Desakan hidup warga KL

kl.jpg

Pastinya belum terlambat untuk mengucapkan selamat Hari Wilayah kepada warga Wilayah Persekutuan baik di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan yang menyambutnya semalam.

Seperti sambutan lainnya, sambutan Hari Wilayah tidak kurang menariknya dengan pelbagai acara yang penuh berwarna-warni.

Namun, dalam kemeriahan sambutan yang seharusnya bertujuan untuk menghargai sumbangan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dalam mengukir lambang kepada kejayaan negara, timbul keraguan adakah perasaan yang sama turut dirasai oleh warga mereka keseluruhannya?

Bukanlah sesuatu yang menghairankan untuk mengandaikan bahawa cuti umum Hari Wilayah semalam bagi kebanyakan warganya tidak banyak bezanya dengan cuti-cuti umum yang lain.

Lebih manis apabila cuti umum Hari Wilayah kali ini jatuh pada hari Jumaat sekali gus menjadikan cuti hujung minggu lebih panjang dan mudah pula untuk mengatur aktiviti lainnya.

Tidak ramai yang begitu teruja untuk meluaskan pemandangan dan melihat cuti umum Hari Wilayah dalam erti kata yang lebih besar.

Sambutan seperti itu pastinya tidak membawa sebarang makna kerana sejarah yang tercatat adalah sesuatu yang tidak mungkin akan berubah, biarpun sehebat mana sambutan diadakan untuk meraikannya.

Apa yang diharapkan daripada sambutan Hari Wilayah adalah bagaimana warganya memainkan peranan masing-masing dalam mencorakkan Wilayah Persekutuan untuk tahun-tahun mendatang.

Mengambil contoh Kuala Lumpur misalnya, kesesakan lalu lintas, kebanjiran warga asing, banjir kilat, penempatan setinggan, lubuk gejala sosial dan banyak lagi isu lain bukan lagi imej-imej asing yang melatari ibu negara ini.

Ibaratnya permasalahan ini lebih difahami oleh mereka yang tidak pernah pun menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, bayangkan pula hakikat sebenar yang perlu dihadapi oleh warganya.

Membincangkan perkara ini juga bagaikan tiada kesudahan, yang kedengaran hanyalah keluh-kesah warga kota yang sudah bosan berdepan dengan isu yang tidak menampakkan bayang bilakah akan berpenghujung.

Memang tidak adil untuk menyenaraikan segala macam kekurangan Kuala Lumpur ketika namanya terukir gah di persada antarabangsa dengan pelbagai mercu kebanggaan seperti Menara Berkembar Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan banyak lagi.

Namun berbaloikah pengiktirafan itu kepada warga yang mendiaminya sekiranya mereka terpaksa bergelut dengan pelbagai permasalahan hidup yang agak membebankan?

Berbanggakah kita dipayungi oleh bangunan-bangunan yang tingginya mencakar langit, dalam ketika yang sama nilai-nilai moral dalam kehidupan bermasyarakat semakin menyembah bumi?

Hakikat kepada sejarah gemilang yang dicatatkan oleh nadi negara yang bernama Malaysia ini memang diakui sangat besar, namun sisi buruknya juga yang menjadi kenangan dan sebutan.

Imej-imej jelik Kuala Lumpur lebih banyak terlintas dalam fikiran, berbanding jasa dan pengorbanan kota yang bermula dengan lembah bijih timah yang kemudiannya diangkat sebagai sebuah bandar raya kira-kira 34 tahun lalu.

Berhijrah

Mengambil contoh mudah, carilah identiti ibu negara ini di kalangan orang luar bandar, pastinya akan menemukan satu bayangan yang agak mengerikan.

Tanyalah ibu bapa di kampung-kampung seperti di Kelantan atau Kedah, tiada siapa yang dengan rela hati mengizinkan anak mereka berhijrah ke Kuala Lumpur jika tidak kerana alasan yang munasabah, jauh sekali untuk sekadar mencuba nasib mencari sesuap rezeki.

Dalam kotak fikiran mereka, cabaran dan dugaan hidup di Kuala Lumpur terlalu tinggi dan sangat menyesakkan.

Benarlah, kota yang di dalamnya tersimpan 1,001 cerita ini bukanlah lautan yang boleh diduga dengan kail yang panjangnya cuma sejengkal.

Silap percaturan maruah boleh tergadai, hidup menjadi tidak keruan dan tidak mustahil harapan yang pada mulanya diletakkan menggunung berakhir dengan satu tragedi.

Sayangnya itu semua berpunca daripada sikap warga kota sendiri. Isu-isu berkait moral, cara hidup, tekanan dan banyak lagi unsur negatif dalam masyarakat dicipta oleh penghuni yang mendiami Kuala Lumpur.

Kita boleh memilih untuk meladeni kehidupan dengan penuh harmoni, tenang dan selamat untuk bebas bergerak ke mana sahaja di Kuala Lumpur ini.

Sayangnya kebebasan itu terhalang oleh kewujudan kumpulan manusia yang tidak bertanggungjawab, mengganggu-gugat keharmonian dengan melakukan kejahatan dan kemusnahan.

Paling membimbangkan apabila kejadian-kejadian berunsur kerosakan sama ada kepada Kuala Lumpur atau lebih dahsyat kepada masyarakat ini mencatatkan peningkatan dengan angka-angka yang sangat membimbangkan.

Sekadar perbandingan untuk renungan bersama, indeks jenayah Kuala Lumpur membabitkan kes samun, penagihan dadah, perjudian dan gejala sosial pernah mencatatkan peningkatan sehingga 40 peratus dalam masa hanya tiga bulan pertama tahun lalu.

Menyentuh mengenai kemelut nilai dalam norma-norma masyarakat ini, pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, ia tidak dapat mengelak daripada dikaitkan dengan desakan hidup yang sangat tinggi di Kuala Lumpur yang kemudiannya membawa kepada tekanan.

Tekanan ini pula wujud dalam banyak cabang kehidupan sama ada berbentuk peribadi, hubungan kekeluargaan dan masyarakat yang jika tidak diuruskan dengan bijak mendorong pula kepada satu tindakan jalan keluar yang salah.

“Malangnya, warga Kuala Lumpur tidak mempunyai banyak pilihan untuk mengelak daripada tekanan tersebut melainkan terpaksa menghadapinya dengan kemungkinan tergelincir atau semakin menjauh daripada nilai-nilai hidup bermasyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Unsur-unsur sebeginilah yang semakin melakar imej Kuala Lumpur ketika ini sekali gus semakin menghakis simbol pembangunan dan kemajuan yang seharusnya dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Namun membiarkan warga Kuala Lumpur untuk terus larut dalam tanggapan sedemikian pastinya sesuatu yang tidak adil.

Kita sebagai warga kota lebih-lebih lagi anak perantau, seharusnya berterima kasih di atas segala nikmat yang tumbuh melata di bumi yang sangat bertuah ini.

Perasaan itu pastinya tidak memadai sekadar melafazkannya semata-mata, sebaliknya perlu bersama-sama membersihkan imej ibu negara dengan satu bentuk tindakan dan peranan yang lebih besar.

Bermulalah dengan sikap mengambil peduli dengan apa yang ada di sekeliling kita, dengan menyedari bahawa kita tidak hidup bersendirian di bumi Kuala Lumpur yang sangat indah ini.

Seperti kata Mariani lagi, kehidupan di kota memerlukan satu bentuk pengorbanan yang sangat tinggi oleh penghuninya, bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri tetapi perlu juga mengambil kira setiap anggota lapisan masyarakat yang lainnya.

Barangkali sikap menjaga tepi kain orang di Kuala Lumpur hari ini sudah boleh diterima, jika dengan cara itu sahaja dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah sosial yang tidak lagi tertanggung oleh ibu kota ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: