Hong Kong syurga beli-belah

Penulis: ASMIZAN MOHD SAMIRAN

SEBELUM berangkat ke Hong Kong sempena promosi filem I Am Legend atas jemputan 20th Century Fox Malaysia baru-baru ini, beberapa rakan memberi pelbagai cadangan lokasi menarik yang perlu dikunjungi di negara itu.

Ada mencadangkan penulis berkunjung ke Hong Kong Disneyland, menikmati pemandangan indah Hong Kong di puncak setinggi 396 meter dari aras laut di The Peak, membeli-belah pelbagai barangan di lokasi ala Uptown dan Jalan Petaling di Ladies’ Market, Mong Kok, mencuba eskalator berbumbung Central — Mid-Levels sepanjang 800 meter dan bersantai di Terminal Star Ferry di Tsim Sha Tsui.
Ikutkan hati, penulis mahu ‘redah’ semuanya, tetapi kerana kesuntukan masa dan perlu melaksanakan tugas yang lebih penting, sepanjang tiga hari di negara itu, hanya tiga lokasi sempat disinggahi.

Lokasi pertama hari pertama ialah Wan Chai yang terletak di Utara Hong Kong. Penulis hanya berjalan kaki berikutan hotel penginapan penulis terletak di daerah itu.

Berjalan mengikut arah kaki dan papan tanda, langkah penulis terhenti di satu lokasi yang penuh dengan bas dan pelancong. Rupa-rupanya lokasi yang menjadi tumpuan ramai itu ialah Golden Bauhinia Square.

Ia menempatkan replika sejenis bunga dinamakan Bauhinia yang turut digunakan pada bendera dan wang syiling Hong Kong.

Menurut seorang jurugambar amatur yang menyediakan khidmat mengambil gambar di dataran itu, setiap hari pada jam 8 pagi upacara menaikkan bendera dilakukan.

Katanya, dataran itu sangat istimewa dan bersejarah buat warga Hong Kong kerana di dataran itulah upacara penyerahan tampuk pimpinan kerajaan Britain kepada kerajaan China dilakukan pada Julai 1997.

Menarik mengenai dataran itu, pengunjung berpeluang menikmati suasana santai dan pemandangan indah selat Victoria Harbour yang membahagikan Pulau Hong Kong dan Kowloon.

Berhampiran dataran, pangkalan feri Star Ferry, Wan Chai turut menggamit kunjungan pelancong.

Selain dataran dan pemandangan selat yang indah, Wan Chai dikelilingi bangunan pencakar langit, termasuk bangunan pencakar langit kedua tertinggi di Hong Kong, Central Plaza.

Bagi yang mahu membeli-belah, Tai Yuen Street Market boleh dijadikan pilihan. Walaupun dikenali sebagai pusat menjual permainan kanak-kanak, pasar itu turut menawarkan pakaian kanak-kanak dan dewasa.

Begitupun, paling penting, di lokasi itu ada satu kedai borong — Elegant Tang Dynasty Wholesale — yang menjual barangan berasaskan identiti Hong Kong. Daripada cenderamata, pakaian, kasut, selipar, cadar bantal hinggalah lapik meja, semuanya boleh diperoleh dengan harga munasabah dan lebih berbaloi jika pandai tawar menawar.

Sebagai contoh, barangan cenderamata seperti beg duit kain dan sarung telefon bimbit bercirikan seni Hong Kong dan mempunyai tulisan Hong Kong harganya HK$10 (RM4). Jika beli tiga percuma satu.

Untuk pakaian seperti baju-T bertulisan Hong Kong pula, harganya sekitar HK$20 (RM8) hingga HK$30 (RM13). Ada dijual secara pakej 5 helai HK$100 (RM42) atau beli tiga percuma satu.

Belum puas ‘meneroka’ Wan Chai, penulis pulang ke hotel penginapan kerana ada tugasan menanti untuk diselesaikan.

Pada hari kedua, penulis berkunjung ke lokasi kedua, iaitu Causeway Bay — satu lokasi yang mula penulis kenali ketika bermain permainan Monopoly pada zaman kanak-kanak. Itupun kerana mengikuti majlis karpet merah dan sesi bertemu peminat bersama pelakon I Am Legend, Will Smith; pengarah, Francis Lawrence dan penulis skrip, Akiva Goldsman.

Majlis yang diadakan pada sebelah malam di pusat beli-belah Times Square itu menambah lagi kemeriahan suasana lokasi yang sememangnya meriah sepanjang masa.

Selain Times Square, lokasi pusat beli-belah seperti Caroline Centre, World Trade Centre, The Lee Gardens, Lee Theatre Plaza, Fashion Island, Windsor Place dan Island Beverley menawarkan pelbagai jenis barangan yang boleh diborong untuk dibawa pulang.

Tidak banyak yang boleh diceritakan di Causeway Bay kerana penulis hanya sempat menghabiskan masa di lokasi itu untuk beberapa jam.

Begitupun, hati puas kerana sekurang-kurangnya dapat menjejakkan kaki dan pada masa sama berkesempatan pulang dari Causeway Bay ke Wan Chai menaiki sistem pengangkutan awam paling efisyen dan popular di Hong Kong, iaitu MTR (kereta api bawah tanah).

Hanya dalam tempoh empat minit, penulis tiba di stesen MTR dengan bayaran tambang HK$4 (RM1.70)

Untuk hari ketiga, lokasi ketiga yang penulis kunjungi ialah Tsim Sha Tsui. Sekali lagi penggunaan MTR memudahkan perjalanan penulis. Tambangnya HK$8.50 (RM3.60) dan memakan masa sembilan minit untuk sampai ke destinasi.

Memang seronok menggunakan perkhidmatan MTR. Lebih seronok jika penulis berpeluang menaiki satu lagi pengangkutan awam, iaitu trem, tetapi yang mampu dilakukan hanyalah bergambar di depan pengangkutan awam yang berfungsi seperti bas itu.

Di Tsim Sha Tsui, banyak lokasi menarik sempat disinggahi. Antaranya Terminal Star Ferry dan pusat beli-belah Harbour City yang di dalamnya menempatkan kedai permainan terbesar kanak-kanak di Asia, Toys ‘R’ Us dan beberapa kedai jenama pakaian kanak-kanak terkenal seperti Elle Petite & United Colours of Benetton.

Selain Harbour City, berdasarkan maklumat daripada papan tanda, ada lebih 15 pusat beli-belah menjual pelbagai barangan biasa dan berjenama mewah di Tsim Sha Sui.

Ada juga beberapa lokasi menarik yang sepatutnya dikunjungi, antaranya Hong Kong Cultural Centre, Hong Kong Space Museum, Hong Kong Museum of Art dan Teddy Bear Kingdom. Namun, semua itu hanya mampu di lihat dari luar.

Pengalaman berkunjung ke tiga lokasi selama tiga hari di Hong Kong meninggalkan kenangan manis, tetapi jika berpeluang ke negara itu sekali lagi, penulis mengimpikan kenangan lebih manis kerana yakin mampu berkunjung ke lebih banyak lokasi.

Bukan sesuatu yang sukar untuk melaksanakan impian itu kerana dengan menggunakan MTR, banyak lokasi menarik boleh dikunjungi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: