Menjana akademik

SIAPA dapat menolak jika ditawarkan menyambung pelajaran di sekolah berasarama penuh kerana masyarakat sukar mengikis tanggapan ia adalah institusi cemerlang berbanding sekolah harian.

Kisah kejayaan pelajarnya selain kemudahan sistem pembelajaran teratur dan sistematik menjadi tarikan ibu bapa menghantar anak belajar di sekolah itu.

Meskipun diakui kebanyakan sekolah berkenaan mantap dari segi pencapaian akademiknya, namun masyarakat juga harus peka terhadap beberapa insiden seperti kes buli melampau yang berlaku di sekolah berasrama penuh.

Biarpun diuar-uarkan sebagai tempat terbaik menjana ilmu dan peribadi, kes yang berlaku mencacatkan kredibiliti sekolah itu menyebabkan ada sebahagian ibu bapa kini rela anak mereka melanjutkan pengajian di sekolah harian.

Persoalannya, adakah sekolah berasrama penuh masih mampu menjadi tempat menjana kecemerlangan akademik dan disiplin sedangkan cerita kurang menarik kini membabitkan institusi itu? Benarkah sekolah harian biasa tidak mampu memberi modul pembelajaran berkualiti sedangkan silibusnya lebih kurang sama seperti diikuti pelajar sekolah berasrama penuh? Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Madya Datuk Dr Abd Rahman Daud, berkata pemilihan tempat belajar tidak penting kerana faktor kejayaan bukan terletak pada lokasi tapi usaha dan kesedaran diri.

Menurutnya, walaupun keupayaan sekolah berasrama penuh diakui, jika pelajar sendiri tidak mempunyai kesedaran atau kemahuan berjaya, keputusan peperiksaan pasti tidak cemerlang.

“Sejak sekian lama, kredibiliti sekolah berasrama penuh begitu kukuh, seiring dengan tanggapan masyarakat di situlah tempat terbaik untuk mencerna kejayaan.

“Bagaimanapun, tahap atau ukuran kejayaan tidak boleh bersandarkan pada taraf tempat belajar semata-mata.

“Diri sendiri mencorakkan kejayaan. Contohnya, pelajar cemerlang tapi kalau terus leka, akan kecundang. Begitu juga jika kurang bijak tapi rajin buat ulang kaji, tidak mustahil berjaya.

“Saya berpendapat faktor taraf sekolah hanya penyumbang kecil. Berjaya atau tidak terpulang pada usaha, kerajinan dan kesedaran seseorang,” katanya.

Sebahagian besar masyarakat masih dibelenggu stigma, belajar di sekolah berasrama penuh bukan saja mampu menjana kecemerlangan tapi juga meningkatkan prestij seseorang pelajar.

Apatah lagi jika diterima masuk ke sekolah berasrama elit atau terkenal dengan kejayaan saban tahun menyebabkan kebanyakan ibu bapa teruja dan menganggap sekolah harian kurang berkualiti.

Dr Abd Rahman berkata, sistem pendidikan yang semakin berubah dan berkualiti mampu memberi pendidikan sama taraf kepada semua pelajar dan ibu bapa yang menganggap sekolah harian kurang berjaya, wajar mengikis tanggapan itu.

Menurutnya, sekolah harian juga mampu memberi persaingan malah menyaingi pencapaian sekolah berasrama penuh.

“Dari segi pencapaian, sekolah harian juga membuktikan mereka boleh melahirkan pelajar cemerlang. Walaupun tiada kelas tambahan atau persekitaran seperti sekolah berasrama penuh, guru mereka juga mampu memberi komitmen tinggi.

“Malah, ada sesetengah sekolah turut mengambil inisiatif kelas tambahan, program pendidikan dan menjalin hubungan erat dengan ibu bapa. Apabila semua gabungan ini disatukan, pasti kejayaan lebih mudah digapai.

“Pandangan skeptikal pada sekolah harian perlu diubah.

Ibu bapa khususnya tidak perlu membuat pengelasan sesebuah sekolah kerana semua sistem pendidikan adalah sama,” katanya.

Pelajar sekolah berasrama penuh dikatakan lebih bertuah kerana sistem pembelajaran lebih teratur dan padat berbanding sekolah harian manakala tahap disiplin juga tinggi.

Bagaimanapun, Dr Abd Rahman berkata, aspek disiplin bersifat subjektif dan sentiasa memerlukan pemantauan bukan saja sekolah tapi ibu bapa dan masyarakat.

Menurutnya, ada juga sekolah berasrama penuh terpaksa berdepan pelajar nakal seperti terbabit dalam kes buli, merokok dan melanggar peraturan.

“Bagaimanapun, ia tidak ketara kerana pelajar tidak berada luar dari kawasan sekolah berbanding sekolah harian.

Masyarakat tidak nampak situasi itu, sekali gus menganggap hanya pelajar sekolah biasa saja menimbulkan masalah.

“Meskipun peratusannya tidak besar dan dianggap kes terpencil, sekolah berasrama juga menghadapi masalah sama.

“Pemantauan penting bagi mengekang masalah menjadi lebih teruk,” katanya.

Bapa, Sulaiman Abd Latiff, berkata dia tidak kisah menghantar anaknya belajar sama ada sekolah harian atau asrama penuh kerana yakin dengan sistem pendidikan yang digunakan.

“Sistem pendidikan di negara ini sudah mencapai standard tinggi dan berkualiti. Belajar di mana-mana tetap sama, yang penting ingin belajar atau tidak.

“Mencerna kejayaan atau peribadi baik bukan datang dari persekitaran tapi asuhan ibu bapa dan diri sendiri. Jika semuanya sudah kukuh, tiada masalah melanjutkan pelajar di mana-mana sekolah,” katanya.

Beliau yang juga guru di sebuah sekolah harian mengakui walaupun cabaran mendidik pelajar tinggi berbanding sekolah berasrama penuh, komitmen guru harus setara dan tidak berbelah bahagi.

“Pelajar berasrama penuh terdiri daripada mereka yang sangat komited dalam pelajaran, persekitaran mereka juga begitu, itu satu kelebihan dalam mewujudkan persekitaran ilmu.

“Bagaimanapun, tidak bermakna sekolah harian biasa tidak boleh mewujudkan suasana itu.

“Yang penting penerapan disiplin dan suasana belajar sesebuah sekolah. Jika mahu pelajar cemerlang, sekolah juga mesti mewujudkan pembudayaan ilmu cemerlang,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: