Pekan terapung gamit pelancong

HAMPA dengan pemilik kereta sewa yang seakan-akan berpakat mengenakan caj ‘potong leher’ dari Pelabuhan Klang ke tapak Pesta Pulau Indah akhirnya membawa saya ke Pulau Ketam, destinasi popular makanan laut, baru-baru ini.


HAMPA dengan pemilik kereta sewa yang seakan-akan berpakat mengenakan caj ‘potong leher’ dari Pelabuhan Klang ke tapak Pesta Pulau Indah akhirnya membawa saya ke Pulau Ketam, destinasi popular makanan laut, baru-baru ini.

Perjalanan selama 45 minit melewati beberapa pulau kecil, sebelum feri yang dinaiki berlabuh di Jeti Pulau Ketam.


“Mari-mari… very very good, sangat bagus, tak ada babi punya,” jerit seorang wanita pertengahan umur menerusi pembesar suara, sedikit mengejutkan saya.

Rupa-rupanya, wanita yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong itu mempromosikan restoran rakannya.

Dari jeti kelihatan beberapa hotel dan restoran makanan laut. Pelbagai pilihan termasuk lala, kepah, kerang, tiram dan udang galah. Harganya tidaklah terlalu murah seperti diuar-uarkan orang Klang, tetapi berbaloi kerana masih segar.

Pengalaman alah teruk kepada makanan laut, membuatkan saya membatalkan niat mengunjungi deretan restoran di jeti, sebaliknya menuju Balai Islam Pulau Ketam.

Selepas itu, saya meneroka pulau ini menggunakan basikal yang disewa.

Dengan bantuan Chia, budak kampung yang ditemui, saya dibawa mengelilingi pulau yang dihuni kira-kira 10,000 orang ini. Pulau seluas 72.9 kilometer persegi ini kelihatan kecil dengan rumah penduduk yang dibina sebelah menyebelah.

Majoritinya berketurunan Cina dan bekerja sebagai nelayan. Bakinya membuat produk makanan berasaskan hasil laut, membina bot atau mengusahakan restoran makanan laut.

Daripada jumlah itu, kurang 50 orang memeluk Islam iaitu 0.1 peratus. Ada cerita menyatakan pengislaman dilakukan pada awal 80-an tetapi berikutan tiada tindakan susulan, saudara baru ini dikatakan patah semangat.

Dari jeti, kami melalui balai bomba sukarela, bangunan papan dengan seni bina unik. Bangunan dibina antara tiga hingga lima kaki dari tanah menyebabkan ia kelihatan seperti pekan terapung apabila air pasang.

Menariknya, perkampungan nelayan Cina ini tak ubah seperti pekan kecil yang dibina di atas pelantar kayu dan konkrit. Dalam perjalanan ke Tokong Hock Leng Keng, kami melepasi pasar mini, hotel, pusat refleksologi, sekolah dan stesen minyak. Semuanya ‘terapung’.

“Itu bank kalau you mau kuar duit,” kata Chia sambil menunjukkan bangunan Maybank.

Kami tiba di Tokong Hock Leng Keng, yang terbesar di pulau itu.

Kami meneruskan kayuhan dan singgah di kedai roti dan kilang membuat bot, sebelum berhenti seketika di rumah Mei Hung, 51, yang sibuk membuat ‘pintu’, alat menangkap ketam secara tradisional.

Menurutnya, buluh untuk membuat ‘pintu ’diambil dari Pelabuhan Klang kerana lebih keras dan tahan lama.

Mei Hung berkata, 50 ‘pintu’ dibawa setiap kali ke laut dan boleh membawa pulang antara antara enam hingga tujuh kilogram tangkapan sehari.

“Asyik makan ketam saja, tak jemu…uncle tak makan daging babi?,” soal saya. “Sini susah dapat daging babi. Suma (daging babi) mari dari Port Klang,” katanya yang memberitahu keluarganya lari ke pulau ini apabila kemaraan tentera Jepun ke selatan Tanah Melayu.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di sini mewarisi pekerjaan bapa mereka sebagai nelayan termasuk rumah kayu dua tingkat berwarna biru yang diduduki bersama keluarga.

Kami meneruskan kayuhan melintasi beberapa rumah besar dengan tulisan Cina yang tidak saya fahami. Ada yang membela burung, ada yang membuat kebun bunga dan tetapi hampir semua membiarkan pintu depan rumah terbuka.

Dari pelantar konkrit, Chia membelok ke pelantar papan menuju ke Jambatan Pasangan atau Couple Bridge. Jambatan kayu ini antara 11 jambatan yang menghubungkan penduduk di pulau ini.

Kami berhenti seketika untuk melihat pemandangan Pulau Ketam dari tengah jambatan. Kelihatan bot nelayan yang keluar masuk dan keluarga Orang Asli yang sibuk mencari lala di tanah berlumpur.

Di seberang, Koperasi Herr Ming menjadi jeti berlepas ke kelong berdekatan. Menyedari penjaganya yang separuh terlena, Chia dengan selamba membuka tangki air batu untuk tontonan saya.

Perjalanan selepas itu lebih santai dengan berlegar-legar di kawasan perkampungan. Sebelum memulangkan basikal dan mengucapkan selamat tinggal kepada Chia, saya membeli lala remis digoreng bersama tepung ubi, sebelum berlepas pulang.

Mungkin sudah langkah kanan, saya tersalah naik ke tongkang yang membawa peserta pakej pelancongan. Kesudahannya, kami dibawa ke kelong ikan dan melihat proses membuat belacan, sebelum kembali ke Pelabuhan Klang.

Separuh hari di sini, membuatkan saya seperti budak Melayu di perkampungan nelayan Cina. Seperti kata Raja Abdila Firdaus, 16, pelajar Melayu tunggal di sekolah menengah pulau ini, ‘tiada apa yang ditakutkan di pulau ini’.

Mungkin betul katanya, pengunjung tidak perlu risau meletak basikal di mana-mana. Pencuri tidak boleh membawa barang curi ke mana-mana dan terpaksa menggunakan jeti untuk ke darat.

Anak polis itu itu pernah tinggal di Perlis selama beberapa tahun sebelum kembali menetap bersama ibunya di Pulau Ketam.

Ditanya kelebihan fasih berbahasa Cina, dia yang dikenali sebagai Yong Chan berkata, “dia orang memang suka kalau kita cakap Cina. Lagipun, senang mengorat awek Cina!”.

INFO

>Lawatan ke sangkar ikan boleh diaturkan dengan bayaran RM60 untuk empat orang. Selain itu, pengunjung boleh mengikuti pakej dua hari satu malam termasuk penginapan, memancing di kelong, bot pergi balik berserta makanan pada harga serendah RM85.

>Ada lima hotel dan motel di sekitar pulau ini. Kebanyakan menjadi tumpuan kaki pancing dari luar Klang, setiap hujung minggu. Semua terletak dekat dengan kawasan jeti.

>Ada dua kedai makan Melayu diusahakan di sini. Melli’s Kitchen dan satu lagi berdekatan dengan Jeti Pulau Ketam. Bagaimanapun, hampir semua restoran makanan laut tidak menghidangkan masakan babi.

UNTUK KE SINA

>Gunakan Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang. Dari sini ikut papan tanda ke Pelabuhan Klang (pelabuhan selatan). Kereta boleh diletakkan di parkir di terminal KTM, depan balai polis dan parkir persendirian.

>Paling mudah menggunakan Komuter terus ke stesen Pelabuhan Klang. Jeti ke Pulau Ketam terletak kira-kira 100 meter dari sini. Bayaran pergi balik untuk feri adalah RM12. Bot terakhir dari pulau pada jam 6 petang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: