Shenzhen bebas motosikal

Oleh MOHD.AZLI ADLAN

Bandar raya ini dipagar dengan kawalan ketat imigresen China di empat pintu masuk dan pelancong asing yang hendak memasuki Shenzhen perlu mengemukakan dokumen perjalanan di pintu masuk berkenaan.


MONUMEN lima ekor kambing.

SEBAIK sahaja meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun di Ghuangzhou, China pada petang 30 Disember lalu, saya terus menuju ke Shenzhen yang terletak di selatan.

Saya yang pertama kali menyambut fajar tahun baru di negara asing berharap kelainan sambutan daripada apa yang disajikan di Malaysia.

Namun, segala harapan yang berbunga itu meleset. Bukan sahaja tiada sebarang sambutan, malah kedatangan tahun 2008 seolah-olah tidak dihiraukan oleh kebanyakan masyarakat di sana.

Pada malam 31 Disember 2007, selain kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan pusat hiburan, kebanyakan pusat perniagaan di bandar raya yang dikenali sebagai syurga membeli-belah itu ditutup seperti biasa pada pukul 10.00 malam.

Namun, ketika jam menunjukkan pukul 11.00 malam, saya bersama Ezad dan Syafik meredah kesejukan menuju ke Jalan Shenan.

Kami bertiga bukanlah penggemar kopi tetapi entah kenapa, kami teringin untuk menikmatinya di satu-satunya Starbuck yang terdapat di bandar raya itu. Namun, hajat kami tidak kesampaian kerana ia telah ditutup pada pukul 10 malam.

Kami sebenarnya menyertai rombongan media selama empat hari ke Ghuangzhou dan Shenzhen anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak.

Ketika kami sampai, bandar raya ini sedang menempuh musim dingin dengan suhu sekitar 17 darjah Celsius pada waktu siang dan menjunam sehingga tujuh darjah Celsius pada malamnya. Namun, ia tidak menmenghalang kami membeli-belah.

Daripada barangan elektronik, telefon bimbit hingga ke tekstil, semuanya boleh didapati pada harga murah di bandar raya yang merupakan salah satu daripada lima Zon Ekonomi Khas (SEZ) di China.

Begitupun, boleh dikatakan hampir seratus peratus barangan yang terdapat di situ merupakan buatan tempatan. Jadi, jangan terpedaya walaupun dilabel dengan jenama terkenal, ia tetap dihasilkan di China.

Shenzhen yang bersebelahan dengan Hong Kong merupakan bandar terawal digazetkan sebagai SEZ pada 1979 oleh Bapa Reformasi Ekonomi China, Deng Xiaoping.

Bandar raya ini dipagar dengan kawalan ketat imigresen China di empat pintu masuk dan pelancong asing yang hendak memasuki Shenzhen perlu mengemukakan dokumen perjalanan di pintu masuk berkenaan.

Melihat kepesatan bandar raya berkenaan yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit seperti Menara Shun Hing (bangunan kesembilan tertinggi dunia), mungkin ramai tidak percaya bahawa kira-kira 30 tahun lalu, Shenzhen hanyalah perkampungan nelayan yang cuma dihuni kira-kira 30,000 penduduk.

Menurut pemandu pelancong kami, Chen Tiang Chung, 65, yang lebih mesra dipanggil Pak Chen, sejak menjadi SEZ, pertumbuhan ekonomi memecut melebihi 10 peratus dalam tempoh lebih 20 tahun sekali gus mengubahnya menjadi pusat kosmopolitan dengan lebih sembilan juta penduduk.

Pak Chen secara berseloroh juga berkata, tidak seperti di Malaysia, kita tidak akan menjumpai walau seorang pun mat rempit di sini kerana penggunaan motosikal telah diharamkan di seluruh jalan raya di bandar raya ini sejak awal tahun lalu.

“Selain didakwa penyebab kecelakaan jalan raya tertinggi, dasar pemerintah Shenzhen yang mesra alam juga membawa kepada pengharaman ini,” katanya.

Salah satu tempat pelancongan terkenal di Shenzhen ialah Perkampungan Kebudayaan dan Tradisional China (PKTC) yang terletak di selatan bandar raya ini.

Taman tema seluas kira-kira 200 hektar ini lebih merupakan pusat sehenti yang mempamerkan kebudayaan, gaya hidup, hasil kesenian, kraf tangan dan makanan daripada 56 etnik dari seluruh China.


DUA etnik Ughur menjual sate di kaki lima di Jalan Beijing, Ghuangzhou.

Antara keunikan lain di taman tema yang dibuka pada 2000 ini ialah 24 mini monumen terkenal yang terdapat di negara itu seperti Tembok Besar China dan Kota Larangan.

Dengan bayaran masuk sebanyak RM60, kita seolah-olah dibawa menjelajah ke segenap pelosok negara yang keempat terbesar di dunia ini.

Selain itu, jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan tarian gabungan semua etnik di dewan khas.

Sebaik keluar dari dewan selepas menyaksikan persembahan tersebut, suasana riuh dari sebuah gerai makan menarik perhatian penulis.

Di celah-celah pengunjung yang memenuhi ruang hadapan gerai itu, saya menyusup masuk dan rupa-rupanya salah seorang pekerja di gerai itu sedang menebar roti canai!

Sambil tersenyum, pekerja itu berkata sesuatu dalam bahasa Mandarin. Saya tidak sempat menemuramahnya kerana Pak Chen menyuruh kami segera menaiki bas yang telah lama menanti.


TERUJA melihat seorang pekerja restoran menebar roti canai.

Pada hari ketiga, kami kembali menuju ke Ghuangzhou yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Shenzhen.

Matahari di wilayah ini terbit sekitar pukul 7 pagi, namun pada musim dingin dari November hingga akhir Januari, matahari di kawasan itu tenggelam seawal pukul 5.50 petang.

Destinasi pertama kami ialah Taman Yue Xiu yang menempatkan lima monumen kambing. Mengikut legenda, haiwan itu membawa tuah kepada wilayah ini.

Selepas itu, kami dibawa ke tanah perkuburan Islam tertua di China. Penduduk tempatan percaya di situlah bersemadinya bapa saudara Nabi Muhammad, Sa’ad ibn Abi-Waqqas yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai Wa-ke-su.

Sa’ad telah diutus oleh Nabi Muhammad untuk menyebarkan agama Islam di bumi China pada zaman Dinasti Tang. Beliau merentasi Laluan Sutera dan singgah ke Quanzhou, Hangzhou, Xian sebelum meninggal dunia di penghujung laluan tersebut di Guangzhou pada kira-kira tahun 629.

Masjid yang begitu sinonim dengan seni bina bangunan klasik Cina itu kini ditadbir oleh Persatuan Penduduk Islam Ghuangzhou.

Berhampiran Masjid Huai Sheng, terdapat sebuah rumah api yang menjadi bukti kawasan tersebut pada zaman dahulu terletak di muara Sungai Mutiara.


LOCENG gergasi di PKTC.


Pada malamnya, kami cukup teruja berpeluang menyusuri Sungai Mutiara dengan menaiki bot pesiaran.

Dengan bayaran RM19.50, peluang menyusuri sungai ketiga terpanjang di China ini sudah pasti tidak harus dilepaskan apatah lagi ia merupakan antara tarikan pelancongan yang terkenal di Ghuangzhou.

Sepanjang sejam ‘belayar’, kami begitu terpesona dengan keindahan cahaya yang memukau dari kedua-dua tebing sungai dan beberapa bangunan berhampiran seperti Hotel White Swan, Hotel Landmark Canton, Nanfang Mansion, Hotel Aiqun, Hotel Guangzhou dan Hotel Gitic Riverside.

Selain itu, pelayaran ini juga menempuh sekurang-kurangnya 10 jambatan yang merentasi Sungai Mutiara iaitu Renmin, Haizhu, Haiyin, Luoxi, Zhujiang, Guangzhou, Jiefang, Jiangwan, Huanan dan Hedong.

Ini menjadikan pengalaman menaiki bot ini sangat romantik bagi pasangan yang sedang hangat dilamun bercinta atau berbulan madu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: