Menyusuri Sinjuku

Penulis: NORAINON OTHMAN

JIKA dikenang kembali, macam tak percaya penulis berpeluang ke negara matahari terbit, Jepun yang penulis kira hanya angan-angan untuk sampai ke sana, apatah lagi jika dengan wang sendiri atas tiket melancong.

Kunjungan penulis ke Tokyo, baru-baru ini adalah atas undangan Buena Vista Tristar Columbia Films untuk mengikuti promosi dan tayangan perdana National Treasure: Book of Secrets.
Perjalanan menaiki Japan Airlines dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tokyo mengambil masa enam jam 40 minit. Sebaik sampai di Lapangan Terbang Narita jam 6.30 pagi, hari sudah siang seperti jam 8 pagi di Malaysia.

Selepas menjalani pemeriksaan imigresen, mengambil gambar dan cap jari telunjuk (bukan cap ibu jari seperti kebiasaan), penulis dan dua rakan media menaiki limosin lapangan terbang (bas) dengan tambang 3,000 yen (RM96).

Penyimpanan bagasi di limosin mempunyai sistem yang baik dan selamat kerana setiap bagasi diikat pelekat dan pemiliknya diberi kupon untuk menebus barangan mereka apabila sampai ke destinasi.

Menempuh perjalanan dua jam ke Sinjuku, Tokyo di kiri kanan lebuh raya kelihatan pemandangan menarik kerana kebanyakan daun pokok berwarna kekuningan atau kemerahan menanti masa untuk luruh.

Sinjuku ialah antara 23 daerah di Tokyo. Hari pertama berada di Sinjuku, penulis dan seorang rakan media dari akhbar Sin Chew Jit Poh berjalan kaki menyusuri kedai berhampiran hotel kami menginap.

Agak pelik kerana walaupun cuaca sejuk nyaman antara lapan hingga 10 darjah selsius, suasana sunyi dan tidak ramai manusia yang berada di kawasan terbuka. Penulis menyangkakan penduduk Jepun mengelak keluar rumah ketika cuaca sejuk sedangkan pada penulis, keadaan seperti itulah yang menarik kerana tidak bermandi peluh dan menahan terik dan silau matahari. Bagaimanapun, persoalan itu dibiarkan tanpa jawapan.

Penulis sempat membelek harga barangan elektronik. Walaupun penulis mengagak tulisan yang terpampang di kaki lima kedai menyatakan promosi peranti kecil, pemacu storan mudah alih (thumb drive) yang dijual dengan harga murah iaitu 1,900 yen (RM60) bagi satu gigabait (GB), tetapi ia mungkin murah pada penduduk di negara itu dan bukannya orang kita. Penulis dapati harganya jauh lebih mahal daripada ditawarkan di Malaysia, begitu juga dengan peralatan lain yang masih mahal.

Hari kedua selepas menyiapkan tugasan, penulis dan rakan mengambil keputusan untuk bersiar-siar lagi di Sinjuku dan Roppongi.

Berdasarkan peta Sinjuku yang diberikan kakitangan hotel tempat kami menginap, kami pergi ke sebuah pusat menjual barangan elektronik tidak jauh dari hotel. Kedai yang terletak di lot tepi ini mempunyai lapan tingkat dengan satu tingkat bawah tanah.

Keadaannya cukup meriah dengan segala macam barangan elektronik ada dijual di sini. Ia tidak ubah seperti sebuah pasar raya hiper apabila ramai yang membeli barang elektronik seperti membeli barang runcit. Ternyata memang penduduk Jepun gilakan barangan elektronik.

Hakikatnya, tiada barang elektronik yang murah. Cuma kelebihan mereka ialah memiliki barangan elektronik terkini sesuai dengan kepakaran teknologi yang mereka miliki. Misalnya, ‘pen drive’ di sini paling tinggi pun hingga dua GB, tetapi di sana sudah ada sehingga lapan GB.

Baju sejuk banyak dijual dan ada yang serendah RM60, tetapi ia tidak cukup menarik perhatian penulis untuk membeli kerana jarang menggunakannya.

Rakyat Jepun mempunyai kesedaran tinggi dalam menjaga kebersihan. Pada waktu makan tengah hari, kelihatan kakitangan pejabat berpakaian kemas memegang beg plastik dan memungut sampah seperti plastik guna-guna dan puntung rokok menggunakan penyepit panjang di hadapan bangunan komersial.

Selain basikal yang menjadi pilihan penduduk Jepun sebagai pengangkutan di bandar, jaringan tren bawah tanahnya yang lengkap turut menjadi pilihan. Ketika rakan penulis mengajak ke Menara Tokyo, di Kamiyacho, kami berkesempatan menaiki tren bawah tanah.

Sampai di Menara Tokyo, hari sudah gelap. Kami cuma sempat merakam gambar bangunan setinggi 333 meter berbentuk seperti Menara Eiffel di Paris. Menara yang disiapkan pada 1958 itu adalah simbol kelahiran semula Jepun sebagai kuasa ekonomi terbesar, antena penyiaran radio dan televisyen serta tarikan pelancong.

Walaupun jam baru menunjukkan jam 5 petang, keadaan sudah gelap seperti senja. Waktu itu, barulah penulis dapat melihat Tokyo ‘hidup’ apabila ramai warganya baru pulang dari kerja.

Di mana-mana, penduduk Jepun sibuk memegang telefon bimbit sama ada berbual atau menghantar mesej pesanan ringkas. Telefon bimbit yang popular ialah jenis nipis dan berlipat dua dengan skrin lebar.

Kebanyakan penduduk Jepun yang ditemui lebih senang berbicara dalam bahasa mereka ketika ditanya arah jalan dan lokasi. Walaupun begitu, mereka melayan orang asing dengan baik dan bersopan.

Barangan atau papan tanda pula dipenuhi tulisan Jepun dan jika ada perkataan Inggeris pun cuma pada ayat besar atau nama barangan. Untuk mendapatkan lebih penerangan memang payah kerana kebanyakannya ditulis dalam bahasa mereka.

Selain itu, sukar untuk mencari barangan berharga 1,000 yen (RM32) ke bawah di sini. Tidak puas hati, kami memasuki beberapa kedai serbaneka 24 jam untuk mencari harga barangan pada harga lebih rendah. Mujur masih banyak barangan yang di bawah 1,000 yen. Untuk menghabiskan wang syiling Jepun, kami cuba mencari barangan berharga 100 yen (RM3.20) ke bawah, tetapi tidak banyak. Sebatang pen saja sudah mencecah RM6.

Air mineral dengan isi padu 125 mililiter saja harganya RM3.60. Jika di hotel, ia melambung sehingga RM10. Kesimpulannya memang tak berbaloi hendak membeli belah di sana.

Sepanjang berada di negara itu, penulis hanya berani makan spagetti makanan laut atau bubur sayuran kerana bimbang termakan benda haram.

Sepinggan spagetti makanan laut dengan segelas jus lemon mencecah RM120. Itu baru makan tengah hari.

Beberapa jam berjalan di sekitar Sinjuku sehingga hari gelap pekat, tulang tapak kaki penulis terasa sakit manakala tekak pula cepat kering kerana cuaca sejuk.

Bagaimanapun, disebabkan menyedari peluang sebegini sukar untuk diulangi, penulis gagahkan juga bersiar-siar sehinggalah kami mengambil keputusan untuk pulang ke hotel kira-kira jam 9.30 malam.

Sekembalinya dari Jepun, ketika penulis membelek mainan anak dan cenderahati model kapal terbang Japan Airlines yang dibeli di Lapangan Terbang Narita, penulis dapati ia buatan China. Ternyata barangan China ada di mana saja di seluruh dunia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: