Syurga penyelam skuba


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

SIPADAN
Namanya sudah tidak perlu diberi pengenalan. Bukan saja dijulang sebagai tapak selam terbaik Sabah, ia juga mendapat pengiktirafan sebagai antara lima lokasi selam skuba terbaik dunia.


Dasar laut Sabah memukau

Apa yang dipaparkan menerusi iklan pelancongan – penyu berenang dalam kumpulan dan barakuda atau ikan alu-alu – menjadi tarikan utama penyelam antarabangsa yang tidak putus-putus mengunjungi pulau kecil ini.


Dalam usaha mengekalkan landskap semula jadinya, kerajaan tidak membenarkan pengusaha membuka pusat peranginan di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, pelancong masih boleh berkunjung dengan menaiki bot dari Mabul dan Kapalai.

South Point menjadi tapak yang dicari untuk pengunjung yang mahu bersua muka dengan penghuni laut bersaiz gergasi. Yu sirip putih yu kabut sering kali ditemui.

Manakala di dasar lebih dalam, yu ekor panjang, spesies jerung paling sukar ditemui di tapak selam kelihatan di perairan pulau ini.

Barracuda Point pula menjadi tapak pertama pilihan penyelam yang menjejakkan kaki ke pulau ini.

Apabila air surut, sekumpulan besar ikan karang dan ‘baitfish’ kelihatan seakan-akan berhimpun di kawasan perairan biru jernih ini.

Penyu haiwan jinak yang berada di mana-mana, Yu Sirip Putih pula gemar membuat rondaan sempadan. Manakala, ikan putih berenang dalam satu kumpulan membentuk formasi gergasi adalah pemandangan biasa.

Bertentangan dengan jeti penginapan, tapak ‘drop off’ memiliki gua dan gerbang dasar laut dilatari pemandangan karangan laut. Keindahan bentuk muka bumi dasar laut ini turut menarik minat Yu Sirip Putih.

LANKAYAN

Menjadi sebahagian dari Kawasan Pemuliharaan Kepulauan Sugud, pulau ini menjanjikan keindahan pemandangan dasar laut yang masih terpelihara.

Walaupun selam ‘drop-off’ laut dalam yang lazimnya senang dilakukan di Sipadan dan Layang Layang tidak boleh dilakukan di perairannya, ia masih mempunyai tarikan tersendiri.

Dasarnya dipenuhi terumbu karang yang cukup misteri, di samping hidupan laut mikro yang unik yang hidup tanpa gangguan dalam beberapa rangka kapal karam.

Jika bernasib baik, penyelam dapat melihat kelibat jerung yang sering membuat rondaan di sekitar perairan kepulauan ini.

Lankayan Wreck pula menjadi tapak paling dicemburui oleh mana-mana penyelam. Asalnya, ia rangka kapal nelayan laut dalam yang ditenggelamkan untuk membentuk terumbu tiruan.

Rangka terdampar di dasar kini menjadi antara tapak selam skuba terbaik yang sering dicari penyelam.

Kini menjadi kediaman kepada kumpulan besar ‘baitfish’, belitong, lepu, sepilai dan pari gergasi.

MANTANANI

Dua pulau kecil di bahagian utara Kota Kinabalu membentuk Mantanani. Walaupun terletak tidak jauh dari tanah besar, ia seakan tersembunyi di laut lepas berikutan landskap semula jadi dengan persisiran pantai putihnya yang panjang.

Penyelam luar negara sudah lama mengunjungi tapak selam ini terutama bagi meneroka rangka kapal yang tenggelam ketika zaman Perang Dunia Kedua, berdekatan pulau ini.

Mantanani juga mempunyai banyak tarikan semula jadi terutama karang dan pengalaman bersua dengan dugong – antara spesies hidupan laut yang diancam kepupusan.

Tapak selam yang dikatakan paling cantik di pulau ini terletak betul-betul di hadapan balai polis pulau. Karangan laut yang melatari dinding laut yang cetek dan terumbu bertingkat ditumbuhi pelbagai jenis dan bentuk hidupan seni.

Perairannya mencatatkan jumlah lintah bulan terbanyak 180 spesies, melebihi apa yang direkodkan di kepulauan Caribbean. Jika bernasib baik, mereka dapat melihat aksi kejar mengejar pari jantan dengan pari betina, di dasar lautan.

MABUL

Mabul mula menjadi sebutan di kalangan penyelam seiring dengan populariti yang dikecap Sipadan dan Kapalai. Terumbu tiruannya menjadi kediaman kepada pelbagai spesies sotong, kuda laut, sepilai – hidupan mikro popular yang menjadi buruan penyelam.

‘Paradise’ atau syurga, tapak selam yang menjadi tumpuan penyelam terletak bertentangan dengan Sipadan Water Village. Perairan yang tidak begitu dalam menjadi kediaman kepada spesies kuda laut yang mendiami rumput yang seolah-olah menjadi kawasan padang ragut di dasar laut.

Sotong katak kelihatan sibuk mencari mangsa, manakala sotong kurita sekali-sekala muncul dari celah karangan laut.

Jika bernasib baik, penyelam dapat bertembung dengan pari helang atau penyu karah yang sering berlegar di perairan Sabah.

Sudah lama dikunjungi peminat sukan selam skuba, tetapi belum pernah membosankan. Froggy Liar, terumbu karang tiruan menarik kunjungan kumpulan besar ikan putih (jackfish).

Kumpulan spesies ikan ini yang gemar berenang dalam kumpulan besar ada kalanya menutupi cahaya matahari dari menembusi ke dasar laut.

Dua kerapu gergasi yang menjadikan tapak selam ini sebagai kediaman rasmi sesekali muncul dari dasar yang berpasir untuk mengejutkan pelawat yang leka menyelam.

KAPALAI

Apa yang kelihatan hanyalah pasir putih membentuk daratan di tengah laut. Tiada pokok besar mahu pun belukar, hanya terumbu karang. Ada pusat penginapan didirikan di atas permukaan air memberikan laluan kepada penyelam yang ingin meneroka terumbu karang utama.

Seperti jirannya Mabul, Kapalai juga terkenal dengan hidupan mikro laut berbanding spesies gergasi di pulau lain di perairan negeri ini.

Mantis ground, sebahagian karangan pinggiran membentuk terumbu karang utama menjadi tumpuan penyelam kerana mudah untuk melihat belut jenis ‘blue ribbon’ dan ‘yellow ribbbon’.

Penyelam pasti terpegun dengan keunikan hidupan laut termasuk sotong gergasi. Satu lagi terumbu karang terbaik Kapalai, House Reef terletak berhampiran jeti.

Tidak perlu pergi jauh, anda hanya perlu terjun dari jeti untuk menyaksikan keindahan karangan yang membentuk taman laut.

Pusat penginapan ini menenggelamkan beberapa bot lama, mewujudkan tapak selam alternatif menarik kunjungan batfish dan kerisi, tidak ketinggalan sepilai. Ikan Mandarin pula gemar berhimpun di kawasan jeti bagaikan memberitahu ketibaan senja.

LAYANG LAYANG

Terpisah dari dunia luar menjadikan pulau terletak 300 kilometer (km) dari barat laut Kota Kinabalu sangat istimewa. Dengan jarak penglihatan yang baik – mencecah antara 50 dan 60 m – menjadikannya antara lokasi selam skuba terbaik di rantau ini.

Pulau buatan bersaiz hampir dua padang bola sepak ini dikelilingi laut dalam menjadikannya begitu sesuai untuk ‘wall diving’, pada masa sama menjadi kediaman kepada penghuni bersaiz besar termasuk yu kapak, yu ekor panjang dan pari gergasi.

Pelbagai spesies jerung yang gemar mengadakan rondaan bermusim di sekitar perairan pulau tidak menghalang kehadiran ikan lumba-lumba bertandang ke rantaian terumbu karang di sini.

Kawasan Shark Cave dengan bentuk muka bumi berbukit dan gua kecil dasar laut menunggu untuk diteroka. Ada kalanya ia dihuni yu sirip putih dan yu kabut.

The Point pula menjadi lokasi untuk berkenalan dengan yu kapak yang ada kalanya bergerak dalam kumpulan. Spesies jerung pemangsa ini turut berkongsi kediaman yu sirip putih, seakan dihiasi dengan ikan putih yang menghiasi dasar perairan ini.

Satu Respons

  1. salam..
    pencinta alam la ni…
    sgt menarik lakaran kate..
    i hope one day i`ll come to da alll beautiful place in sabah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: