Di mana kualiti kita?

Oleh: Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali

APABILA institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara sekali lagi gagal tersenarai dalam Times Higher Educational Supplement (THES), banyak pihak yang bertanya, apa sudah jadi dengan menara gading di Malaysia?

Disebalik kritikan, ada juga memahami dan berpendapat jika tersenarai dalam THES, ia bukan jaminan sesebuah universiti itu cemerlang dan berjaya.
Ia juga tidak menunjukkan kemampuan sebenar IPTA kerana penilaian diberi berlandaskan kriteria tertentu yang sukar dicapai IPTA tempatan berbanding universiti luar yang sudah lama mencipta nama.

Tidak dinafikan kebanyakan pihak terutama yang menerajui IPTA terkilan dengan kegagalan itu kerana jika tersenarai dalam THES, ia satu kebanggaan.

Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Aminah Ayob, berkata kegagalan itu bukan bermakna usaha memartabat dan meningkatkan taraf IPTA di persada dunia terhenti, sebaliknya memberi peluang mengkaji di mana kelemahan kita.

Menurutnya, jika IPTA negara ini tersenarai dalam THES, ia satu kebanggaan, namun jangan berputus asa kerana tindakan itu boleh membantut usaha untuk terus cemerlang.

“Saya percaya, kegagalan itu memberi peluang kepada semua pihak meneliti aspek dan kualiti penawaran di institusi masing-masing.

“Jangan biarkan ia menggagalkan usaha bagi memartabatkan nama negara dalam dunia pendidikan antarabangsa.

“Penarafan itu hanya sebagai salah satu dorongan untuk terus maju dan berusaha,” katanya.

Penarafan THES dikendalikan syarikat swasta British iaitu Quaquarelli-Symmonds (QS) bagi pihak THES iaitu akhbar yang berpusat di London sejak 2004.

Pada 2006, beberapa universiti tempatan berjaya melakar kecemerlangan apabila menempatkan institusi masing-masing dalam kedudukan 200 universiti terbaik dunia. Bagaimanapun, kedudukan itu semakin jatuh dan tahun ini, IPTA negara ini tersasar jauh.

Kejatuhan itu dikatakan berpunca daripada perubahan kriteria dan penarafan yang disyaratkan THES kepada lebih 3,000 universiti di seluruh dunia.

Antaranya kriteria berdasarkan penilaian sepakaran sebanyak 40 peratus, penerbitan yang dirujuk (20 peratus), nisbah pensyarah-pelajar (20 peratus), penilaian majikan (10 peratus), pensyarah antarabangsa (lima peratus) dan pelajar antarabangsa (lima peratus).

Antara universiti terkenal dunia yang menduduki senarai teratas pada tahun ini ialah Harvard University, University of Cambridge , University of Oxford dan Massachusetts Institute of Technology.

Wakil dari negara Asia pula ialah University of Tokyo yang menduduki tangga 17, University of Hong Kong (18 ) dan National University of Singapore (33).

Bagi Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Rafiah Salim, biarpun kajian itu tidak menggambarkan prestasi sebenar UM, ia mengundang pelbagai persepsi masyarakat terhadap universiti berkenaan, selain menggugat prestasinya pada peringkat antarabangsa.

Menurutnya, perubahan itu bukan saja menjejaskan kedudukan universiti tertua negara malah hampir semua universiti tersenarai, termasuk 20 universiti terbaik juga ketara berubah.

“Memang hampa apabila terus menjunam, namun tidak bermakna kita tidak melakukan apa-apa. Strategi akan terus diatur untuk memperbaikinya.

“Biarpun kedudukan UM jatuh, kita berjaya mencatat peningkatan dalam beberapa aspek iaitu kategori penilaian majikan, pensyarah antarabangsa dan pelajar antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata pihaknya akur dengan keputusan THES dan menerima hakikat tetapi UKM masih ada

kualiti.

Kedua-dua universiti itu pernah tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia iaitu UM di tangga 192 dan UKM 185 pada 2006.

Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga 292 dan Universiti Sains Malaysia (USM) 277.

Dalam keputusan terbaru yang dikeluarkan pada 9 November lalu, UM menduduki tangga 246, UKM (309), UPM (364) dan USM (307)

Mengulas mengenai sama ada penarafan ini sesuai atau tidak diberikan kepada IPTA tempatan, Profesor Dr Aminah berkata, ia tidak sesuai kerana kriterianya sentiasa berubah.

“Apabila tidak tersenarai, jangan anggap IPTA tempatan tidak mempunyai kualiti kerana institusi di negara ini membuktikan banyak mendapat kejayaan. Kita masih yang terbaik.

“Jangan bandingkan kemampuan universiti yang tersenarai dengan kemampuan universiti tempatan kerana institusi berkenaan sudah lama menjana kecemerlangan.

“Mereka juga mengawal semua penerbitan dan menghasilkan pemimpin terkemuka di dunia.

“Bagaimanapun kita harus berbangga kerana mempunyai falsafah dan misi sendiri dalam mencorakkan kecemerlangan institusi pendidikan negara,” katanya.

Kajian Reputasi Akademik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau dulunya dikenali Lembaga Akreditasi Negara (LAN) mengkategorikan universiti dalam enam kelompok iaitu enam (luar biasa cemerlang), lima (cemerlang), empa (baik), tiga (sederhana), dua (kurang memuaskan) dan satu (lemah).

Menerusi data 2005, hanya USM dikelaskan sebagai satu-satunya universiti dalam kelas cemerlang manakala yang lain hanya berjaya mencapai tahap baik dan sederhana.

Bagi membolehkan IPTA negara ini bersaing pada masa depan, Profesor Dr Aminah turut menyarankan beberapa langkah yang boleh dilakukan, antaranya meningkatkan persepsi rakan (peer review) terhadap institusi sedia ada.

“Semua institusi wajar menonjolkan kekuatan dan keunikan institusi masing-masing di mata dunia, antaranya membabitkan diri dalam penyelidikan secara kerjasama dengan pakar dan profesor di universiti terkenal.

“Universiti tempatan patut mengambil bahagian dalam forum di peringkat antarabangsa atau melakukan inisiatif selaras dengan matlamat badan antarabangsa menerusi penyelidikan.

“Paling penting, perlu ada jaringan antarabangsa kerana ia akan membuka mata dunia untuk menilai keupayaan institusi di negara ini,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: