Bahau kaya sejarah, alam semula jadi


Oleh Amin Jalil

Keindahan Hutan Lipur Serting Ulu, Hutan Lipur De Bana masih belum tercemar

HUTAN Lipur Serting Ulu, adalah satu daripada pelbagai tempat menarik di daerah Jempol, Negeri Sembilan yang wajar dilawati. Ia terletak di bahagian Utara kira-kira 20 kilometer dari Bahau dan kawasan ini mula dimajukan pada 1986.

Jalan masuk ke hutan lipur ini agak sempit dan hanya sebuah kereta boleh melaluinya. Keadaan ini menguji kesabaran pemandu kerana sebuah kereta perlu berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan untuk melepasinya dalam satu masa.

Bagaimanapun, yang pasti perjalanan ke kawasan itu menawarkan keindahan alam semula jadi dan suasana kehidupan kampung yang penuh harmoni. Kebanyakan rumah di sini dibina berasaskan seni bina Minangkabau. Pengunjung boleh melihat keistimewaan seni bina rumah berkenaan di Teratak Za’ba atau Zainal Abidin Ahmad.

Pengunjung boleh melihat pelbagai senario yang jarang ditemui di tempat lain seperti sekumpulan kerbau yang sedang bermain lumpur, kanak-kanak berlarian, suri rumah yang menyapu di halaman rumah dan sebagainya.

Selepas menempuhi perjalanan lebih kurang dua kilometer, pengunjung dapat melihat kawasan hutan yang dijaga dengan rapi. Keriuhan suara kanak-kanak bermain dan bunyi aliran air sungai beriringan menyambut kedatangan pengunjung, menggantikan kebingitan dan kesibukan kota.

Ada sebuah chalet bagi memenuhi kehendak pengunjung yang ingin bermalam di kawasan ini. Chalet yang dibina itu tidak mengganggu ekologi dan merosakkan keindahan alam semula jadi serta habitat.

Sebuah blok bangunan yang mempunyai empat kedai disediakan untuk menjual makanan dan minuman sebagai satu cara memudahkan pengunjung untuk mendapatkan bekalan air dan makanan yang diperlukan. Suasana sekeliling yang indah, damai dan tenang pasti membuatkan pengunjung tidak sabar-sabar menikmati suasana di kawasan itu dan melakukan aktiviti masing-masing.

Ketika masuk ke hutan, pengunjung pasti terkejut kerana kawasan sekitarnya terlalu bersih, tanpa sampah-sarap seperti di kebanyakan kawasan rekreasi lain. Satu lagi perkara menarik yang pengunjung boleh lihat ialah papan tanda yang melarang pengunjung membawa makanan yang tidak halal ke kawasan ini.

Waktu pagi adalah yang paling indah. Pengunjung dapat menghirup kesegaran udaranya. Untuk memasuki kawasan ini, pengunjung perlu mendaki bukit sekali gus menghirup kesegaran dan kenyamanan udara di tempat ini. Yang pasti, di sinilah tempat paling sesuai merehatkan diri dan fikiran.

Perkara yang pertama sebaik sampai di sini ialah merendamkan kaki di dalam air sungai yang sedang mengalir. Urutan batu-batu kecil dan kesejukan air yang mengalir pastinya dapat menghilangkan kepenatan sepanjang memandu sebelum tiba ke tempat ini. Ada sebuah jambatan gantung yang dibina untuk menghubungkan dua bukit di sini.

Tempat ini juga mempunyai nilai sejarah yang tidak boleh diketepikan kerana kawasan ini pernah menjadi medan pertempuran antara pihak komunis dan Jepun.

Untuk pengetahuan anda, di belakang papan tanda Hutan Lipur Serting Ulu, ada sebuah lubang kesan daripada pengeboman askar Jepun ke atas kubu komunis berpuluh tahun lalu. Selain itu, ada sebuah terowong yang juga menjadi laluan rahsia pihak komunis untuk melarikan diri.

Kajian pihak perhutanan mendapati terowong terbabit berakhir di Jeram Tengkek, Pasir Besar. Malah, beberapa perkakasan memasak seperti periuk dan pinggan serta barang lain seperti lampu, meja, mesin jahit ditemui di dalam terowong ini. Namun, pengunjung perlu mendaki beberapa buah bukit dan gunung untuk ke terowong ini.

Bagi penggemar sukan lasak, Hutan Rekreasi Serting Ulu menawarkan tempat untuk berkhemah atau menjalankan aktiviti mendaki. Pengunjung boleh meneroka terowong ini jika benar-benar inginkan cabaran.

Pengunjung juga boleh mengambil kesempatan mandi manda di Air Terjun De Bana yang kedudukannya hanya beberapa kilometer dari Hutan Lipur Serting Ulu. Air Terjun De Bana amat cantik dan kaya dengan keindahan alam semula jadi. Kawasan ini kaya dengan pelbagai spesies flora seperti orkid liar, Eorycoma Longifolia (Tongkat Ali) dan Kacip Fatimah. Kawasan ini sesuai untuk aktiviti lasak seperti Junggle Tracking.

Pendita Za’ba menjadi kebanggaan penduduk daerah Jempol kerana mengingatkan orang ramai bahawa Jempol pernah melahirkan seorang tokoh ilmuan yang berjaya dan disanjung tinggi. Beliau menjadi sumber inspirasi anak muda Jempol untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

Teratak Za’ba dibina di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, tempat kelahirannya. Di sini menempatkan segala buku hasil penulisan beliau, gambar kenangan serta barang peninggalan beliau.

Bagi mereka yang ingin mengenali tokoh ilmuan termahsyur ini, Teratak Za’ba boleh menceritakan segala-galanya.

Sungai Lui, satu lagi destinasi yang mungkin kurang dikenali namun menyimpan satu sejarah pahit yang cukup menarik untuk diketahui. Sungai Lui terletak berhampiran dengan sempadan Pahang kira-kira 25 kilometer ke utara Bandar Bahau. Di sini dibina sebuah tugu peringatan mangsa yang terkorban pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Tugu Peringatan Sungai Lui ini dibina atas inisiatif saudara mara mangsa. Seramai 382 mangsa terkorban dalam sejarah pahit itu.

Bagaimana ke sana?

Kedudukan Bahau kira-kira 250 kilometer dari Kuala Lumpur. Sekiranya anda menggunakan Lebuhraya Utara Selatan, anda boleh masuk menerusi Plaza Tol Senawang dan terus ke Bukit Putus untuk ke Kuala Pilah. Selepas ke Kuala Pilah, anda perlu ke arah Juasseh sebelum tiba di Bahau.


FAKTA:

  • Bahau adalah bandar paling hampir dengan Hutan Lipur Serting Hulu, yang terletak di daerah Jempol, Negeri Sembilan.
  • Nama Bahau diambil daripada perkataan Mandarin yang bermaksud ‘mulut kuda’ ketika kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu ketika penjajahan British.
  • Lokasi Bahau yang strategik menjadi faktor utama yang memudahkan perjalanan dari bandar ini ke pelbagai bahagian di serata pelusuk negara ini.
  • Pada lewat 60an dan 70an, Bahau membangun dengan kegiatan pembalakan dan pertanian.
  • Pada 70an, bahau dikenali sebagai ‘Bandar Kecil Emas’.
  • Pada pertengahan 80an perkembangan ekonomi Bahau berubah dan menurun hinggalah pada tahun 90an keadaan menjadi bertambah teruk.
  • Pada akhir tahun, bandar ini dibanjiri sekumpulan burung layang-layang yang bermigrasi dari hemisfera utara.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: