London penuh pesona


Oleh MUSTAFA AKMAL ARIFFIN

Berada di London merupakan klimaks yang sukar dizahirkan melalui kata-kata. Keindahan bandar, keseronokan membeli-belah dan kemesraan warga kota raya itu telah mengundang pelbagai nostalgia manis.


LALUAN pejalan kaki menghubungkan stesen Tube yang bersih ditambah dengan dekorasi menarik.


PENGALAMAN ke London selama seminggu melakar pengalaman manis yang tidak akan larut sama sekali. Selain bertemu teman, kembara solo ke London merupakan satu peluang bagi penulis untuk menambah pengalaman menghayati perbezaan budaya dan adab selain melihat pertembungan pelbagai budaya yang berbeza pancasila di bawah ruang langit yang satu.

Tersentak rasa hati melihat London Tower dan House of Parliament dari pesawat, terasa seperti berada dalam mimpi. Kerlipan neon kota London cukup mempesonakan penulis.

Sejurus sampai kira-kira pukul 5.20 pagi, dengan kepala yang seakan mamai, penulis bergerak menghala ke imigresen bagi tujuan pemeriksaan.


LONDON EYE setinggi 160 meter menjadi mercu tanda kota London.

Melihat satu persatu penumpang berlalu pergi dengan mudah, penulis menjangkakan proses pengesahan kemasukan ke kota London tidak sukar. Namun, ia tersasar daripada apa yang diramalkan. Kedatangan penulis ke kota London mempunyai pandangan yang cukup skeptikal oleh pihak imigresen di sana.

Pelbagai soalan yang adakala menyesakkan fikiran telah diajukan, segala latarbelakang penulis telah diperiksa secara terperinci waima pekerjaan ibu bapa juga telah menjadi persoalan. Ia seakan sesi temuduga pekerjaan.

Apabila lebih lima minit sesi itu masih berterusan, penulis seakan hilang arah dan setiap baris kata-kata menjadi tunggang langgang.

Selepas mengisytiharkan jumlah duit dan semua kad kredit yang dibawa, barulah penulis ‘dilepaskan’.

Sebaik sesi itu tamat, penulis terus mencapai bagasi keluar dengan sedikit perasaan ralat.

Namun begitu, segala kekusutan itu berjaya dirungkaikan selepas berbicara dengan seorang warga tempatan yang memberitahu pihak imigresen dan keselamatan di lapangan terbang Heathrow kini mempergiatkan langkah-langkah keselamatan berikutan siri letupan yang berlaku di sekitar London pada awal 2007.

Perjalanan penulis diteruskan dan perkara yang pertama dilakukan adalah mendapatkan maklumat secara terperinci tentang sistem pengangkutan di kota London.

Mengikut nasihat seorang teman penulis, adalah lebih baik dan menguntungkan jika bergerak menggunakan Tube iaitu sistem pengangkutan yang menghubungkan hampir kesemua kawasan utama di dalam kota London. Tube sama sistem aliran ringan Putra, STAR dan Komuter di Malaysia.

Dari Heathrow, penulis menuju ke Bayswater, tempat di mana penulis akan menginap. Perjalanan ke Bayswater mengambil masa hampir 45 minit. Untuk menuju ke Bayswater, penulis terpaksa menukar Tube di stesen Earl’s Courts kerana Bayswater terletak dalam jalur District Line yang berbeza dengan Tube dari lapangan terbang Heathrow yang terletak dalam jalur Picaddily.

Sejurus sampai ke Bayswater, penulis menghala ke lokasi penginapan yang terletak satu kilometer jauhnya dari stesen.

Sepanjang laluan di kiri dan kanan, terdapat puluhan kedai cenderamata yang menawarkan harga paling murah di London.

Ini terbukti apabila penulis melakukan tinjauan selepas itu di beberapa tempat. Sebagai contoh, rata-rata setiap tempat menjual magnet peti ais pada harga 2 pound sterling sekeping tetapi tidak di Bayswater, harga yang ditawarkan untuk 12 keping hanyalah 10 pound sterling sahaja.

Memandangkan tukaran wang RM kepada pound sterling adalah tinggi (RM7 bersamaan 1 pound sterling), ramai yang tidak menafikan kos kehidupan di London adalah tinggi bagi warga asing terutama dari Asia.

Sememangnya fakta dan nasihat sebegini telah merisaukan penulis. Sehubungan itu, penulis telah bersiap sedia dengan membawa duit poket yang dikirakan wajar untuk menampung kos penginapan, tambang seharian dan makanan.


HARRODS, gedung beli-belah tersohor di seluruh dunia.

Istilah untuk membeli-belah tidak ada langsung dalam pemikiran penulis, waima untuk membeli barangan cenderamata untuk rakan-rakan dan keluarga terpaksa diketepikan.

Penulis cuba memastikan perbelanjaan tidak menyekat aktiviti riadah penulis di sana. Tujuan utama ke sana ialah untuk bertemu teman dan bercuti, bukannya membeli-belah.

Cerita rakan tentang kota London yang mahal bertambah jitu tatkala penulis menjejakkan kaki ke destinasi pertama iaitu gedung tersohor dunia, Harrods yang terletak di Knightsbridge.

Harga-harga berganda yang dipamerkan membuatkan penulis kecut perut. Kunjungan penulis ke dalam gedung itu berakhir dengan sesi bergambar sahaja.

Kemudian, penulis berehat di Hyde Parks yang terletak tidak jauh dari Harrods. Hyde Parks merupakan sebuah taman yang dipenuhi dengan pokok maple dan padang hijau yang indah serta tasik.


HYDE Park tempat riadah pilihan masyarakat di London

Tidak dinafikan walaupun kota London sarat dengan kemajuan, keindahan alam masih dikekalkan. Sebagai bukti, terdapat lebih daripada 10 taman hijau seperti Hyde Park, Kensington Garden, Green Park, Regent’s Park dan Shoreditch Park.

Stigma London tidak boleh membeli-belah bagaimanapun sedikit hilang apabila penulis bertemu rakan lama secara tidak disengajakan.

Beliau yang arif tentang selok belok London telah memberikan beberapa panduan yang cukup hebat. Oxford Street merupakan kawasan membeli-belah yang menjadi tumpuan pelancong.

Barisan kompleks beli-belah seperti Debenhams, Selfridges, Mark n Spencer, Primark dan pelbagai lagi telah membuatkan penulis kemaruk berbelanja.

Harga yang ditawarkan sememangnya berbaloi dan adakalanya lebih murah dari Kuala Lumpur, sebagai contoh Mark n Spencer menawarkan harga tiga kali ganda lebih murah dari Kuala Lumpur.

Penulis borong coklat berkotak-kotak untuk diberi kepada rakan-rakan. Begitu juga Primarks yang menawarkan kemeja, baju- T, jean, jaket dan pelbagai lagi dengan harga yang cukup menarik.

Dalam kembara ini, penulis tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi tempat menarik lain seperti Buckingham Palace. Menjadi rutin seharian, setiap pukul 11.30 pagi akan ada satu sesi upacara pertukaran tentera.

Upacara yang diselang-seli dengan perarakan tentera berkuda dan pancaragam telah menarik ribuan pengunjung untuk menontonnya.

Bagi penggemar konsep flea market sememangnya London adalah pilihan tepat. Puluhan flea market bersepah di sana dan sini menawarkan pelbagai jenis barangan harian dengan harga yang memang murah.

Sebagai contoh, bagi penggemar pakaian berjenama dan ingin harga yang murah, Elephant Castle menawarkan ratusan ruang kedai dengan harga yang cukup menarik. Yang paling mengujakan penulis, tawaran sehelai jaket daripada material bulu biri-biri yang berkualiti boleh didapati pada harga 5 pound sterling sahaja.

Dalam tempoh seminggu, penulis sedaya upaya cuba ‘menjenguk’ setiap inci kota London. Covent Garden yang terletak tidak jauh dari Oxford Street adalah sebuah kompleks terbuka yang menampilkan pelbagai jenis perniagaan seperti kafe, galeri seni, bazar dan persembahan seniman jalanan.

Dengan cuaca yang sejuk, -2 darjah selsius, penulis banyak mengambil kopi untuk memanaskan badan. Sememangnya Starbucks menjadi pilihan kerana Starbucks sama ada berbentuk kafe atau kios berada di mana-mana sahaja. Dengan harga 3 pound sterling secawan, aroma kopi cukup menyegarkan badan.

Keramat London yang menjadi mercu kebanggaan kota raya ini adalah London Tower yang terletak di Sungai Thames. London Tower menjadi pilihan pengunjung untuk bergambar dan meninjau seluruh kota London dari tempat tinggi. Untuk masuk ke sini, pengunjung dikehendaki membayar 6 pound sterling.

Penulis sempat juga melalui London Bridge yang terletak 250 meter dari London Tower sambil menyanyikan lagu London Bridge.

Pada hari terakhir, penulis banyak menghabiskan masa di Trafalgar Square yang juga menjadi mercu tanda kota London. Namun, apa yang menyedihkan larangan pengunjung memberi makan kepada merpati telah menyebabkan kawasan itu hilang serinya.

Mengikut perancangan asal, penulis ingin menggunakan Tube untuk ke lapangan terbang, namun disebabkan terlalu banyak berjalan lebih-lebih di musim sejuk, kaki penulis telah bengkak sekali gus menyukarkan pergerakan. Kesakitan yang teramat memaksa penulis menggunakan teksi dengan bayaran 5 pound sterling dan seterusnya mengambil Heathrow Express (sama seperti KLIA Express) dengan bayaran 15 pound sterling. Sangkaan perjalanan pulang akan lebih mudah meleset sama sekali! Penulis sekali lagi menghadapi masalah lebihan muatan.

Penulis dikehendaki mengurangkan sebanyak lapan kilogram barangan untuk dibenarkan terbang atau membayar 38 pound sterling bagi setiap kilogram.

Memandangkan mata wang pound sterling yang tidak mencukupi, penulis sedaya upaya memujuk untuk dilepaskan. Namun usaha tersebut sia-sia! Jalan penyelesaian yang diambil ialah penulis terpaksa membuang sedikit barangan peribadi penulis seperti pakaian dan makanan.

Setelah segala kekusutan berakhir, penulis selamat pulang ke tanah air dengan senyum lebar sepanjang masa.

Kesimpulannya, kota London sememangnya sebuah destinasi pilihan semua bangsa di dunia. Auranya cukup mempesonakan sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.



Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: