Akuarium Sydney simpan 12,000 spesies hidupan laut


Oleh Rasid Rahaman


PENGUNJUNG terpegun melihat lebih dekat keindahan Rintangan Terumbu Besar.

Terowong sedalam 160 meter di pusat hidupan marin Australia

JIKA melancong ke Sydney, selain Rumah Opera atau Opera House, pengunjung pastinya tidak akan melepaskan peluang ke Akuarium Sydney, pusat pelancongan berasakan hidupan marin yang terletak hanya beberapa meter dari mercu tanda Australia itu.

Kunjungan ke akuarium berkenaan menjadi satu kemestian bagi pelancong dan mereka pasti terpukau dengan kekayaan khazanah lautnya, seolah-olah berada di satu alam lain.


Akuarium Sydney ialah sebuah akuarium akuatik dasar laut terbesar di rantau ini. Terletak di Darling Harbour, ia mempamerkan lebih 12,000 spesies hidupan laut dan 650 spesies akuatik Australia. Pengunjung juga boleh bersiar-siar sambil menyaksikan di keliling mereka, ikan jerung, penyu, belut raksasa, kerapu, pari jerung, pari jerung belang dan pelbagai lagi spesies yang belum anda pernah saksikan sebelum ini.

Paling mengujakan beberapa ikan jerung berkenaan berukuran 3.5 meter panjang dan berat 300 kilogram.

Itulah Akuarium Sydney yang boleh memuatkan 1,000 pengunjung pada sesuatu masa dan mempunyai ruang pertunjukan seluas 4.000 meter persegi termasuk dewan pameran utama. Ia adalah akuarium dasar laut yang mempunyai terowong sedalam 160 meter di bawah air. Pengalaman ini, pasti sukar untuk dilupakan sampai bila-bila.

PENULIS bergambar kenangan.

Untuk melihat semua spesies itu di akuarium berkenaan yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam, anda perlu mengambil masa selama satu setengah jam berjalan kaki, tetapi kebanyakan pengunjung berasakan lebih lama berada di dalamnya, lebih menyeronokkan.

Selain jerung, di satu sudut lain anda boleh menyaksikan buaya air masin sepanjang 3 meter, ikan badut (clown fish), ikan rerama/kerepek (butterfly fish) dan pelbagai lagi spesies ikan yang memberi kepuasan kepada sesiapa yang mengunjungi akuarium berkenaan.

Malah, pengunjung juga berpeluang menyentuh beberapa spesies hidupan laut yang tidak berbahaya seperti tapak sulaiman dan rumpai laut.

Tidak cukup dengan ikan, pengunjung juga berpeluang melihat hidupan laut unik lain seperti udang ketak, kuda laut, landak laut, anjing laut, platipus, penguin dan singa laut. Ia boleh dilihat dari jarak dekat di satu sudut lain.

Paling mengujakan ketika berada di akuarium itu apabila anda dapat menyaksikan pertunjukan anjing laut. Kepintaran hidupan laut itu ketika membuat lompatan untuk mengambil makanan daripada jurulatihnya amat menyeronokkan.

Begitu juga pertunjukan penguin yang diadakan setiap hari mulai jam 3 petang. Penguin di Akuarium Sydney dianggap antara penguin terkecil di dunia yang hanya mempunyai ketinggian 30 sentimeter (sm) dan beratnya pula satu kilogram. Jangka hayatnya hanya tujuh tahun dan makanan utamanya ialah ikan kecil. Penguin jenis ini hanya boleh ditemui di perairan Australia dan New Zealand.

Penulis dapat menikmati pengalaman menarik itu buat pertama kali ketika berkunjung ke Sydney mengikuti lawatan media anjuran Australia Tourism, baru-baru ini.

Setakat ini, lebih 20 juta pelawat sudah berkunjung ke akuarium itu sejak dibuka pada 13 Julai 1988 dengan anggaran seramai 1.2 juta pengunjung setiap tahun.

Paling menarik, satu daripada tiga pelancong antarabangsa yang berkunjung ke Sydney akan melawat Akuarium Sydney yang terletak di bahagian timur Daling Harbour itu.

Jika anda berada di tengah-tengah Sydney, anda hanya mengambil masa antara 5 hingga 10 minit berjalan kaki melalui siar kaki Market Street atau King Street.

Anda juga boleh naik monorel yang akan berhenti di Stesen Monorel Darling Park atau kereta api di Stesen Town Hall.

FAKTA: Sydney Akuarium

Jumlah air di dalam akuarium dasar laut

  • Akuarium Dasar Laut Terbuka – 1,250,000 liter
  • Tempat perlindungan anjing laut – 1,500.000 liter
  • Terumbu karang – 1,650,000 liter
  • Sydney Akuarium dibuka pada 13 Julai 1988
  • Pertunjukan anjing laut dibuka pada Disember 1991
  • Disenarai dalam Bursa Saham Australia pada Jun 1993
  • Pertunjukan penguin dibuka pada Jun 1997
  • Perayaan ulang tahun ke 20 pada tahun ini
  • Pameran Great Barrier Reef – Rintangan Terumbu Besar dibuka pada Oktober 1998.
  •  

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: