Kelu ucap terima kasih

HANYA dua perkataan untuk mengungkapkan ‘Terima Kasih’ namun masih sukar mahu mengucapkannya.

Ia nampak remeh tetapi kepentingannya tidak mampu disangkal. Malangnya, masyarakat semakin susah membuka mulut untuk berterima kasih sekali gus menggambarkan nilai kesopanan kian terhakis.
Walaupun ada yang berkata, besar sangatkah nilai ucapan itu, saya tetap pertahankan, ia memang penting kerana menggambarkan nilai budi seseorang.

Bayangkan situasi ini. Sesudah pertolongan diberikan, kemudian ucapkan terima kasih, bagaimanakah rasanya. Bagaimana pula jika tiada ucapan. Sudah tentu ada perbezaan, bukan?

Sayangnya, perbuatan semudah itu semakin dilupakan gara-gara aliran perubahan dunia yang mementingkan kemodenan. Mungkin ada anggapan, perbuatan itu tampak kuno.

Justeru, tidak hairanlah kebanyakan golongan generasi muda kini tidak mengambil berat kepentingan mengucapkan terima kasih.

Persoalannya, adakah perlu sentiasa mengucapkan terima kasih sedangkan ada kalanya tidak perlu berbuat demikian kerana orang memahaminya.

Tiada sebab menolak nilai perbuatan yang baik. Contohnya, jika diguna pakai di sekolah, ia boleh membentuk sahsiah murni di kalangan generasi muda. Bukankah ini satu nilai tambah yang bermanfaat?

Kita tidak boleh menolak kenyataan ramai golongan muda hari ini sudah rendah nilai akhlaknya, sentiasa bersikap kurang ajar dan sebagainya.

Namun, menyalahkan mereka sepenuhnya juga tidak wajar kerana pendedahan terhadap pelbagai informasi dan perlakuan menerusi medium seperti Internet, televisyen dan sebagainya sudah tidak mampu dikawal.

Bagaimanapun, menerusi nilai murni yang diterapkan, ia mampu mengekang budaya melampau dan ia boleh dibentuk serta dimulakan di peringkat awal menerusi institusi sekolah atau rumah.

Justeru, apabila pelbagai pihak memperkenal dan menekankan pembelajaran nilai murni, ia sangat dialu-alukan kerana pengaruhnya besar dalam membentuk generasi berkualiti masa depan.

Diakui, antara institusi terpenting yang memainkan peranan ini ialah sekolah namun tanggungjawab itu juga seharusnya dimulakan di rumah atas bimbingan ibu bapa.

Ia lebih berkesan kerana ibu bapa adalah insan paling dekat di hati anak. Jika ibu bapa mencorakkannya, tentu pembentukan asas itu akan kukuh kerana pada masa sama boleh berperanan sebagai model ikutan yang baik.

Apabila kedua-dua pihak saling membantu, penerapan apa saja nilai murni akan berjaya kerana masing-masing mengetahui peranan yang perlu dilaksanakan.

Semua pihak berhasrat melahirkan golongan pemimpin berkaliber dan berani. Bagaimanapun adakah hasrat ini mudah dicapai jika asas pembentukan diri yang mudah gagal dilaksanakan?

Justeru, supaya tidak akan berputih mata, mulakan langkah dari sekarang. Sama ada ibu bapa atau guru, mereka perlu menerangkan kepentingan mendukung nilai murni biarpun ada kalanya nampak mudah atau remeh.

Jadikan institusi sekolah atau rumah sebagai platform awal membuat latihan. Saya percaya, jika selalu dipraktikkan, tiada sebab hasrat melahirkan golongan berbudi pekerti akan gagal.

Yang penting, mulakan langkah awal dan usaha. Kita tidak dapat mengetahui kejayaan mahupun kegagalan jika tidak berubah dan bergerak.

Satu Respons

  1. saya tertarik dengan point yang dihighlight diata…(ucapan terima kasih)…seolah2 makin dilupakan pada zaman skg…ucapan ini bagai ucapan usang yang dipandang remeh oleh masykat kita…terkilan rasa jika sesuatu budi…ditabur…tetapi tiada penghargaan sewajarnya….bukan mahu menuntut apa yang telah diberi…tetapi sekadar rasa dihargai dengan bakti yang dihulur…
    marilah kita praktiskan semula ucapan terima kasih supaya kita dipandang seperti orng yang tahu berterima kasih atas sesuatu…smoga ucapan terima kasih kita itu membuat kan org lain mendoakan kebaikan ke atas diri kita..InsyaAllah…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: