Toyota Altezza IS200/300 – Perintis model Lexus


Jika anda tidak kisah dengan jenama Jepun, model ini lebih baik daripada BMW E46 untuk model empat silinder, malah, harganya lebih murah berbanding jenama jentera mewah lain.



KERETA sedan kompak ini direka oleh Toyota apabila menyedari pasaran menakjubkan berjaya dimonopoli oleh BMW 3 siri. Model E36 (1992-1998) memberi ilham kepada jurutera Toyota dan Lexus untuk turut serta dalam pasaran yang hanya didominasi oleh BMW 3 siri dan Mercedes C Class. Perkara pertama yang dipelajari oleh Lexus ketika itu ialah, pembeli masih lagi mempercayai kestabilan kenderaan pacuan roda belakang untuk sebuah sedan bersaiz kecil bertemakan mewah.

Jadi, dengan pasaran Lexus di Amerika Syarikat (AS) yang telah sedia untuk dibolosi, Toyota menyerahkan tugasan tersebut kepada Ketua Jurutera, Nobuaki Katayama.

Beliau adalah jurutera sama mengetuai projek Corolla AE86 pada tahun 1985, yang menjadi kereta ‘murah’ Jepun kekal menjadi legenda sehingga hari ini.

Bagi pengeluar kenderaan Jepun tersebut, persaingan dilihat sebagai sesuatu yang sihat bagi mereka.

Setelah pelbagai faktor diambil kira, Toyota menjadi satu-satunya pembuat kereta Jepun bersaing dalam segmen ini. Maka lahirlah model Lexus IS atau Toyota Altezza pada 1998.

Model ini boleh dianggap berbaloi untuk dimiliki ketika dipasarkan. Pada tanda harga sekitar 20 peratus lebih murah berbanding BMW dan Mercedes, Altezza sarat dengan pelbagai aksesori dan teknologi untuk bersaing dengan model dari Jerman itu.


BENTANGAN papan pemuka yang kemas dan mewah.


Dari segi psikologinya, pembuat kereta Eropah mula memandang serius cabaran baru mereka itu.

Altezza dikenali dengan dua model utama iaitu IS200 dan IS300. Setiap satunya dipasangkan dengan enjin 3S-GE empat silinder dua liter dan 2JZ-GE, enam silinder sebaris dua liter.

Kebanyakan varian yang dibawa masuk ialah model IS 200 iaitu model dua liter yang ditala Yamaha yang menghasilkan 210ps dengan transmisi lima kelajuan automatik. Majoriti model yang dibawa masuk oleh pengedar ketika itu ialah versi empat silinder dua liter.

Perlu ada pelbagai pertimbangan untuk membeli kereta ini. Halangan pertamanya ialah jenama. Jika anda tidak kisah dengan jenama Jepun, kereta ini lebih baik daripada BMW E46 untuk model empat silinder. Bukan itu sahaja. Harga pasarannya sekitar RM15,000 hingga RM20,000 lebih murah berbanding BMW dan RM20,000 hingga RM30,000 lebih murah berbanding Mercedes C-Class.

Toyota atau Lexus tetap sebuah kereta Jepun. Jika anda membeli sebuah kereta yang berusia hampir 10 tahun, risiko kerosakan dan penukaran barangan pakai lusuh adalah perkara rutin yang perlu dilakukan.

Mengambil kira spesifikasi tropika dengan suhu panas, lambat laun penyelenggaraan komponen yang diperbuat daripada getah seperti mounting enjin dan sistem bushing adalah wajib dilakukan. Seperti kereta Jepun yang lain, enjin 3S-GE yang dipasangkan pada model ini merupakan enjin generasi awal yang telah digunakan sejak model Celica tahun 1989.

Enjin usang? Tidak sama sekali. Pembuat kereta tidak akan membina enjin baru pada setiap model. Enjin-enjin ini biasanya digunapakai pada beberapa model berbeza untuk mendapat pulangan matematik yang ekonomi.


METER kronograf menampilkan imej sporty dan eksklusif.


Walaupun kereta ini direka pada tahun 1999, namun sasaran pasarannya menjadikan model ini nampak mewah.

Di bahagian dalamnya terbentang susunan papan instrumentasi gaya Eropah, suis-suis diletakkan cukup kemas dan teliti.

Bentangan meter utama kronograf memberikan sifat sporty diiringi dengan imej eksklusif.

Skrin navigasinya adalah daripada jenis pop-up dan tuil gearnya datang dengan bebola besi yang unik.

Kebanyakan model ini datang dengan tempat duduk hampir separuh bucket bersalut kulit lembut, cukup selesa. Tahap NVHnya pula jauh meletakkan model ini mengatasi mana-mana model Toyota ketika itu.

Bahagian luarannya menjadikan kereta ini lebih unik. Dengan offset roda yang tidak banyak berbeza secara visual, kereta ini kelihatan seperti didatangkan dengan konfiguasri FF (enjin depan-pacuan depan).

Lampu belakangnya lebih ikonik dengan sepasang lampu pada boot lid yang diletakkan berasingan dengan gugusan lampu belakang yang dibalut perspex.

Sehingga kini, banyak pengeluar mula mengadaptasikan rekaan sebegini dan apa pun istilah yang diberi, ia kekal dengan gelaran Lampu Altezza.

Di pasaran kereta terpakai hari ini, kereta ini mungkin telah bertukar pemilik beberapa kali. Apa yang perlu anda lakukan sebelum membeli ialah memeriksa kondisi terlebih dahulu. Batuan dan jumlah pemilik tidak perlu dijadikan isu.

Satu pemilik dengan batuan rendah tidak akan bermakna kalau kereta macam lori sampah.

Paling penting ialah kondisi kerangka yang bebas kemalangan, enjin yang tiada lelehan minyak dan kotak gear yang sihat. Harga terpakai Altezza bermula dari RM80,000 untuk model 1998/1999.


MODEL pacuan belakang ini dilengkapi BEAMS akronim kepada Breakthrough Engine with Advanced Mechanism System.
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: