Merah tradisi Stockholm

Oleh Norfatimah Ahmad

Warna kebangaan rakyat Sweden hiasi kediaman pekerja dermaga, bangunan sejak abad ke-17

JANGAN rasa janggal apabila menoleh ke kiri, kanan, depan dan belakang, tersergam bangunan bercat merah atau dibina daripada batu bata merah dengan pelbagai reka bentuk di sekitar Stockholm, kerana itulah warna kebanggaan rakyat seluruh Sweden.

Malah, merah yang juga hasil pengaruh sejarah negara itu dan kegagahan pahlawan viking yang sinonim dengan negara itu begitu teguh dan kekal hingga kini walaupun selepas wujud pemisahan antara bandar lama dan baru yang menampilkan beberapa ciri seni bina berbeza.

Sebenarnya merah adalah warna tradisi pilihan popular rakyat Sweden sejak abad ke-15 sebagai simbol kekayaan dan kedudukan tinggi, manakala batu bata merah yang membentuk bangunan melambangkan gaya hidup golongan elit.

Sebab itu antara deretan bangunan moden terselit warna itu, tetapi ia lebih menyerlah di bandar lama yang sarat bangunan agam dan bersejarah.

Dibina oleh gugusan pulau yang dihubungkan dengan 60 jambatan, Stockholm adalah bandar yang mengadunkan dua rupa bentuk – lama dan baru. Dengan pekan lama yang menempatkan ‘kehidupan’ lama, bandar Stockholm baru memaparkan budaya semasa serta gaya hidup masyarakat moden.

Walaupun dua bahagian ini sudah cukup untuk mewujudkan satu perbandingan gaya hidup dan seni bina, namun Stockholm terus dibangunkan dengan bandar baru yang mengetengahkan gaya hidup dan seni bina kontemporari.

Bandar lama dipenuhi bangunan pentadbiran yang bentuknya lebih agam, bagaimanapun rumah kediaman agak kecil dengan lorong yang sangat sempit, malah jika mendepangkan kedua-dua tangan boleh mencecah kedua-dua dinding.

Bahagian bandar baru pula diisi dengan bangunan moden yang memaparkan seni bina tempatan Eropah, manakala bahagian lebih baru diisi dengan kediaman yang lebih terkini dengan dinding kaca.

Warisan sejarah budaya Sweden itu terbukti apabila deretan penempatan lama yang wujud sejak 1640 yang terletak antara Asoberget dan Ersta dicat merah dan dijadikan kawasan yang dilindungi. Kebanyakannya didiami pekerja dermaga pelabuhan berdekatan atau pekerja kapal.

Lotsgatan adalah antara lokasi bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong walaupun kediaman itu diubahsuai dengan dilengkapkan dengan sistem saliran air moden, alat pemanas dan bekalan elektrik.

Jika disingkap sejarah cat merah di negara itu boleh dikatakan kawasan pedalaman dan di sekitar bandar dan pekan, bangunan kayu dan batu dicat merah sehingga abad ke-19. Bagaimanapun apabila pihak berkuasa menentang penggunaan cat itu, berlaku perubahan mendadak apabila kebanyakan bangunan dicat dengan warna yang lebih lembut seperti kuning dan putih, tetapi merah masih kekal popular di kawasan pedalaman terutama peladang miskin dan tukang kayu.

Semuanya bermula apabila Empayar Sweden itu sendiri dikurniakan dengan sumber asli berharga apabila memiliki lombong tembaga yang paling banyak dan terbaik di Eropah pada awal abad ke-17 ketika meniti kemuncak sebagai kuasa besar. Pada 1607, Raja Sweden Charles IX cuba mengubah mata wang siling negara itu daripada perak kepada tembaga yang juga menampilkan warna merah, bagaimanapun gagal melaksanakannya secara menyeluruh.

Ketika itu, tentera negara berkenaan dibayar menggunakan mata wang tembaga, yang sekali gus digunakan Gustavus II untuk membiayai peperangan menentang Ferdinand II dari Jerman. Bagaimanapun, kejatuhan nilai mata wang tembaga menyebabkan kadar simpanan rakyat negara itu juga semakin lenyap.

Apabila anak Gustavus yang juga pewarisnya, Christina mencapai usia 18 tahun, selepas menggunakan wang berasaskan kertas yang secara umumnya diterima dengan baik, bagaimanapun ia hilang kredibilitinya apabila mula mengeluarkan ketulan tembaga sehingga mencecah 15 kilogram sebagai mata wang.

Pelbagai masalah timbul akibat pendekatan sistem kewangan berasaskan tembaga yang akhirnya meruntuhkan harga bahan mentah itu, sekali gus menyebabkan zaman kemuncak Sweden yang sinonim dengan tembaga merudum. Malah penduduk negara itu sekali lagi jatuh miskin.

Bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi dan perubahan yang dilalui negara itu, ia bangkit semula dan kini Stockholm menjadi antara bandaraya termahal di dunia dan mampu menawarkan gaji lumayan kepada penduduknya termasuk warga asing.

Sejarah penggunaan cat minyak merah bermula pada 1700-an apabila cat yang disapu secara melintang itu diguna pakai di seluruh pelusuk negara itu, sama ada rumah pemilik ladang di kawasan pedalaman atau rumah rasmi di bandar.

Pada 1800, petani mengecat rumah dan bangsal dengan warna itu dan menjelang akhir abad itu, cat berkenaan diguna pakai masyarakat umum hingga wujud Little Red Cottage di Carl Larsson Sundborn Estate yang terkenal dengan ciri seni bina asli lebih-lebih lagi warna merah.

Sementara itu, pada 1900 pula kesedaran untuk memelihara bangunan warisan semakin menebal, malah arkitek muda turut menggunakan cat merah dalam pembinaan bangunan baru, walaupun wujud cat minyak dan akrilik.

Cat ini dibentuk daripada bahan mineral lombong tembaga di Dalarna, Sweden, ia dibentuk daripada bijih besi dengan jumlah kandungan tembaga yang rendah, selain silikon dioksida dan zink. Pelbagai proses yang dilalui bahan itu menghasilkan warna merah yang terang dan bersinar.

Cat khas ini hanya sesuai digunakan ketika cahaya matahari yang tidak terlalu terik atau keadaan basah (keadaan kelembapan kayu kurang 15 peratus) dan elak mengecat pada suhu kurang lima darjah Celsius.

Tempoh masa sejam diperlukan untuk mengeringkan cat berkenaan, bagaimanapun lebih elok diletakkan pelapik pada tingkap dan tiang asas sebagai langkah berjaga-jaga. Hujan lebat mungkin menyebabkan cat itu luntur dan mengenai tiang asas itu. Lapisan kedua cat berkenaan juga perlu di kawasan tertentu.

Cat klasik begitu unik apabila ia tidak menggelupas dan kekal untuk tempoh masa lama. Malah, cat merah ini sesuai untuk kayu baru dan kayu yang sudah disapu dengan peluntur cat. Kayu juga perlu dalam keadaan bersih dan kering.

Adakalanya warnanya berubah, bergantung kepada jumlah oksida yang dibakar, antara gelap, cerah dan merah lembut. kebelakangan ini, campuran hijau gelap, Falu Verde juga dihasilkan menerusi campuran hitam dan kuning pekat.

Ia dihasilkan daripada air, tepung rai, minyak biji rami dan baki daripada lombong tembaga yang mengandungi oksida besi silikat, tembaga dan zink. Resipi bagi menghasilkan cat merah itu dicipta pada 1920-an.

INFO: Stockholm

  • Dibina oleh gugusan pulau yang dihubungi dengan 60 jambatan.
  • Bandar yang mengadunkan dua rupa bentuk – lama dan baru. Dengan pekan lama yang menempatkan ‘kehidupan’ lama, bandar Stockholm baru memaparkan budaya semasa serta gaya hidup masyarakat moden.
  • Wujud sejak 1640 yang terletak antara Asoberget dan Ersta dicat merah dan dijadikan kawasan yang dilindungi.
  • Lotsgatan adalah antara lokasi bersejarah yang sering menjadi tumpuan pelancong.

Satu Respons

  1. > Artikel di blog ini sangat bagus dan berguna bagi para pembaca. Agar lebih populer, Anda bisa mempromosikan artikel Anda di infoGue.com yang akan berguna bagi semua pembaca di seluruh Indonesia. Telah tersediaa plugin / widget kirim artikel & vote yang ter-integrasi dengan instalasi mudah & singkat. Salam Blogger!
    http://infogue.com
    http://infogue.com/seni_budaya/merah_tradisi_stockholm/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: