Cherating serba indah


oleh Yooga Rani Murugiah

CHERATING sebelum ini dikenali sebagai hutan hijau dan perkampungan nelayan tradisional yang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Pahang sejak 1970-an.

Kini, dari hari ke hari, ia terus meniti di bibir pelancong yang terpesona dengan keindahan pantai memutih, menjadikan tempat peranginan ini cukup popular dan unik dalam peta pelancongan Pahang.

Apatah lagi dengan bayu laut yang mendamaikan dan persekitaran alam semula jadi yang benar-benar memikat pandangan, Cherating pasti menjadi tempat sesuai dikunjungi.

Selain bermain pasir di pantai, bersantai atau mandimanda di celah ombak, anda boleh singgah ke Kampung Cherating untuk meninjau kegiatan sosio ekonomi penduduk setempat antaranya melihat cara mereka menghasilkan batik.

Di sini, anda boleh mendapatkan cenderamata batik dan barangan kraftangan yang lain untuk dibawa sebagai kenang-kenangan.

Anda juga boleh menyusuri Sungai Cherating jika mahu kerana pengalaman meneroka sungai ini amat istimewa lagi tersendiri. Mungkin bagi orang kota, kicauan burung dan hutan rimba tentu cukup mengagumkan.

Bagi mereka yang rindukan kehidupan malam di kota, Cherating dengan pantai yang panjang penuh dengan aktiviti malam di pusat hiburan, bar dan restoran makanan Barat menjanjikan keistimewaan tersendiri.

Satu lagi tarikan tambahan ke Cherating pastinya Pantai Chendor yang menjadi pusat pendaratan utama haiwan purba iaitu penyu di Pahang.

Bermula Julai hingga Oktober, banyak penyu spesies agar dan karah mendarat untuk bertelur.

Berhampiran pantai ini iaitu di KM45 Jalan Kuantan-Kemaman terletak Pusat Penerangan dan Santuari Penyu (PPSP). Di sini, pengunjung boleh melihat dengan dekat peringkat penyu bertelur hingga anak penyu dilepaskan semula ke laut.

Aktiviti pelepasan anak penyu ini diadakan setiap malam mulai jam 10.30 malam. PPSP turut memelihara beberapa ekor penyu, kura-kura dan tuntung laut yang dibiarkan bebas dalam kolam besar untuk dipamerkan kepada pengunjung.

PPSP yang berfungsi sebagai organisasi penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan penyu turut menyediakan pusat pameran apabila pengunjung berpeluang menonton tayangan video khas mengenai habitat dan pembiakan penyu di Pahang.

Apa yang hebatnya, pengunjung dapat menikmati semua pengalaman ini tanpa sebarang bayaran. PPSP dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5.30 petang kecuali Isnin dan cuti umum.

Terletak 47 kilometer dari Kuantan, perjalanan kira-kira tiga jam ke Cherating kini tidak lagi meletihkan kerana dari Lembah Klang, anda boleh menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghubungkan Kuantan dengan Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Karak.

Usah bimbang juga mengenai penginapan kerana Cherating memiliki deretan chalet, resort serta hotel mewah bercirikan tradisi kampung mahupun moden yang mampu memenuhi bajet anda.

Info CHERATING

  • Terletak 47 kilometer dari Kuantan
  • Kira-kira 3 jam perjalanan dari Kuala Lumpur
  • Boleh menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur

Tarikan utama adalah pantainya dan Pusat Penerangan dan Santuari Penyu (PPSP) PPSP mula beroperasi pada 1972. Ia menjadi tempat pendaratan penyu jenis agar, belimbing dan karah. Pengunjung boleh melihat peringkat penyu bertelur dan anak penyu dilepaskan.

Satu Respons

  1. Ye, Pantai Cherating memang sangat mempersonakan….jadi pergilah melancong…..Cuti-cuti Malaysia……

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: