Keunikan pantai Losari tidak ada di tempat lain


Oleh Anwar Hussin


KEINDAHAN Pantai Losari tiada tandingannya.

KEINDAHAN dan keunikan Pantai Losari di Makassar, Indonesia, bukan saja berjaya menarik ramai pengunjung dari seluruh dunia, malah ia turut menjadi sumber ilham penggubah lagu. Dengan menggunakan judul yang sama, Pantai Losari nyanyian Elvi Sukasih, lagu itu begitu popular satu ketika dulu dan kini masih diminati ramai.

Pantai Losari sama seperti kawasan lain di Indonesia, tetapi ia mempunyai keistimewaan tersendiri terutama pada waktu petang kerana pemandangannya cukup mengasyikkan ketika matahari perlahan-lahan menyembunyikan diri.

Duduk atas benteng di tepian pantai dan ditemani pula rakan membuatkan kenangan ketika berada di Makassar sukar dilupakan. Jauh di tengah laut kelihatan berbalam-balam perahu nelayan sedang menangkap ikan.


Semakin malam menghampiri, semakin meriah kawasan pantai itu.

Di pantai sepanjang kira-kira satu kilometer itu, turut tersergam lebih 100 gerai dan warung yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Di sini juga pengunjung berpeluang menyaksikan ragam kehidupan rakyat daripada penyanyi jalanan, penjual rokok, aiskrim dan pencuci kasut yang berpindah randah mencari rezeki.

Gerai berkenaan bersambung di antara satu sama lain menghadap teluk yang menerbitkan pemandangan malam yang indah. Cuba bayangkan jika anda berada di hujung tanjung melihat kerlipan lampu sepanjang pantai.

Inilah keistimewaan Losari pada waktu malam yang mungkin tidak ada di semua tempat di Indonesia. Sebab itulah banyak pengunjung yang datang ke Makassar tidak melepaskan peluang singgah di Losari, sekali pun sekadar menikmati segelas minuman.

Makassar atau sebelum ini dikenali Ujung Pandang adalah lokasi paling strategik di kawasan Timur Indonesia. Cuma dua jam menaiki pesawat dari Jakarta atau sejam dari Bali. Lapangan Terbang Hassanudin adalah tempat persinggahan semua pesawat yang mahu meneruskan penerbangan ke kawasan lain seperti Palu, Ambon, Pontianak dan Irian Jaya.

Makassar yang terletak di Sulawesi adalah bumi etnik Bugis yang sangat dikenali sebagai pelaut, pelayar dan pedagang yang gigih dan berani.

Budayawan Sulawesi berpendapat nama Ujung Pandang ini dikaitkan dengan Benteng Ujung Pandang juga dikenali Fort Rotterdam. Hujung tanjung ini banyak ditumbuhi pohon pandan. Lidah orang Bugis menyebut pandan sebagai pandang.

Jika mengunjungi ke sini, jangan lupa untuk menikmati keenakan pisang epe, makanan khusus Bugis yang jarang dijual di tempat lain. Pisang ini dibakar, sebelum dihimpit. Setiap piring ada empat biji pisang yang sudah dicampur dengan pemanis.

Makanan istimewa di sini sudah tentulah Coto Makassar. Pelbagai bahan dalam daging lembu daripada perut dan hati dicampur dan dimasak seperti sup. Rasanya enak, sebab itu makanan ini boleh didapati di mana saja di Indonesia tetapi makanan yang dibuat di sini lebih enak.

Pada malam minggu, jalan sekitar pantai ini sesak terutama kehadiran beratus-ratus ABG (anak baru gede) atau remaja yang menjadikan tempat ini sebagai tempat pertemuan dan bersuka ria.

Banyak kenderaan pilihan untuk mengeliling kota seperti van yang dijadikan bas, teksi dan beca. Jika memilih beca, pengunjung boleh dibawa bersiar-siar sekeliling bandar ini.

Antara tempat yang wajar dilawati ialah kedai cenderamata yang menjual pelbagai warisan Makassar daripada songkok, tenunan dan perak. Barangan dari Tanah Toraja termasuk kopi memang terkenal di sini.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: