Kawasaki ZX-6R


Si tangkas Kwak!

Tidak mahu ketinggalan menghasilkan jentera superbike lebih canggih, Kawasaki memperkenalkan ZX-6R.


NINJA hijau ini cukup sinonim dengan jentera label Kawasaki.

DUNIA superbike semakin meriah setiap hari dengan pelbagai inovasi baru diperkenalkan pembuat motosikal terkemuka dunia untuk memastikan jenama masing-masing sentiasa gemilang.Segmen motosikal moden juga kian khusus di mana setiap pengeluar menghasilkan superbike yang sama dengan pengeluar lain dari segi keupayaan, prestasi dan kelas.Apabila zaman teknologi memacu pantas dalam sektor automotif, pengeluar seperti Suzuki, Kawasaki, Yamaha dan Honda bersaing rapat mengenengahkan produk yang inovatif dan lebih canggih.Jika Honda berjaya dengan CBR600, Suzuki pula mencabar dengan GSX-R dan Yamaha menukarkan versi YZF kepada R6. Bagaimana dengan Kawasaki? Ya. Mereka menggantikan 636 kepada Ninja ZX-6R.

Keempat-empat motosikal ini jika diletakkan secara sebelah menyebelah akan memperlihatkan kesamaan reka bentuk yang hampir serupa.

Peredam bunyi di bawah tempat duduk belakang, ekor yang tirus dan fairing hadapan yang menguncup. Hanya lampu hadapan dan skema warna sahaja yang membezakan identiti antara mereka.

Kawasaki ZX-6R yang saya pandu uji minggu lalu adalah antara pelopor dalam kategori ini.

Semenjak berakhirnya generasi siri P, Kawasaki tidak lagi membina motosikal kelas 750cc. Malah, kini hanya Suzuki sahaja yang masih membariskan GSX-R 750 dalam produksi sedangkan Kawasaki, Honda dan Yamaha berjuang habis-habisan dalam pasaran 600cc.

Sekali pandang, motosikal ini kelihatan kerdil dan amat berbeza jika diletakkan disebelah ZX-10R. 600cc bukan sekadar enjin.

Ia adalah kejuruteraan motosikal moden dengan limpahan teknologi yang menjadikan motosikal ini lebih senang dikendali dan lebih baik dari motosikal 750cc pra tahun 2000.

Teknologi blok pembakaran yang diperkuatkan, suntikan bahan api, sistem suspensi, casis dan brek yang maju menjadikan motosikal 600cc keluaran baru sangat tangkas dan lebih mudah dikendalikan. Jadi, apabila saingan semakin sengit, jentera 600cc dimajukan dengan lebih serius untuk menghasilkan sebuah motosikal sportbike yang kecil, stabil dan kuasa yang tidak menghampakan.

Mengharapkan keselesaan pada sportbike seperti ini adalah sama seperti mengharap Diablo senang dipandu di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Sudut tunggangannya direka menjunam ke hadapan untuk memastikan tunggangan yang stabil. Apabila anda menunggang dengan sudut menunduk, maka rintangan udara akan lebih mudah melepasi badan. Malah, dengan penghadang angin keluaran asal ZX-6R ini, saya tidak mempunyai masalah untuk memecut melepasi 200km/j.

Motosikal ini stabil pada kelajuan tinggi, namun sudah pastilah tidak sejitu jentera satu liter. Kadar getaran enjin dan kawalan mula memerlukan perhatian selepas meter melepasi kelajuan sekitar 190km/j.

Sudah agak lama saya tidak menunggang sportbike bersaiz ini. Ia jauh lebih ringan dari mana-mana motosikal yang pernah saya tunggang dalam kategorinya. Mengundur juga tidak terlalu sukar dengan menolak sebelah kaki dan juga mudah juga rupanya untuk mengimbangkannya.

KOD Ninja yang terus digilai oleh para peminatnya.

Sesi pandu uji saya seterusnya ialah di jalan lama Gombak-Bentong. Di jalan yang berliku ini, saya cuba membawa ZX-6R ini bermain beberapa ketika untuk menyesuaikan diri.

Sebaik yakin, saya mula membawa motosikal ini bermain di selekoh sedikit demi sedikit. Jika anda mahir di jalan ini, itu sesuatu yang bagus, tetapi tidak bagi saya. Sekali sekala terkejut juga bila berselisih dengan kenderaan yang dipandu laju.

Setelah lebih 10 kilometer dari persimpangan awal, saya mula memahami karakteristik motosikal ini. Melayan selekoh daripada kelajuan rendah ke sederhana mula menyeronokkan.

Enjin meminta-minta untuk diperah, cuma saya masih berhati-hati kerana motosikal ini terlalu cepat untuk bertukar arah. Membawa rebah ke kanan dan ke kiri dapat dilakukan dengan amat mudah, malah jika ia sebuah kereta, pengendaliannya seperti sebuah Civic Type-R.

Ia cukup tangkas menukar haluan dan juga kuasa yang melonjak pantas pada peringkat pertengahan hingga ke garisan merah. Mengekalkan garisan selekoh dan menukar arah mampu dilakukan dengan pantas tanpa kehilangan kuasa enjin.

Sistem breknya juga cukup mantap. Ia berhenti di mana sahaja titik yang diarahkan. Malah saya percaya, jika diberikan kepada penunggang berpengalaman, ia tidak akan jauh ketinggalan berbanding jentera 900cc.

Panel instrumentasinya berkongsi teknologi dengan Z750 dan juga Z1000. Panel yang ringkas terdiri daripada meter RPM analog, meter kelajuan digital dan indikator kedudukan gear yang mudah dilihat.

SUIS kawalan yang mudah dikendalikan.

Namun, pada saya secara peribadi, indikator gear tersebut lebih baik digantikan dengan penunjuk bahan api. Suis-suis di kiri dan kanan bar hendalnya merangkumi alat bantu moden, selain suis kecil untuk paparan catatan masa.

Reka bentuk jentera ini adalah sesuatu yang menarik perhatian. Jika Ferrari sinonim dengan warna merah, Kawasaki tidak akan lari dari tema Ninja hijaunya. Cuma motosikal pandu uji saya ini warnanya merah.

EKZOS yang disisip kemas di bawah tempat duduk.

Bentuk hadapannya tirus dengan lohong kemasukan udara di bahagian tengah. Dengan fairing bertutup penuh dan tanpa paip ekzos, Ninja ini kelihatan gagah dari bahagian sisi. Bahagian belakangnya pula dipadankan dengan ekzos under tail yang cukup seksi, lampu belakang LED dan juga dapra kecil yang sesuai reka bentuknya.

Kombinasi enjin yang berkuasa, pengendalian, suspensi dan brek yang mantap menjadikan ZX-6R ini sebuah motosikal sportbike moden yang memecahkan tradisi pembuatan sportbike kelas pertengahan.

Nama Ninja sekali lagi memberi cabaran baru pada kelas 600c moden. Jika anda kurang berkemampuan untuk memiliki 1000cc (R1, Blade, ZX10R atau K8), 600cc tidak akan menghampakan. Kecuali jika prestasinya dibandingkan di litar.

Selebihnya serahkan pada Ninja dan ia akan memberi pengalaman baru kepada anda. Jentera Kwak ini dijual pada harga RM63,900 (bukan atas jalan), iaitu hanya RM6,000 lebih murah daripada Suzuki Swift. Mahal? Memang mahal.

Advertisements

2 Respons

  1. saya sangat tertarik dengan motorbike ini, agak2 berapa harga motobike @ berapa bayar bulan motobike ini….

  2. bayaran bulan2 bagi
    zx 6r ni berapa rr??

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: