Bermanja dengan haiwan


Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

“TIADA guna mengajar kanak-kanak sayangkan haiwan jika mereka tidak menghargai hidupan itu dengan mencintainya.


“Bawa anak anda sempena cuti persekolahan ini untuk menikmati keseronokan bermain dengan haiwan,” kata renjer Sunway Wildlife Interactive Zoo, Mohd Naufal Ravi.

Pengunjung berpeluang bermanja dengan spesies terancam yang diterbangkan dari seluruh dunia.

Beroperasi sejak setahun lalu, zoo seluas tiga hektar itu menjadi kediaman lebih 90 spesies reptilia dan mamalia. Kebanyakan penghuninya haiwan kecil dan eksotik, tetapi dilatih mesra pengunjung.

Setiap satunya juga mempunyai nama manja masing-masing.

Untuk kemudahan pengunjung, haiwan ini ditempatkan di Rimba, Village, Jungle Trail, Nature Walk dan Aviary (lau burung).

Ular sawa disediakan dalam kandang kaca untuk keselamatan pengunjung.

Di Rimba, pengunjung berpeluang bermesra dengan pelbagai jenis kura-kura dan prairie dog (tupai besar bersaiz anak anjing).

Kera albino bernama Snowy yang juga permata zoo itu sibuk menikmati sarapan pagi berupa Milo panas.

Snowy bukan saja manja, malah jika kena gaya, ia akan ‘menjaga’ petugasnya seperti ibunya sendiri – tindak balas semula jadi di habitat asal spesies yang senang ditemui hutan tempatan ini.

Ini terbukti apabila Snowy akan cuba membalas sesiapa yang cuba memukul Naufal yang sudah dianggap ‘ibunya.’

Snowy antara kera albino yang bernasib baik. Jika di hutan, ia mungkin menghadapi masalah menyesuaikan diri kerana warnanya.

Masa depan Snowy lebih kurang sama dengan Popeye, ungka tangan putih. Haiwan ini menjadi antara spesies terancam berikutan aktiviti perdagangan haram – sebagai binatang peliharaan dan menu restoran.

Aksi Popeye yang berusia lima tahun tidak ubah seperti kanak-kanak hiperaktif, tetapi bertukar diam apabila melihat lensa kamera. Spesies ini juga dikenali sebagai ‘singing primate’ kerana tabiat suka bangun awal.

Turut mendiami Rimba adalah monyet terkecil di dunia, Momo yang banyak didapati di Brazil, selain Easter Chipmunk yang kelihatan seperti hamster dan biawak lidah biru (terbesar dalam keluarga).

Village pula menempatkan haiwan lebih becok dan agak menggerunkan. Ada platform khas untuk kemudahan pengunjung bergambar dengan 20 burung eksotik.

Burung jinak dan gemar ‘bercium’ ini sudah dilatih supaya duduk diam di dahan pokok buatan manusia.

Jiran burung ini agak menggerunkan iaitu Suzie, ular sawa Burma yang berusia 13 tahun. Bertentangan dengan kandang Suzie, ular sawa batik yang terlena kekenyangan.

Ular sawa batik yang boleh dapati di Asia Tenggara dikatakan mendahului Anaconda dari segi panjang dan berat. Memandangkan Suzie masih dalam proses menghadamkan lima ayam yang menjadi makanannya setiap dua minggu, kandangnya dibuka untuk memudahkan aksinya dirakam.

Village juga menempatkan kuda terkecil dan kucing hutan (leopard cat) yang hanya aktif pada waktu malam. Memerang kecil Asia (Asian small clawed otter) juga antara hidupan yang paling mudah dijadikan ‘sahabat’ di hutan paya bakau.

Memerang ini berkongsi kandang dengan binturong yang gemar mencangkuk ekornya di dahan pokok. Agak melucukan melihat dua haiwan ini yang cuba merampas isi ikan dari tangan renjer.

Suasana bertukar riuh apabila berkunjung ke Aviary menempatkan pelbagai spesies burung yang terbang bebas dalam zon dengan jaring khas. Inilah lokasi paling sesuai untuk melihat pelbagai burung yang disaksikan menerusi animasi studio Hollywood.

Apabila alat khas dibunyikan, semua pelbagai jenis burung eksotik pelbagai warna termasuk Victorian Crown, undan (pelican), kuang dan merak keluar dari tempat persembunyian. Semuanya mahu menyertai ‘kenduri besar.’

Keadaan kembali sepi apabila mengunjungi Jungle Trail yang menempatkan pelbagai spesies burung pemangsa termasuk enggang dan burung hantu.

Setiap satu memiliki watak tersendiri. Malay Fish Owl yang banyak mendiami pinggir sungai dan laut, mempunyai paruh lebar dan mata tajam untuk memburu ikan.

Naufal berkata, renjer mengambil tempoh kira-kira sebulan berlatih mengendalikan burung dengan betul. Tiga bulan lagi ditumpukan untuk menjinakkan spesies burung pemangsa di habitat baru.

Nature Walk pula menempatkan buaya Estuarine yang lazimnya mendiami muara sungai iaitu pertemuan air masin dan air tawar. Mungkin ramai yang tidak mengetahui buaya jenis ini sudah wujud sejak zaman dinosour lagi.

“Buaya ini menggunakan teknik ‘death roll’ untuk membunuh mangsanya. Teknik ini adalah menggigit dan kemudian mengheret sambil memusingkan mangsa supaya mangsa mati lemas,” kata Naufal.

Berdekatan dengan kandang buaya ini, kelihatan rakun yang mendiamkan diri sebelum kembali aktif di waktu malam. Perkara paling menarik mengenai haiwan ini adalah kukunya yang boleh membuka pintu atau tong sampah.

“Mungkin disebabkan kebijaksanaan haiwan ini, ia dianggap ‘serangga pemusnah’ kerana kerap menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan di negara Barat,” katanya.

Turut berjiran dengan buaya ini adalah serigala Artik, landak dan tupai putih yang tidak terdapat di negara ini.

Sebelum pulang, kami singgah di Pet Village untuk melihat gelagat Sheila, anak kambing berusia tiga bulan dan kura-kura Sulcata Afrika berusia 22 tahun bernama Adam, berkongsi sayur-sayuran.

Di sini, kanak-kanak boleh menyauk ikan sebelum dilepaskan semula ke dalam kolam khas, ‘longkang fishing’. Ini tak ubah seperti aktiviti menyauk ikan di parit atau tali air di kampung.

Kami juga bersua muka dengan walabi, haiwan dari keluarga kangaru yang mempunyai kocek di perut ini. Sebelum pulang, pengunjung dapat melihat kelibat arapaima, ikan air tawar terbesar dunia dari Amazon.

INFO

-Penghuni zoo diberi makan dua kali sehari pada awal pagi dan lewat petang. Persembahan haiwan diadakan di Wildlife Theater pada jam 3 petang.

-Renjer zoo bersedia menjawab kemusykilan anda mengenai reptilia dan mamalia taman ini. Selain itu, jurupandu disediakan untuk mereka yang datang secara berkumpulan.

-Kereta tram menghubungkan zoo dengan taman lain dalam Sunway Lagoon disediakan untuk kemudahan pengunjung pada 1. 30 tengahari, 3.30 dan 5.30 petang.

UNTUK KE SINI

Paling mudah, gunakan Lebuhraya Baru Pantai dari tengah kota terus ke taman tema ini. Pengunjung juga boleh menggunakan Lebuhraya Kesas yang mempunyai susur keluar ke taman tema ini. Untuk mereka yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan, ikut susur keluar ke taman ini.

WAKTU OPERASI

Taman Tema Sunway Lagoon dibuka dari 11 pagi hingga 6 petang (Isnin – Jumaat). Manakala, 10 pagi hingga 6 petang (hujung minggu dan cuti umum). Tutup Selasa kecuali pada cuti umum dan cuti sekolah.

HARGA TIKET

  • Wildlife Park: RM35 (dewasa) RM20 (kanak-kanak)
  • Taman tema: Amusement, Air, Wildlife RM55 (dewasa) dan RM40 (kanak-kanak).
  • Semua taman: Taman Tema, Wildflife dan Extreme RM65 (dewasa) dan RM50 (kanak-kanak)
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: