Siswa malas membaca

Oleh: Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali

Tak kenal nama menteri
BUKAN aneh apabila mahasiswa yang dikatakan bijak, gagal menjawab soalan mudah mengenai isu semasa. Semuanya bertitik tolak daripada sikap mereka yang hanya gemar membaca bahan bacaan ringan atau hiburan hingga memberi kesan pada tahap pemikiran dan pengetahuan.

Ceteknya ilmu berkaitan isu berat di kalangan mahasiswa bukanlah perkara baru. Meskipun banyak kempen dijalankan bagi menyedarkan mereka mengenai pentingnya menambah pengetahuan sedia ada, tarikan keseronokan, idola artis atau gosip panas di luar kepentingan ilmu tetap menjadi pilihan.

Natijahnya, bukan saja mahasiswa hari ini dilabelkan mempunyai tahap pengetahuan rendah, malah semakin menyukarkan mereka memperoleh peluang pekerjaan kerana gagal sewaktu sesi temuduga meskipun mempunyai kemahiran atau pencapaian baik.

Mengulas senario ini, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Profesor Datuk Dr Mohamed Said Mat Lela, berkata sikap mahasiswa yang kurang berminat membaca menyumbang kepada masalah ini.

Menurutnya, sikap malas membaca tidak harus wujud di kalangan generasi muda.

Mereka seharusnya bijak mencari bahan bacaan bermutu demi penjanaan ilmu dan masa depan.

Bagaimanapun, kebanyakannya malas menggunakan minda untuk berfi kir atau mengingati fakta, sekali gus bakal menimbulkan masalah apabila mencari pekerjaan atau menjawab soalan peperiksaan.

“Sebagai mahasiswa, mereka perlu belajar mempertingkatkan lagi tahap pemikiran dan status diri melalui bahan bacaan bermutu, bukannya membaca bahan berbentuk ringan atau sekadar hiburan semata-mata.

“Pembacaan itu akan membantu pembentukan daya pemikiran lebih kritis, mempertingkatkan lagi pengetahuan serta ilmu baru, memantapkan lagi kemahiran dan melahirkan generasi baru lebih berkualiti.

“Bahan bacaan ilmiah memanglah temanya berat dan tidak digemari. Namun, mahasiswa perlu membiasakan diri kerana mereka bukan lagi di peringkat rendah, tapi semakin tinggi. Jika tidak dimulakan awal, bagaimana pembentukan minda mereka pada masa depan?” katanya.

Suatu ketika dulu heboh diperkatakan tahap kecetekan pengetahuan am mahasiswa.

Tambah memalukan, mereka tidak mengetahui nama menteri apabila disoal.

Timbul juga rungutan dan kehairanan di kalangan majikan apabila calon gagal menjawab soalan berkaitan isu semasa sewaktu ditemuduga walaupun mempunyai kelayakan cemerlang.

Kekurangan itu menutup peluang kerjaya dan melakar masa depan lebih cerah sekali gus menyumbang pada peningkatan pengangguran.

Dr Mohamed Said berkata, meskipun bukan semua majikan gemar bertanya soalan pengetahuan am kepada calon, mahasiswa tidak boleh memandang remeh kerana kekurangan itu mempengaruhi faktor pemberian markah mahupun peluang.

“Tidak dinafi kan, bukan semua majikan mahu bersoal jawab mengenai isu semasa, ada yang lebih mementingkan aspek kemahiran dan pencapaian.

“Bagaimanapun, secara tidak langsung kredibiliti mahasiswa pasti tergugat dan dipersoal-kan. Pencapaian akademik mungkin cemerlang tapi pengetahuan am kurang.

Bukankah situasi itu seolaholah meng-gambarkan mahasiswa malas atau tidak gemar membaca? “Sebagai individu terpelajar, semestinya mereka bersedia dari segi intelektual, fi zikal dan emosi. Jangan sampai masyarakat mempersoalkan kemampuan dan memandang rendah tahap keupayaan mahasiswa tempatan,” katanya.

Pemilihan pelbagai bahan bacaan ringan atau hiburan di kalangan mahasiswa disokong faktor keinginan melepaskan tekanan belajar, terpengaruh perubahan dunia fesyen atau taksub dengan idola seperti artis.

“Kita tidak boleh menghalang kehendak jiwa mereka yang mudah tertarik dengan sesuatu yang indah, baru ataupun boleh bergosip hangat dengan rakan sebaya. Itu naluri normal.

“Masalahnya, jika dilakukan secara berterusan, ia bukan saja melalaikan atau membuang masa tapi bakal mewujudkan jurang minat. Maksudnya, jika diberi dua pilihan, mereka lebih memilih buku atau majalah ringan berbanding ilmiah kerana lebih menyeronokkan dan tidak perlu penat berfi kir.

“Kecenderungan ini disebabkan pelbagai faktor dan jika tidak dibendung, ditakuti memberi kesan jangka panjang serta kegagalan bersaing dengan mahasiswa lain terutama dari luar yang diakui lebih berpe-ngetahuan,” kata Dr Mohamed Said.

Ditanya sikap mahasiswa hari ini berbeza dengan mahasiswa dulu yang dikenali sebagai generasi berani, lebih berdikari, suka belajar dan gemar mencari ilmu, beliau berkata perubahan zaman serta teknologi menjadi penyumbang utama.

“Zaman dulu, mahasiswanya hanya mempunyai satu wawasan iaitu untuk menjadi manusia berilmu. Kami tiada Internet, televisyen pun kurang tapi jika ingin pandai atau memperoleh pengetahuan, perpustakaan atau surat khabar adalah sumber utama.

“Kami menggunakan peluang itu dengan sebaiknya selain berkongsi maklumat dengan rakan lain melalui perbincangan.

Lazimnya, perbincangan berkumpulan bukanlah perbualan kosong tapi penuh dengan maklumat.

“Teknologi hari ini adalah pemangkin kepada pengembangan ilmu jika pandai dimanfaatkan. Semua maklumat berada di hujung jari dan sesiapa saja boleh memilih bentuk pengetahuan diingini.

“Malangnya, bukan semua bijak menggunakan peluang itu.

Bagi mahasiswa, bukankah elok kalau menggunakannya untuk menambah lagi pengetahuan dan ilmu, bukan sekadar meniru sepenuhnya tapi tidak faham.

“Itu bukan belajar dan tidak boleh membantu dalam pengembangan ilmu. Ilmu sebenarnya mekanisme yang menggabungkan pembacaan, pemikiran, pengolahan dan terjemahan menerusi kefahaman,” katanya.

Pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Dr Talib Samat, berkata bagi menunjukkan contoh terbaik kepada mahasiswa, pensyarah perlu memulakan langkah proaktif dengan menunjukkan contoh terlebih dulu.

“Kita tidak boleh menyalahkan mahasiswa sepenuhnya, situasi pasaran bahan bacaan hari ini cukup meluas, mereka boleh pilih apa saja. Bagaimanapun, untuk mendidik masyarakat boleh memulakannya seperti membaca banyak bahan ilmiah.

“Pada masa sama, tekankan kepentingan dan keutamaan mengapa bahan bacaan seperti itu sangat digalakkan. Bukan semua tidak mahu membaca, mungkin kurang dorongan.

“Masalah ini perlukan pendekatan secara menyeluruh.

Mahasiswa adalah aset masa depan, mereka perlukan bimbingan, pendedahan dan teguran dengan cara betul. Saya yakin, jika kena pendekatannya, mereka akan mudah dibentuk dan sedar tanggungjawab yang perlu dipikul,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: