Menyelusuri kota bersejarah


Oleh BRAD HONYWILL

Dari masjid kurun ke-17 sehinggalah istana kurun ke-15, Istanbul kaya dengan sejarahnya.


“REKAAN dalaman Hagia Sophia.”

JAM menunjukkan pukul 5.30 pagi dan bunyi muazzin melaungkan azan, menyeru umat Islam menunaikan sembahyang bergema di bandar Istanbul, Turki.

Tidak lama kemudian, terdengar pula bunyi yang sama kedengaran dari masjid-masjid berdekatan dalam bulatan bandar yang penuh harmoni.

Semakin lama, sifat semula jadi bunyi itu semakin dirasa mendamaikan.

Sekurang-kurangnya, anda mula sedar bahawa anda kini berada di sempadan antara Eropah dan Asia dan ia bukanlah sekadar satu bandar metropolis Barat.

Tidak lama kemudian, matahari terbit dan ‘melodi bilal’ tadi bertukar kepada bunyi-bunyi hon kenderaan serta suara-suara berbahasa Turki.


“SALAH satu mercu yang terdapat di kawasan Sultanahmet.”


Berkapasiti 12 juta penduduk, kebanyakan orang terperangkap dalam lalu lintas di kota lama paling hampir dengan Laut Marmara dan Mediterranean itu ekoran kurangnya peraturan jalan raya di situ. Dalam keadaan tertentu, bahkan terdapat pelbagai gabungan bunyi yang bersatu di jalan raya ibarat trompet. Semua orang kelihatan bergegas ke hala tuju yang hanya mereka sahaja yang tahu.

Walau apa pun, Istanbul telah menjadi pusat bagi dua empayar dan dua agama utama dunia sejak ia ditemui oleh Yunani sekitar 660 sebelum Masihi sebagai kota Byzantium.

Maharaja Rom, Constantine the Great menjadikannya ibu kota timur bagi empayar Rom pada tahun 324 Selepas Masihi dan menamakannya Rom Baru. Tetapi, ia sebaliknya lebih dikenali sebagai Constantine pol sebelum Constantinople.

Apabila empayar Rom Barat runtuh, empayar Rom Timur dikenali sebagai empayar Byzantine dan Constantinople dipilih sebagai ibu kota empayar dan pusat gereja Ortodoks Timur sehinggalah ia ditawan orang Turki pada tahun 1453.

Pada masa itu, Constantinople yang kemudiannya dikenali sebagai Istanbul telah menjadi ibu kota bagi empayar Uthmaniyyah dan menjadi pusat utama agama Islam. Kekuasaannya yang panjang bagaimana pun berakhir selepas Perang Dunia Pertama.

Bukti peninggalan kuasa Islam dapat dilihat di mana-mana, bermula dari binaan Hagia Sophia atau Ayasofya yang pada asalnya dibina pada kurun ke-empat sebagai gereja. Kerajaan Uthmaniyyah telah menukarkannya kepada masjid dan menampal mozek-mozek Kristian. Bagaimanapun, ia kini terpelihara dan bahagian yang berusia 1,600 tahun itu dijadikan muzium.


“ISTANA Topkapi dan pelbagai binaan bersejarah melatari pemandangan Istanbul.”

Hagia Sophia terletak dalam kawasan kota yang dinamakan Sultanahmet yang menempatkan Masjid Biru, Istana Topkapi, Pasar Rempah dan Bazaar Utama, kesemuanya tempat-tempat bersejarah yang menarik untuk diteroka.

Masjid Biru adalah salah sebuah bangunan keagamaan yang sangat terkenal di dunia, yang dibina dari tahun 1609 hingga tahun 1616 berdekatan Hagia Sophia. Istana Topkapi pula adalah tempat bersemayam sultan-sultan kerajaan Uthmaniyyah dari akhir kurun ke-15 hinggalah istana Dolmabahce dibina pada kurun ke-19.

Pasar Rempah dan Bazaar Utama menjadikan Istanbul medan pertukaran barang dagangan antara Timur dan Barat. Pasar rempah dibina pada tahun 1660 dan Bazaar Utama yang meliputi 65 batang jalan itu pula dibina pada tahun 1461. Bazaar Utama yang dilihat sebagai prototaip pusat membeli-belah moden merupakan salah satu daripada tempat menarik di Istanbul.

Kedua-dua tempat ini terkenal menjual pelbagai jenis barangan. Produk yang berkualiti tinggi dan pakaian penuh gaya boleh didapati pada harga rendah.

Bagaimanapun, budaya membeli-belah di sini mengkehendaki anda berjaga-jaga agar produk yang dibeli bersesuaian dengan harga dan kualitinya. Dan, anda perlu menjangkakan taktik-taktik jual beli yang bertekanan tinggi terutamanya untuk membeli permaidani.

Permaidani yang baik sepatutnya merupakan buatan tangan dari kampung-kampung pedalaman Turki tetapi terdapat banyak permaidani tiruan yang sesetengahnya adalah buatan China.

Selain itu, para pelancong juga harus beringat agar jangan sesekali masuk ke dalam bar atau restoran tanpa memeriksa menu terlebih dahulu, terutamanya jika anda dipelawa oleh orang tempatan yang bersedia menemani anda di salah satu kawasan utama pelancong, seperti dataran Taskim.

Bahkan, selepas berwaspada dengan amaran seperti ini, saya masih tertipu. Pada satu malam, saya telah mengambil teksi ke Taskim. Tidak lama selepas keluar dari teksi, seorang lelaki mendekati saya dengan senyuman dan bertanya dari mana asal saya. Apabila saya berkata Kanada dia tersenyum lebar, dan mendakwa yang abangnya tinggal di Toronto dan dia sukakan orang Kanada.


“HOTEL Pera Palas, seni bina Perancis yang menarik.”

Dia mengesyorkan sebuah bar berhampiran yang dinamakan Toyland. Bila sampai di sana, dia menempah wain dan hidangan pembuka selera Turki. Selepas mengambil seteguk wain, saya baru teringat untuk bertanyakan harga sebotol wain itu kepada pelayan. Jawapannya, jika ditukar kepada dolar Kanada ialah $400 (RM1,274)!

Saya enggan membayar dan mahukan campur tangan polis. Dikelilingi oleh samseng, saya telah ditunjukkan dengan satu senarai harga menu yang tertampal di hadapan pintu. Saya akhirnya bersetuju untuk membayar $50 (untuk segelas wain saya dan terus keluar dari situ sementara lelaki tempatan yang membawa saya ke restoran tersebut sudah lama lesap.

Saya kemudiannya diberitahu masyarakat tempatan bahawa lelaki tersebut bekerja mendapatkan komisen dari bar-bar dan mungkin akan dapat separuh bahagian jika dapat memikat pelancong masuk ke dalam bar.

Pegawai polis yang saya temui untuk membuat aduan tidak jauh dari bar itu berasa malu dan berkata, ‘anda perlu berhati-hati, negara ini kadang-kadang gila.’

Pesan saya seterusnya, jangan menginap di Hotel Pera Palas Istanbul jika mahukan lif yang laju, penyaman udara yang efisien dan kemudahan rekreasi yang menjadi antara perkara-perkara mustahak bagi anda.

Tetapi, jika anda sukakan sejarah dan mahu menghayati keindahan bangunan-bangunan era kurun ke-20 yang sering menjadi kunjungan orang kaya dan terkenal, maka hotel berdekatan pusat membeli-belah pejalan kaki Istiklal Caddesi ini adalah pilihan yang baik.

Hotel 145 bilik itu telah dibuka pada tahun 1891 di saat pemerintahan empayar Uthmaniyyah semakin terjejas berikutan pendudukan Perancis di Turki.

Direka oleh arkitek Perancis, Alexander Vallaury, Pera Palas menjadikan Istanbul mirip Eropah.

Hotel tersebut pernah didiami oleh individu berprofil tinggi dalam dunia politik seperti Reza Shah Pahlavi dari Iran, King Edward VIII dari England, Jacqueline Kennedy dan Presiden Perancis, Valery Giscard d’Estaing.

Tetapi dua tetamunya yang paling terkenal ialah bapa pemodenan Turki, Mustafa Kamal Ataturk dan novelis misteri, Agatha Christie. Ataturk ialah tokoh Perang Dunia Pertama yang merevolusikan negara itu dengan menjadikannya negara sekular. Dia diberikan penghormatan dengan sebuah muzium mengenainya diwujudkan dalam hotel. Begitu juga Christie.

Struktur seni bina lamanya turut terpelihara di dewan utamanya lif berpagar yang dioperasikan oleh bellman yang mesra. Dewan utama tersebut juga menyediakan seleksi makanan tempatan yang segar dan hebat setiap pagi dengan lauk-lauknya dipelbagaikan.

Kekurangan hotel ini ialah kelemahan sistem penyaman udara dalam bilik bersiling tiga meternya. Masalah itu bagaimanapun dapat diselesaikan apabila kami berpindah ke sebuah bilik dengan siling berketinggian biasa.

Kekurangan lain yang kami dapati ialah satu perkara yang tidak ada kaitan dengan usia bangunan tersebut. Kami terkejut ketika mendaftar keluar apabila mendapati bil untuk membuat beberapa panggilan tempatan yang pendek berjumlah lebih daripada $200 (RM637).

Jadi, saya simpulkan nikmatilah keseronokan menginap di Pera Palas, hotel bersejarah yang mengagumkan ini. Cuma, jangan sesekali anda berkongsi kegembiraan tentangnya dengan sesiapapun menerusi telefon di bilik hotel.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: