Kurangnya kesedaran sivik dan keprihatinan pengguna jalan raya adalah punca berlakukan kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya boleh dikatakan berlaku setiap hari. Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran sivik yang rendah dan kurang keprihatinan para pengguna jalan raya telah meningkatkan tragedi kemalangan di jalan raya pada setiap hari. Hal ini telah membawa kerugian yang besar dari segi kehilangan nyawa dan harta benda.

Sesetengah pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang mempunyai potensi yang tinggi untuk mencetuskan kemalangan. Contohnya, pemandu yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Ini bukan sahaja membahayakan pengguna itu sendiri, malahan melibatkan keselamatan para pengguna jalan raya yang lain.

Para pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk menunjukkan bahawa keprihatinan mereka terhadap pengguna jalan raya yang lain adalah rendah. Pemandu yang mabuk mempunyai sistem kordinasi yang tidak dapat berfungsi dengan cekap. Justeru, tindak balas pemandu itu adalah lambat dan ini boleh menyebabkannya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kegiatan perlumbaan haram tidak asing lagi bagi kita. Jalan raya yang digunakan sebagai litar perlumbaan, khususnya pada waktu malam telah menyusahkan banyak pengguna jalan raya yang lain. Cara pemanduan pelumba haram yang berbahaya ini juga mengganggu tumpuan pemandu yang lain. Hal ini boleh menyebabkan kemalangan. Bukan setakat itu  sahaja, kenderaan mereka yang diubahsuai itu membolehkan mereka memandu dengan lebih laju. Ini juga menyebabkan kemalangan apabila kenderaan mereka tidak dapat dikawal atau diberhentikan ketika berlaku kecemasan.

Sikap tidak bertimbang rasa sesetengah pemandu turut meningkatkan kadar kemalangan jalan raya. Apabila seseorang itu bergegas ke destinasi yang ditujuinya, dia akan menynelit  keluar masuk sesuka hati. Sikap suka memotong cara ini boleh menyebabkan kenderaan lain terpaksa membrek secara mendadak untuk memberi laluan. Ini menyebabkan kemalangan apabila seseorang itu tidak sempat memberhentikan keretanya. Sikap pemandu yang suka menunjuk-nunjuk di jalan raya juga boleh meningkatkan kadar kemalangan di jalan raya. Ini berlaku apabila pemandu itu memecut untuk menunjukkan kemahiran-kemahirannya. Apabila kereta yang dipandunya tidak dapat dikawal, kemalangan sudah pasti berlaku.

Pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu bukan sahaja tidak mematuhi undang-undang, malahan menunjukkan sikap yang tidak bertimbang rasa. Apabila pemandu itu berbual sambil memandu, tumpuan yang sepenuhnya tidak diberikan terhadap pemanduannya. Dalam keadaan yang demikian, pemandu itu cuai ketika sedang memandu. Ini akan menyebabkan kemalangan.

Di samping itu, terdapat faktor lain yang turut meningkatkan kadar kemalangan jalan raya. Keadaan jalan raya yang licin semasa hujan menyebabkan kegelinciran mudah berlaku. Ini menimbulkan kesukaran kepada pemandu untuk mengawal kenderaannya. raya yang tidak bermutu, misalnya sempit dan bengkang-bengkok juga menyebab kemalangan.

Kesimpulannya, kemalangan jalan raya telah meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda. Oleh itu, orang ramai harus memberikan kerjasama yang sewajarnya mengatasi masalah ini. Sikap tidak bersopan di jalan raya harus disingkirkan segera kerana `sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.

Tinggalkan komen