Kehebatan Berlin

Penulis: ZULKIFLI MAT JUSOH

MESKIPUN sudah mengunjungi lebih 91 bandar dan bandar raya di seluruh dunia sejak 21 tahun lalu, saat menjejakkan kaki ke Berlin, Jerman bermula 19 hingga 22 April tahun lalu, sesuatu yang istimewa untuk dikenang.

Jika sebelum ini kunjungan ke mana-mana bandar raya dirancang terlebih dulu, sama ada penginapan atau tempahan tiket kapal terbang, namun sebaliknya berlaku di Jerman.
Hanya desakan seorang rakan yang berulang kali menyarankan penulis ke negara yang terkenal dengan keindahan dan kebersihan itu membuatkan diri nekad menyaksikan kebenaran kata-kata itu.

Berbekalkan keyakinan dan semuanya dilakukan pada saat akhir, penulis memulakan langkah ke Berlin dari London, England, lokasi percutian yang sudah lama dirancang.

Penulis ada di London bermula 7 April sehingga 19 April 2006 sebelum mengambil keputusan meneruskan pengembaraan ke Berlin. Dari London ke Berlin, perjalanannya sangat mudah.

Semua urusan dilakukan secara on-line sehari sebelum bertolak. Dari London, penulis menaiki Jet Air yang mengambil masa dua jam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Schoneberg, Berlin.

Menjejakkan kaki kali pertama di tanah Berlin, perasaan bercampur-baur — tidak percaya, teruja dan gembira meskipun penulis bersendirian, dan hanya peta menjadi teman setia.

Di lapangan terbang kecil itu, penulis membeli tiket pengangkutan berharga 30 euro (RM144) yang boleh digunakan selama tiga hari untuk menaiki mana-mana bas dan kereta api.

Uniknya sistem berkenaan, tiada penjaga atau pemeriksa tiket, cuma penumpang perlu mengimbas tiket itu ke mesin yang tersedia sebelum menaiki bas atau kereta api.

Dari lapangan terbang, penulis menaiki kereta api di Stesen Eisenachev Strabe ke hotel penginapan di bandar Berlin. Kebetulan pada masa itu musim bunga, sepanjang perjalanan mengindahkan suasana, selain deretan bangunan moden dan pencakar langit.

Turut menarik perhatian ialah bangunan tradisional yang masih berdiri kukuh, terutama pada era tentera Nazi.

Tidak sukar mencari hotel penginapan, Hotel Aletto Schoneberg berdasarkan peta, selain papan tanda arah yang ada dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Jerman.

Selepas mendaftar dengan bayaran 40 euro (RM192) semalam, penulis berehat seketika melepaskan penat sambil menikmati hidangan. Mengenai restoran, tidak sukar mencari makanan halal kerana anda boleh menemui restoran Thai atau Cina di mana saja.

Bagi penulis, soal makanan tidak menjadi masalah di Berlin kerana ada banyak restoran atau kedai makan dari seluruh dunia.

Hari pertama di bandar raya ini, penulis hanya sempat merayau di sekitar restoran, apatah lagi ketika sampai, jam menunjukkan angka 4 petang dan hari beransur gelap.

Keesokannya bermula penjelajahan yang ditunggu-tunggu. Dari hotel, penulis menaiki bas untuk ke pusat bandar. Pengangkutan di sini sangat cekap. Di sesebuah stesen, lengkap dengan papan elektronik mengandungi masa ketibaan bas dan lokasi dituju.

Masa dipaparkan tepat dengan ketibaan bas. Jika tertinggal, jangan bimbang kerana proses menunggu tidak lama.

Sepanjang menaiki bas, jalan raya sedikitpun tidak sesak seperti mana dihadapi saban hari di Kuala Lumpur, meskipun lampu isyarat ada di banyak tempat. Di bandar ini, masa bekerja bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, manakala operasi perniagaan seharian sehingga jam 9 malam.

Tidak lengkap jika tidak menyatakan hiburan turut jadi tarikan. Waktu operasi kelab malam atau bar hampir 24 jam sehari dengan masa kemuncak jam 11 malam ke atas.

Berbalik perjalanan awal tadi, penulis singgah di menara jam berusia lebih 100 tahun dengan seni bina unik dan menarik. Selepas itu, kaki meneruskan perjalanan ke sekitar kawasan.

Sesuatu yang menarik untuk diceritakan ialah mengenai kebersihan bandar ini. Memang sukar menemui sedikitpun cebisan kertas, malah setiap tempat dijaga rapi dan dihias indah.

Mengenai penduduk, penulis perhatikan mereka memiliki nilai murni, terutama dalam soal menjaga kebersihan. Bukan saja mementingkan kebersihan, mereka mudah membantu apabila memerlukan, terutama daripada pelancong luar, kerana industri pelancongan antara produk utama.

Pada hari itu penulis sempat mengunjungi gereja lama yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional. Lokasi itu jadi tumpuan pelancong dan antara tarikan utama Berlin.

Selepas penat bersiar, penulis menaiki bas mengelilingi Berlin yang mempunyai keluasan 892 kilometer persegi.

Dengan cuaca dingin, sekali gus menjadikan badan tidak berpeluh, dan dipenuhi pelbagai jenis bunga-bungaan, masa pantas berlalu. Penulis tiba di hotel ketika hari hampir gelap dan malam itu, lena dibuai mimpi selepas penat seharian berjalan.

Hari ketiga (Sabtu), selepas bersarapan, penjelajahan diteruskan lagi, kali ini tempat bersejarah jadi pilihan. Selain melawat bangunan berusia lebih 200 tahun, penulis sempat mengunjungi pasar seni seperti mana Pasar Seni di Kuala Lumpur yang menempatkan pelbagai karya dan hasil seni.

Deretan kedai kiri dan kanan jalan, memenuhi segenap ruang. Sempat juga penulis membeli cenderamata kenang-kenangan untuk rakan di Malaysia.

Selepas itu, perjalanan diteruskan di sekitar Berlin untuk menyaksikan rentak kehidupan Berlin pada Sabtu yang juga hari cuti kepada rakyat negara itu.

Namun, sedikit mengecewakan, penulis tidak sempat mengunjungi Tembok Berlin yang menjadi pemisah Jerman Barat dan Jerman Timur satu ketika dulu.

Selain tempat bersejarah, penulis menghabiskan hari ketiga bersiar-siar, termasuk menyusuri sungai yang bersih dan indah. Malamnya, sempat menjengah kelab malam yang memang jadi tumpuan ramai.

Keesokannya hari terakhir penulis di Berlin. Selepas bersarapan dengan roti dan mentega, penulis menaiki kereta api ke Lapangan Terbang Schoneberg untuk penerbangan ke London jam 10 pagi.

Pada Ahad malam juga, penulis akan menaiki pesawat dari London untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Saat menaiki pesawat Jet Air untuk meninggalkan Berlin, penulis rasakan kunjungan itu masih tidak lengkap kerana banyak lagi lokasi menarik tidak sempat dilawati, terutama Tembok Berlin yang banyak menyimpan sejarah silam.

Penulis tekad akan kembali semula ke Berlin untuk meneroka lebih banyak tempat menarik dan selepas ini perjalanan mungkin lebih mudah selepas mempunyai kenalan di sana dalam kunjungan pertama.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: