawa anak itu adalah amanah Allah yang perlu dididik dengan baik. Tambahan pula, anak itu merupakan generasi yang bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Contohnya, ibu bapa yang bertanggungjawab akan dianugerahi gelaran “ibu mithali” atau “ bapa mithali” yang dianjurkan oleh persatuan- persatuan tertentu. Penganjuran peraduan ini dapat membantu menggalakkan semangat ibu bapa untuk mendidik anak- anak dengan betul, sekaligus dapat menghalang anak- anak daripada terus terjebak dengan bahan-bahan picisan.

Selain daripada faktor itu, pihak penerbit seharusnya berfikiran inovatif untuk menceriakan keadaan buku ilmiah. Inisiatif ini penting dalam menarik minat remaja untuk membacanya. Cara ini boleh diatasi dengan mewarnakan ilustrasi buku tersebut. Contohnya seperti buku- buku teks kini yang lebih berwarna- warni dan mampu menarik minat pelajar untuk membacanya seperti buku teks Sejarah tingkatan 4 dan 5.

Remaja-remaja kita pada hari ini seharusnya sedar dan bersyukur dengan kemudahan yang ada. Bahan-bahan picisan itu asalnya dari Barat. Barat pernah menjajah kita pada suatu ketika dahulu. Hidup jangan berkiblatkan Barat. Merujuk kepada kata Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Abdullah Badawi, beliau menyebut pembangunan fizikal dan rohani mestilah seiring dan sejalan. Jangan biarkan kemudahan prasarana kita berada di kelas pertama, tetapi pemikiran minda kita di kelas ketiga. Oleh sebab itu, remaja seharusnya sedar di takuk manakah mereka berada kini.



About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 43 other followers

%d bloggers like this: