Siswazah tidak berfikir?

Perlunya kepelbagaian corak pendidikan
KETIKA belajar, dia menanam cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran dan memperoleh kerjaya selesa selepas menamatkan pengajian.

Dia ingin membantu meringankan bebanan keluarga dan mengubah sosioekonomi mereka selain mempunyai pendapatan memuaskan.

Malangnya, persaingan dunia kerjaya yang sengit menyukarkan keadaan hingga dia terbaca tawaran kerja bergaji lumayan melalui Internet. Tanpa rasa curiga, dia memohon dan diterima.

Tugas pertamanya di luar negara. Namun, hasrat murni itu bertukar mimpi ngeri apabila ditangkap kerana didakwa membawa dadah dan akhirnya meringkuk di penjara.

Itu antara secebis kisah mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Umi Azlim Mohamad Lazim yang kini terpaksa menerima hukuman di Pusat Tahanan Shantou, China.

Tragedi ini kadangkala me ngundang persoalan bagaimana seorang mahasiswa yang berkelulusan tinggi boleh terperangkap dan menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah.

Kebiasaannya, sebagai cerdik pandai, dia tentu boleh membezakan antara buruk dan baik.

Justeru, apa yang tidak kena dengan kredibiliti mahasiswa di gedung ilmu? Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan, Profesor Madya Dr Tajul Ariffin Nordin, berkata mahasiswa perlu bijak berfi kir dan rasional membuat keputusan bersesuaian taraf tanggapan diberikan masyarakat.

Menurutnya, masyarakat menganggap golongan itu mampu berfikir, bijak dan mempunyai sahsiah diri mantap kerana memperolehnya sepanjang tempoh pengajian di menara gading.

“Sesudah melanjutkan pengajian selama beberapa tahun, pasti mereka mampu berfikir dengan baik dan bersikap rasional.

“Bagaimanapun, bukan semua boleh berfikir secara bijak dan akhirnya tersalah langkah.

“Fenomena itu tidak boleh disangkal kerana dalam setiap kelompok mahasiswa ada yang berbeza tujuan dan pegangan meskipun memasuki institusi menara gading,” katanya.

Kes yang membabitkan mahasiswa diperguna atau mempergunakan orang lain berlaku di seluruh dunia.

Kebanyakannya mudah terjebak disebabkan faktor tawaran kerja menarik dan bergaji lumayan, terpengaruh ajakan rakan, mudah gelap mata, tidak menyelidik latar belakang syarikat atau kerjaya ditawarkan selain keinginan hidup mewah dengan cepat.

Ada pula kalah dengan pujuk rayu teman lelaki dan mudah terpengaruh dengan kata manis atau tawaran iklan meskipun tidak munasabah.

Apabila terperangkap, sukar melepaskan diri apatah lagi jika ditangkap dan menerima hukuman di negara asing.

Beliau berkata, mahasiswa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana dorongan beberapa faktor penyumbang boleh menyebabkan mereka bertindak di luar batasan.

Menurutnya, meskipun istilah menara gading menggambarkan satu institusi prestij, ia bukan jaminan penghuninya mampu berfi kir dengan baik.

“Institusi sudah berusaha membekalkan mereka dengan ilmu terbaik dan semuanya terletak kepada kebijaksanaan mereka.

“Kebanyakan remaja lebih mementingkan memasuki universiti daripada memikirkan ilmu atau cabang kemahiran lain yang perlu diketahui.

“Akibatnya, mereka tidak boleh berfikir secara akademik kerana tidak tahu mengenai perkembangan semasa.

“Kemahiran berfikir, belajar memperoleh pengalaman atau penolakan demi harga diri tidak boleh diperoleh hanya melalui pembacaan, justeru mahasiswa perlu peka dan memperlengkapkan kekurangan sedia ada dengan pelbagai program,” katanya.

Beliau mencadangkan universiti mempelbagaikan corak kemahiran dan ilmu supaya produk dikeluarkan mempunyai nilai pendidikan yang baik.

“Perlu ada kepelbagaian corak pendidikan di institusi berdasarkan kepesatan pembangunan dunia masa kini. Ini juga bagi memastikan universiti tidak menjadi kilang mengeluarkan siswazah yang mempunyai ijazah semata-mata tapi tiada nilai pendidikan.

“Jika tiada penekanan aspek ini, ditakuti suatu hari nanti, universiti hanya berfungsi melahirkan golongan mahasiswa bijak akademik semata-mata tetapi tiada berkualiti dari segi pembangunan nilai manusia,” katanya .

Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, berkata mahasiswa perlu mengamalkan sikap berhati-hati apabila mencari atau menerima tawaran bekerja walaupun teruja jika dipilih.

Menurutnya, risiko setiap pekerjaan pasti ada dan menjadi tanggungjawab mereka menyelidik terlebih dulu sebelum menerimanya.

“Dalam dunia persaingan kerjaya sekarang, tentu gembira jika terpilih tetapi selidik dulu mengenainya apatah lagi jika ditawarkan melalui Internet,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: