Profesionalisme guru terhakis?

IBU bapa kita pernah bercerita betapa guru zaman 60-an dan 70-an begitu dihormati dan disanjung masyarakat.Karisma dan profesion mereka bukan sekadar di sekolah malah diangkat sebagai pemimpin setempat di kalangan masyarakat.

Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tidak pernah mempertikaikan hukuman dan didikan guru pada masa itu.

Cuma, ibu bapa berpesan, jika guru memukul atau merotan anak mereka, jangan sampai patah tangan atau patah riuk.

Bagaimanapun, lihat dilema guru hari ini. Kebanyakannya berpendidikan tinggi tetapi masyarakat kurang menghormati mereka.

Jika seorang pendidik memukul, merotan atau mendenda anak mereka, ibu bapa pasti bersemuka dengan guru terbabit dan menengking bagaimana boleh bertindak kasar.

Tidak cukup dengan itu, ada ibu bapa mengambil tindakan menyaman guru sehingga timbul konfl ik di antara ibu bapa dan guru.

Pelajar pula tidak takut dengan guru. Ada guru dipukul pelajar, kenderaan mereka dirosakkan atau tayar dipancitkan.

Justeru, di mana sanjungan dan penghormatan terhadap guru? Apakah guru kini sudah hilang taraf profesionalisme dan kebebasan mencorakkan hala tuju pendidikan kepada anak bangsa? Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Abdul Rashid Mohamed, mengakui senario masa kini memang berbeza berbanding zaman lampau tetapi menganggap kehadiran guru masih relevan dan dihormati.

Beliau berkata, perubahan dunia mengubah mentaliti dan pendirian ibu bapa terhadap pendidik kerana mereka mahukan yang terbaik untuk anak masing-masing.

“Melalui perubahan ini, ibu bapa yang dulunya memberi kepercayaan penuh kepada guru tanpa banyak soal kini sudah semakin bijak bertanya, memerhati dan menilai,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa terpelajar dan tahu hak masing-masing.

“Bagaimanapun, itu bukan faktor ibu bapa memandang rendah golongan dan kerjaya guru, cuma mereka mahukan yang terbaik.

“Saya kurang bersetuju jika dikatakan ibu bapa sekarang sudah tidak hormat guru,” katanya.

Ditanya sama ada guru masa kini tidak berkualiti sehingga mencabar rasa hormat ibu bapa, beliau berkata, itu tidak benar kerana penilaian bersifat subjektif dan hanya mereka yang ‘bermasalah’ memberi dan mencetuskan tanggapan itu.

Menurutnya, ibu bapa dan guru ibarat aur dengan tebing kerana kedua-duanya saling memerlukan.

“Saya tidak tahu bagaimana wujud tanggapan guru masa kini dikatakan tidak berkualiti, tiada produktiviti malah semakin berani mencabar ibu bapa.

“Keadaan ini sangat merugikan kerana bakal mengundang rasa tidak puas hati kedua-dua pihak hingga menjejaskan kepentingan pelajar.

“Persengketaan di antara guru dan ibu bapa boleh menjejaskan proses pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, apabila wujud konfl ik, kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengelak menjadi bertambah buruk.

“Jangan ambil tindakan menyalah atau menyelar mana-mana pihak tanpa perbincangan.

“Ibu bapa terlalu memberi tanggungjawab yang besar kepada guru dan apabila berlaku sesuatu, mereka terus menunding jari kepada golongan itu padahal ia patut dibawa berbincang.

“Ibu bapa perlu faham, guru mempunyai banyak tanggungjawab.

Jika diasak bertubi-tubi dengan permintaan ‘bukan-bukan’ pasti ia meninggalkan tekanan dan hilang kesabaran.

“Keadaan berbeza dengan ibu bapa zaman dahulu. Mereka memberi kebebasan kepada guru mencorakkan pendidikan anak mereka. Mereka tidak campur tangan,” katanya.

Justeru, apakah kebebasan guru semakin terhakis? Dr Abdul Rashid berkata, pelaksanaan undang-undang tidak bermakna kebebasan guru tersekat.

“Yang penting bagaimana guru boleh memberi komitmen tinggi pada tanggungjawab.

Contohnya, jika ada pelajar tidak boleh bergiat aktif dalam kokurikulum, adakah perlu dipaksa atau guru ambil pendekatan sendiri mengatasinya.

“Guru perlu menggunakan ilmu bagi mengawal situasi dengan tenang, bersikap terbuka dan profesional.

“Ibu bapa jika tidak berpuas hati dengan guru perlu menggunakan saluran betul seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukan menyerang membabi buta.

“Malangnya, ramai menganggap fungsi PIBG tidak penting sedangkan ia platform terbaik menemukan masyarakat dengan sekolah,” katanya.

Beliau berharap ibu bapa jangan lepas tangan dan mengharapkan guru menjaga semua keperluan serta kebajikan pelajar.

“Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab lebih berat kerana mereka mendidik bukannya menternak anak-anak,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: