Kereta super 2008

Kereta bak pesawat, berteknologi F1
TAHUN 2008 menyaksikan beberapa syarikat pengeluar kereta bertaraf ‘super car’ bakal mengeluarkan beberapa model baru yang bukan sahaja berpotensi untuk kegunaan seharian, malah kelajuan kenderaan kenderaan terbabit juga menyamai atau setanding kenderaan Formula One (F1).

Bagaimanapun, berdasarkan kepada harga yang mencecah jutaan dolar, kenderaan terbabit hanya mampu dimiliki mereka terdiri daripada ahli perniagaan, selebriti Hollywood dan ahli sukan yang benar-benar kaya.
Antara model paling ditunggu adalah Ferrari F430 Scuderia, model terbaru daripada versi F430 Coupe yang akan dilancarkan pertengahan tahun ini.

Dilengkapi enjin berkapasiti 4.3 liter lapan silinder (V8), Scuderia adalah kereta terpantas dalam keluarga Ferrari pada masa ini.

Selain reka bentuk badan yang ringan dan ditambah pula enjin berkuasa kuda 510hp, iaitu melebihi 30hp daripada enjin F430 asal, Scuderia hanya mengambil masa kurang 3.7 saat untuk mencecah kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dari kedudukan pegun.

Peningkatan kuasa enjin ini disebabkan penggunaan enjin gentian karbon baru yang lebih ringan dan berkuasa selain palam pencucuh dari teknologi perlumbaan F1 Ferrari.

Selain itu, ciri luaran turut diperkemaskan lagi dengan tambahan gril dan ruang angin menjadikan Scuderia lebih garang dan aerodinamik.

Bagi menunjukkan Scuderia adalah kenderaan yang berciri eksklusif, dua jalur perlumbaan menghiasi badan kereta ini bermula dari bonet hadapan sehingga ke bahagian lampu belakang.

Jalur perlumbaan ini amat popular di Amerika Syarikat dan penggunaan jalur berkenaan pada kenderaan adalah sah mengikut undang-undang jalan raya negara terbabit.

Selain itu, jalur berkenaan juga menunjukkan ia bukanlah satu kenderaan yang ‘biasa’, sebaliknya ia adalah sebuah kenderaan yang berprestasi tinggi dan eksklusif.

Kepantasan Scuderia ini juga turut dibantu dengan penggunaan perisian terkini bagi pertukaran gear, kawalan kestabilan dan klac yang sama digunakan dalam teknologi perlumbaan F1.

Menurut Ferrari, Scuderia adalah satu-satunya kenderaan keluarannya yang menggabungkan tiga sistem terkini daripada teknologi perlumbaan F1 di dalam satu kotak hitam pada enjin kenderaan terbabit.

Pesaing Ferrari, Lamborghini turut tidak ketinggalan bersaing apabila melancarkan model terbarunya yang dikenali sebagai Lamborghini Murcielago LP640 atau ‘Reventon’.

Lamborghini yang popular dengan model ‘Diablo’ itu masih mengekalkan ciri kenderaan ‘berkotak’ pada Murcielago tetapi bentuk berkenaan tidak menghalangnya menjadi kenderaan darat terpantas di dunia.

Malah, bentuk kotak itu menjadi sudah menjadi ‘trademark’ kepada Lamborghini dalam menghasilkan kenderaan yang berbucu tajam, pantas dan garang.

Syarikat pembuat kereta dari Saint Agata, Itali ini mengadaptasikan bentuk pesawat pejuang sebagai model asas pembuatan Murcielago.

Dengan enjin 12 silinder (V12) 6.5 liter, Murcielago berupaya menghamburkan kuasa sehingga 640bhp, iaitu kuasa kuda tertinggi di jalan raya yang dikeluarkan pengeluar secara sah.

Kenderaan bermuncung tajam ini mampu mencecah kelajuan tertinggi sehingga 340 km/j dan hanya mengambil masa 3.4 untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Difahamkan, hanya 20 unit Murcielago dikeluarkan Lamborghini manakala harganya dijangka melebihi satu juta Euro.

Selain pembuat kereta Itali, satu syarikat pembuat kereta berprestasi tinggi British, Jaguar juga bakal memperkenalkan model super car terbarunya, Jaguar Siri XK 2008.

Berkapasiti 4.2 liter V8 Supercharged, Jaguar XK bakal memberi saingan kepada pengeluar kenderaan Itali dan serta negara lain dalam usaha memenangi hati orang ramai terutama dari segi harga serta kepuasan.

Meskipun harga kenderaan Jaguar ini agak murah dari Ferrari dan Lamborghini, pengeluar tetap mengutamakan kepuasan pembeli terutama dari segi kuasa, keselamatan, kemewahan dan gaya.

Berbekalkan kuasa 300hp, Jaguar berupaya mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa 5.9 saat selain mencecah kelajuan maksimum sehingga 250km/j.

Kepantasan kereta buatan British ini bergantung kepada kerangka badan aloi yang ringan selain bentuk yang aerodinamik dan beralun.

Faktor harga yang murah tidak bermakna ciri keselamatan turut dikurangkan, malah Jaguar tetap mengutamakan keselamatan pemandu dan penumpang apabila melengkapkan sri XK dengan sistem brek antikekunci (ABS) dan bantuan brek (BA).

Paling menarik, Jaguar XK turut dilengkapi alat kawalan tekanan tayar dan akan memberi amaran sekiranya tayar mengalami kekurangan angin atau bocor.

Ini membolehkan pemandu mengambil langkah sewajarnya dan mengelakkan kemalangan disebabkan kegagalan tayar berfungsi dengan sempurna.

Bagi penggemar kenderaan pacuan empat roda (4X4) atau utiliti sport (SUV), Porsche tidak terkecuali apabila mengeluarkan versi terbaru Cayenne Turbo 2008 untuk pemandu berjiwa lasak tetapi bergaya.

Berkuasa 500hp dengan lapan silinder (V8), Cayenne berupaya mendaki bukit selaju 190 km/j, iaitu satu perkara yang sukar dilakukan mana-mana kenderaan seangkatannya yang lain.

Dengan enjin berkapasiti 4.8 liter, kenderaan SUV itu mampu mencecah kelajuan 100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat.

Cayenne turut dilengkapi dengan sistem suspensi yang lembut untuk kegunaan di jalan biasa seumpama menaiki sebuah kereta mewah.

Bahagian dalaman mana-mana kenderaan keluaran Porsche sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dari segi keselamatan, kenderaan SUV mewah ini dilengkapi dengan ABS dan bantuan brek elektronik (EBA) pada semua tayarnya.

Dengan peningkatan ekonomi negara yang semakin baik, mustahil rakyat tempatan juga mampu memiliki kenderaan terbabit dan kelihatan menjalar di jalan raya dengan perasaan megah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: