Kereta comel untuk rakyat


Walaupun idea tentang penciptaan kenderaan ini pernah ditertawakan, Ratan Tata membuktikan tiada yang mustahil jika ia disusuli dengan kepercayaan dan kesungguhan.


PENGGUNAAN bahan api Tata Nano sangat minimum.

TATA baru-baru ini telah melancarkan kereta termurah di dunia yang dikenali dengan nama Tata Nano. Ia adalah mimpi menjadi kenyataan untuk rakyat India dengan lahirnya sebuah kereta satu Lakh (100,000 rupee), bersamaan RM8,250.

Disasarkan pada golongan berpendapatan rendah yang selama ini menunggang motosikal dan skuter, kini mereka mampu memiliki sebuah kereta yang tidak pernah dihasilkan semurah ini dalam sejarah.

India dan China adalah pasaran ‘segar’ baru dalam industri automotif antarabangsa.

Industri automotif di India merupakan yang ke-11 terbesar di dunia berdasarkan jumlah pengeluaran kira-kira dua juta unit setahun. Populasi penduduknya berjumlah lebih 1.1 bilion adalah faktor utama. Tambahan pula kadar pemilikan kereta di sana masih rendah iaitu tujuh kereta untuk setiap 1,000 orang.

Di sana juga, pasaran kenderaan didominasi oleh syarikat berteras tempatan di mana Maruti mendahului segmen kereta penumpang, Tata untuk kenderaan komersial sementara terdapat pengeluar lain seperti Mahinda & Mahinda, Ashoik Leyland dan Bajaj Auto.

Hero Honda pula merupakan syarikat motosikal terbesar di India dengan menghasilkan lima juta unit motosikal setahun.

Projek Tata Nano yang diberi kod satu lakh pada awalnya ini bermula pada tahun 2003. Idea Pengerusi Tata Motors, Ratan Tata adalah menghasilkan kenderaan yang mampu menggantikan penggunaan motosikal.


RUANG kabin Tata Nano yang ringkas.

Semua pihak melihat ia sesuatu yang mustahil dilakukan. Namun keyakinan beliau dari sudut ekonomi dan kos pengeluaran membolehkan projek pertama mereka dihasilkan pada 2005 – sebuah trak kecil yang dikenali sebagai Ace.

Industri membayangkan projek kereta adalah sesuatu yang akan menjadi bahan jenaka. Ia mungkin boleh dihasilkan dengan harga murah jika menggunakan plastik atau kereta tanpa bumbung.

Namun Ratan Tata tetap komited bahawa ia boleh direalisasikan, malah menegaskan bahawa ia akan menjadi sebuah kereta yang sempurna seperti kereta penumpang lain.

Kereta ini direkabentuk di Institut Pembangunan Kejuruteraan Automotif di Itali. Pelbagai perubahan dilakukan semasa proses reka bentuk di mana kos menjadi sesuatu yang kritikal.

Setiap vendor dan pembuat komponen mereka diarahkan supaya menghasilkan produk berasaskan teknologi sedia ada dan disesuaikan dengan kos yang logikal. Sebagai contoh, kereta ini mempunyai hanya satu pengelap cermin berbanding dua pada cetak biru awal.

Ia sebuah kereta yang kompak bersaiz mikro. Ruang dalamannya 21 peratus lebih luas daripada pesaing terdekatnya, Maruti 800. Kereta ini akan diperkenalkan dalam tiga versi iaitu standard dan dua model deluxe.

Model asasnya memang benar-benar asas, tanpa alat penghawa dingin dan sistem audio. Sementara model ‘mewah’ mereka meliputi pelbagai ciri tambahan lain serta aksesori tambahan yang dijadikan pilihan.

Komposisi dalaman yang luas terhasil menerusi penggunaan enjin yang dipasang di bahagian belakang.

Ia sama seperti Fiat 500 atau Mitsubishi i. Tak perlulah menjangkakan berlebihan untuk sebuah kereta murah, Tata Nano menggunakan enjin dua silinder yang pertama seumpamanya di dunia.

Enjin 623cc suntikan bahan api ini berupaya menghasilkan 33ps. Enjin kecil ini dipilih daripada 34 paten asal yang dicadangkan pada kereta ini. Ia menepati ciri-ciri sebuah enjin kecil yang ringan, mampu memberikan kuasa pada setiap tan dengan lebih baik.

Ia bukan sekadar kecil dan sesuai dengan Nano, enjin ini didakwa mampu menawarkan penggunaan petrol serendah 3.85 liter bagi setiap 100 kilometer. Itu bermakna perjalanan dari KL ke JB hanyalah RM20.


RATAN Tata akhirnya berjaya menunaikan janjinya untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang paling murah di dunia.

Selain daripada matlamat asal melahirkan sebuah kereta murah, Nano tidak meninggalkan ciri-ciri kosmetik. Ia direka untuk menjadi sebuah kenderaan mikro yang comel. Ia kelihatan cukup tinggi.

Ya. Jarak ketinggiannya ialah 1.6 meter, 1.5 meter lebar dan 3.1 panjang. Gabungan saiz ini membolehkan kenderaan ini dihuni empat penumpang dewasa dengan jarak kelegaan kepala dan kaki yang didakwa masih selesa.

Nano juga dicipta untuk menepati ciri-ciri keselamatan moden. Selain penggunaan besi yang meluas, ia mempunyai ruang penumpang yang selamat dengan zon remuk, kawalan impak pintu, tali pinggang keselamatan serta tempat duduk yang kukuh.

Ciri asas lain ialah cermin pintu kargo yang dilekap terus pada badan kereta serta penggunaan tayar tanpa tiub.

Antara kontroversi yang timbul sejak pengumuman pelancaran Nano ialah kadar pencemaran dan penggunaan petrol yang sudah pastinya mengubah landskap India menjadi lebih sesak.

Tata tetap yakin kerana kadar pencemaran yang dihasilkan Nano adalah menepati piawaian semasa dan lebih rendah dari motosikal.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: