Panggilan Pulau Besar

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


Pulau Besar, Melaka

Pulau keramat Melaka tawar keindahan alam semula jadi

JIKA Pulau Langkawi terkenal dengan gamatnya, Pulau Pangkor di Perak dengan makanan laut keringnya, Melaka juga boleh berbangga dengan Pulau Besar yang mampu menarik ramai pengunjung kerana keindahannya.

Pulau Besar yang terletak kira-kira tiga batu nautika dari Pangkalan Pernu di Umbai dan 10 kilometer dari bandar Melaka menjadikan negeri Hang Tuah sebagai destinasi pelancongan serba lengkap dengan pelbagai kemudahan riadah.
Dengan pantai memutih dan bersih, ketenangan air laut yang membiru, sudah pasti pulau berkenaan dapat menambat hati sesiapa yang dahagakan keindahan alam semula jadi.

Apa yang menarik kini, pelbagai kemudahan disediakan kepada pelancong yang berkunjung ke pulau itu dan mereka tidak perlu bimbang untuk mencari tempat penginapan.

Bagi pelancong yang ingin menikmati suasana damai dan tenteram di pulau yang dianggap meninggalkan banyak keramat itu, mereka boleh berkunjung ke sana dengan menaiki bot pelancong, berbanding pada sekitar 1970-an dan 1980-an .

ANTARA chalet untuk keselesaan pelancong dan pengunjung juga boleh mendirikan khemah untuk menikmati keindahan Pulau Besar.

Orang ramai juga tidak perlu bimbang meninggalkan kenderaan masing-masing di tanah besar kerana banyak tempat letak kereta disediakan oleh pengusaha Jeti Anjung Batu yang menjadi pilihan selain dari Pangkalan Umbai.

Jeti Anjung Batu di Kampung Seri Minyak, Serkam itu turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelancong yang ingin beriadah di pulau terbabit.

Sebelum ini pulau itu dianggap sebagai kawasan keramat dikunjungi pelawat tanpa mengira bangsa dan agama untuk tujuan pemujaan.

Bagaimanapun, pada 1988, Kerajaan Melaka memberhentikan amalan khurafat itu dengan merobohkan binaan pada keramat itu. Ada beberapa keramat di pulau itu antaranya Makam Sultan Ariffin Syeikh Ismail, Makam Tujuh Beradik, Surau Khadijah, Pondok Mandi Bunga, Tempayan Keramat, Makam Tok Janggut dan Makam Tok Puteh.

Menurut cerita, makam utama di pulau itu ditujukan kepada Almarhum Sultan Ariffin Syeikh Ismail, seorang mubaligh Islam, dipercayai datang dari Timur Tengah kira-kira 700 tahun lalu untuk mengembangkan agama Islam.

Selain itu, Pulau Besar ini juga digunakan pedagang sebagai pelabuhan sebelum Melaka dibuka.

Pulau Besar juga adalah antara lima pulau kecil yang terdapat dalam rekod Ming sebagai Wu-Shu dan digunakan oleh anak kapal Cina sebagai petunjuk mengemudikan ilmu pelayaran atau kapal.

Untuk menambahkan lagi keindahan Pulau Besar dan mengembalikan zaman kegemilangannya, kerajaan negeri sebelum ini sudah memperbaiki dan mencantikkan kawasan makam Syeikh Ismail dan Makam Tujuh Beradik untuk dijadikan daya tarikan pelancong.

Makam Syeikh Ismail yang dianggap berkeramat menjadi tumpuan beratus pengunjung setiap bulan pada masa lalu termasuk dari Singapura, India dan Brunei.

Pulau seluas 120 hektar dan tidak mempunyai penempatan penduduk itu kini mempunyai pelbagai kemudahan termasuk hotel, chalet dan sebuah padang golf yang berjaya menarik ribuan pengunjung setiap minggu.

Pelancong atau pelawat tidak akan kecewa kerana di pulau ini terdapat Kelab Golf Pandanusa yang mempunyai 18 lubang.

Pembinaan kelab serta pusat peranginan ini adalah sebahagian daripada projek pembangunan pulau berkenaan untuk kunjungan pelancong.

Bagaimana ke sana?

  • Pelancong boleh ke Pulau Besar dengan menaiki bot di Jeti Anjung Batu dengan bayaran tambang pergi balik sebanyak RM12
  • Perjalanan ke Pulau Besar dengan menaiki bot hanya mengambil masa 15 minit

    INFO: Pulau Besar

  • Sekitar tahun 70-an dan 80-an, pelancong yang berkunjung ke pulau itu hanya berkelah sambil menyaksikan beberapa kubur lama yang dianggap keramat
  • Pada tahun berkenaan pelancong juga terpaksa menumpang atau menyewa bot nelayan yang berpangkalan di Jeti Umbai untuk ke pulau berkenaan.
  • Pelancong yang ingin bermalam di Pulau Besar terpaksa mendirikan khemah kerana tidak ada rumah tumpangan dan chalet tidak disediakan rumah tumpangan atau penginapan yang sesuai.
  • Kini banyak chalet kos rendah disediakan di sekitar kawasan itu.
  • Banyak aktiviti boleh didapati termasuk merentas hutan, mandi-manda, belayar dengan kapal, jetski dan menjelajah pulau.
  • Pelancong atau pelawat tidak perlu bimbang kerana mereka boleh meletakkan kenderaan masing-masing dengan selamat di kawasan letak kereta Jeti Anjung Batu dengan bayaran RM5 sehari.
  • Advertisements

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: