Main salji di Dubai


Oleh Afiq Hanif

SEBAIK menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai kira-kira jam 5 petang, mata terpukau dengan pembangunan rancak di kiri dan kanan sehingga tidak sedar saya berada di sebuah negara Arab.


Ramah tapi tak sabar

Angin dingin menyentuh tubuh ketika penulis melangkah kaki ke dalam teksi menuju ke Al-Qusais 1, tempat tinggal sementara, kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar Dubai yang menjadi tunjang Emeriah Arab Bersatu (UAE) selain Abu Dhabi, Ajman, Fujairah, Ras al-Khaimah, Sharjah, dan Umm al-Quwain.


Esoknya, kami memulakan langkah melihat persekitaran Dubai dengan menaiki bot kecil di sepanjang sungai Abra bersama keluarga Ihsan Zainal dari Malaysia.

Kami melihat keindahan arkitek Dubai selama sejam sebelum ke Pasar Lama atau lebih dikenali ‘Old Souq’.

Pasar yang memperagakan pelbagai jenis barangan tempatan termasuk kain, ‘pashmina’ (selendang) dan aksesori itu memang menarik pengunjung terutama golongan wanita.

Menjamu selera di Dubai memang agak perit kerana harga barangan lebih mahal walaupun nilai wangnya hampir sama dengan Malaysia. Bayangkan, harga satu set makanan segera di sana dua kali ganda berbanding di negara ini.

Makanan berbentuk daging memang menjadi sajian utama selain juadah pelbagai roti membuka selera yang dihidangkan dalam jumlah yang besar.

Selepas melawat pasar lama, kami menyerbu pusat beli-belah moden, Mall of Emirates kerana selain membeli-belah, kami mahu melihat pusat salji tiruan yang terkenal di seluruh dunia.

Nasib baik juga ketika penulis berada di sana, Dubai dipenuhi jualan akhir tahun, menyebabkan sehelai demi sehelai duit dirham dikeluarkan dari dompet.

Ketika sibuk membeli-belah, kedengaran azan dilaungkan dan semua muzik di pusat beli-belah itu dihentikan serta-merta.

Azan berkumandang di pusat beli-belah setiap kali masuk waktu solat adalah satu kelaziman. Dan, terfikir juga saya alangkah baiknya jika dapat dilaksanakan di Malaysia.

Jualan murah di Dubai menawarkan potongan sehingga 85 peratus (semua barang), menyebabkan beg plastik dimuatkan pada semua jari.

Malam di Dubai memang mendamaikan dan jalan kembali kosong kerana penduduknya banyak menghabiskan masa di rumah atau menghisap ‘sisha’ di restoran.

Tiba pagi, destinasi berikutnya menerjah Souq Madinat Al Jumeirah yang menempatkan pasar yang dimajukan tetapi masih mengekalkan sentuhan arkitek tradisional menyerlah budaya ala Parsi.

Ternyata ia tidak mengecewakan dengan keindahan arkitektur dan restoran mewah apatah lagi ia berdekatan dengan hotel terkemuka, Burj Al Arab.

Burj Al Arab adalah hotel tujuh bintang pertama dengan rekaan bangunan berkonsepkan layar kapal selain terbina landasan helikopter di bahagian atas bangunan, menyerlahkan keunggulan terutama ketika pendaratan dilakukan.

Dubai juga mempunyai pantai yang bersih, namun kebanyakannya tertulis larangan masuk kerana ia kawasan persendirian, tetapi jika anda berehat di pantai umum ketika musim sejuk, pasti nyaman.

Air laut yang kebiru-biruan dan hembusan bayu pantai mendinginkan badan, itu belum anda mencecah kaki ke air. Namun, berbaring di hamparan pantai putih dan menikmati angin sejuk di perairan Dubai memang mengasyikkan.

Muzium adalah tempat untuk mengenali sejarah masyarakat dan negara Dubai.

Salah satu muzium terletak berhampiran Pasar Lama dibina di atas kubu dengan pelbagai informasi di dalamnya berbentuk minitur dan video selain contoh di dalam bentuk fizikal.

Warga Dubai sangat ramah terutama jika pengunjung memahami bahasa ibunda mereka, tetapi apa yang menjengkelkan ialah sikap tidak tahu beratur atau sabar di kalangan warga di sana.

Bayangkan, ketika beratur mendapatkan teksi sambil menerangkan destinasi, tiba-tiba datang pasangan warga Arab dan terus masuk ke teksi itu manakala pemandunya terus berlalu tanpa memaklumkan orang menunggu lebih lama.

Kejadian sama berlaku dalam tandas apabila terdapat individu masuk ke tandas tanpa beratur dan apabila ditanya, dengan selamba dia berkata orang yang masuk sebelum itu saudaranya.

Macam-macam ada di Dubai yang dianggap negara paling moden di kalangan dunia Arab. Lonjakan pelbagai bangunan menerjah langit naik setiap hari di mana saja mengagumkan pelancong.

Kunjungan singkat ke Dubai tidak mencukupi kerana banyak aktiviti lain belum diteroka seperti melancong di padang pasir dan menaiki belon udara panas.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: