Panorama rimba Lembah Danum


Oleh Mohd Azrone Sarabatin


MENIKMATI pemandangan indah Lembah Danum di titi gantung Borneo Rainforest Lodge setinggi 40 meter.

Suara unggas menceriakan perjalanan merentasi titi gantung

MELANGKAH atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok yang mencecah ketinggian 40 meter di hutan Lembah Danum, Lahad Datu menjanjikan pengalaman indah biar pun terasa gayat.

Pada jarak 50 meter pertama, titi yang merentangi Sungai Danum itu setinggi 35 meter dan meningkat kepada 40 meter pada laluan 50 meter kedua yang merentangi Hutan Simpan Ulu Segama Malua.


Di pertengahan laluan, pengunjung terpaksa mendaki pokok balak dianggarkan berusia lebih 100 tahun yang dilengkapi tangga besi setinggi lima meter, sebelum perjalanan di atas titi diteruskan.

Kehijauan alam semula jadi dipenuhi panorama rimba dan sungai memberi ketenangan dan dengan sendirinya mengurangkan rasa gayat.

Suara unggas, termasuk burung bekia (bulwer’s pheasant), rusa dan Orang Utan menambah keceriaan perjalanan di atas titi, biar pun kelibat haiwan berkenaan tidak kelihatan.

PENGINAPAN dalam rimba menjanjikan ketenangan.

Pegawai Program Biologi Lapangan (Orang Utan, Badak dan Gajah) Tabung Hidupan Liar (WWF-Malaysia), Lee Shan Khee mengesahkan ia adalah suara haiwan berkenaan.

Pengembaraan di atas titi mengambil masa antara 10 hingga 15 minit, tidak termasuk kegiatan merakamkan gambar keindahan alam semula jadi persekitaran destinasi menawan itu.

Pengunjung tidak perlu bimbang ketika melangkah di atas titi itu kerana ia menepati ciri keselamatan ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Kira-kira 20 kilometer dari titi berkenaan ada Pusat Maklumat Alam Semula Jadi dan Pendidikan Alam Sekitar Shell Malaysia.

Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai flora dan fauna Hutan Simpan Ulu Segama Malua, termasuk spesies Badak Sumatera yang berhadapan dengan kepupusan yang menjadikan hutan berkenaan sebagai habitatnya.

Perjalanan di atas titi dan pusat maklumat berkenaan adalah sebahagian daripada pakej pelancongan disediakan Borneo Rainforest Lodge (BRL) Lembah Danum milik Kumpulan Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

BRL Lembah Danum menyediakan penginapan dalam rimba yang menjanjikan ketenangan kepada pengunjung, termasuk mereka yang memilih untuk meniti di atas titian berkenaan.

Bagaimanapun, setiap kediaman eksklusif yang pernah memenangi `Anugerah Destinasi Pelancongan Baru Asia’ pada 1996 itu hanya sesuai didiami dua pengunjung pada satu masa.

Reka bentuk fizikal kediaman itu mirip rumah kampung pada struktur luar tetapi di dalamnya sama seperti kemudahan hotel mewah.

Penulis bernasib baik kerana sempat memerhatikan seekor ibu burung bekia bersama tiga anaknya di sekitar kediaman itu, selain seekor rusa dan kucing hutan (cibet) tetapi gagal merakamkan hidupan liar berkenaan.

Pengunjung boleh memilih mandi air dingin dari sumber air mineral Sungai Danum atau air panas selepas mengembara di atas titi gantung atau berkunjung ke Pusat Maklumat Alam Semula jadi dan Alam Sekitar.

Lembah Danum bukan saja menjadi habitat semula jadi hidupan liar hampir pupus, malah menyediakan pakej berjalan di atas pokok yang pasti meninggalkan nostalgia indah yang sukar dilupakan.

FAKTA

  • Hutan Simpan Ulu Segama Malua yang menempatkan BRL Lembah Danum adalah hutan simpan kerajaan negeri berstatus Kelas Satu yang dilindungi daripada kegiatan pembalakan.
  • Lembah Danum dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu mempunyai keluasan 43,000 hektar. Ia menjadi habitat semulajadi lima hingga tujuh ekor badak Sumatera dan ada 12 kubang haiwan liar itu di situ.
  • Ada 22 unit perangkap video dan kamera dipasang di sekitar Lembah Danum untuk merakam pergerakan badak Sumatera untuk melindungi dan mempertahankan habitat semulajadinya.
  • Dianggarkan badak Sumatera yang mendiami Lembah Danum dan hutan lain di Sabah akan pupus dalam tempoh lima tahun akan datang jika tiada langkah menyelamat dan melindunginya.

    Bagaimana ke sana?

  • Pengunjung boleh menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Tawau, seterusnya menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Lembah Danum, Lahad Datu pada jarak 228 kilometer (km).
  • Ada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Lahad Datu menggunakan pesawat Fokker MasWing atau dari KKIA ke Lapangan Terbang Tawau.
  • Bagi mereka yang memilih menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Kota Kinabalu, perjalanan sejauh 500 kilometer mengambil masa kira-kira 10 jam.
  • Laluan sejauh 77 kilometer dari persimpangan Jalan Lahad Datu-Tawau-Kota Kinabalu ke BRL adalah batu kelikir dan jalan balak.
  • Bagi mereka yang menggunakan kenderaan persendirian, kebenaran memasuki BRL Lembah Danum boleh diperoleh di Pejabat Daerah Lahad Datu.

Satu Respons

  1. dah baca semua, tahnia kerana menerangkan dengan panjang lebar mengenai lembah danum. jika ada peluang saya akan berkunjung lagi kesana.
    satu usaha yang baik…
    cuma, gambar xdpt nampak….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: