Serius pupuk budaya membaca

reading-hi4.jpg

MENGGALAKKAN budaya membaca di kalangan rakyat bukanlah tugas kerajaan atau pemimpin sahaja tetapi yang yang paling banyak memainkan peranan ialah ibu bapa di rumah.

Selain berperanan sebagai guru pertama bagi setiap individu yang lahir ke dunia, ibu bapa juga memang dipertanggungjawabkan untuk membimbing dan mendidik zuriat yang dilahirkan dengan sebaik-baiknya.

Tidak dinafikan ada ibu bapa yang terlupa menyedarkan anak-anak peri kepentingan ilmu kerana ibu bapa itu juga tidak berilmu.

Tuntutan hidup juga sering kali menyukarkan ibu bapa menunjukkan teladan ilmu dan kesannya kepada anak-anak.

Bagaimanapun, saya percaya tidak ada ibu bapa di dunia ini yang menginginkan anak mereka bagaikan tiada tempias pun kepada masyarakat dan negara.

Sekurang-kurangnya, jadilah orang yang berguna kepada diri sendiri kalaupun tidak pada keluarga.

Doa dan harapan ibu bapa silih berganti, tetapi yang tidak tertunai ialah fenomena ilmu dalam sesebuah keluarga. Bayangkan jika anak tidak pernah melihat ibu bapa membaca walau sekalipun! Bagaimana anak-anak hendak merasakan budaya membaca di rumah mereka sekiranya tanda-tanda begitu pun tidak berlaku langsung?

Ada rumah yang mempunyai perpustakaan dan tentunya ada orang yang gemar membaca dalam keluarga itu.

Tetapi kalaupun tidak ada perpustakaan yang khas, asalkan ada simpanan buku-buku yang sering dibaca pada masa-masa tertentu sudah cukup menjadi kelangsungan kepada mewujudkan fenomena ilmu dalam setiap rumah dan keluarga.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan melaksanakan langkah lebih agresif bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai ‘Negara Pembaca’ tidak akan menggembirakan sesiapa yang tidak pernah terkesan dengan pembacaan, atau mungkin menganggap orang lain akan memainkan peranan itu, bukan mereka.

‘Negara Pembaca’ bukan sahaja untuk melihat semua orang membaca di mana-mana tetapi juga merujuk kepada masyarakat Malaysia yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan, mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru.

Langkah ini sememangnya akan membolehkan rakyat Malaysia menyertai penduduk negara maju lain yang menjadikan membaca sebagai satu tabiat dan budaya hidup. Negara Jepun misalnya sudah lama menjadikan pembacaan sebagai salah satu aktiviti tetap dalam kehidupan seharian. Budaya itu berterusan kerana setiap rakyatnya melihat semua orang melakukannya.

Secara tidak langsung ia menjadi ikutan kepada generasi yang masih kecil.

Pembinaan kampung atau pasar buku, perpustakaan serta kelab-kelab buku, memberikan anugerah bukan sahaja kepada penulis bagi menggalakkan mereka menghasilkan lebih banyak karya untuk tatapan rakyat negara tetapi juga kepada orang yang banyak membaca yang dinilai melalui ketinggian ilmu pengetahuannya boleh menggalakkan budaya ini.

Banyaknya majalah dan penulisan pojok yang juga laris di pasaran membuktikan bahawa generasi muda negara ini gemar membaca tetapi bukan bahan yang lebih ilmiah tetapi sekadar menghiburkan hati.

Metod alternatif bahan ilmiah yang boleh menarik minat mereka ialah penulisan separa akademik di akhbar-akhbar harian.

Banyak pengetahuan yang boleh disampaikan kepada golongan ini melalui penulisan yang lebih ringan walaupun sarat dengan ilmu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: