Suasana santai di PCB


Oleh Rosdi Ismail


CHALET baru PCB Resort yang telah siap dibina.

Pantai Cahaya Bulan janjikan panaroma menarik pembalikan cahaya bulan di pantai yang menghadap Laut China Selatan pada waktu malam

PANTAI Cahaya Bulan (PCB) adalah satu daripada pantai yang terkenal di Kelantan. Ia terletak kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu dan satu ketika dulu menjadi kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941.

Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika ke pantai itu pada masa Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, askar terbabit sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.


Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini.

Oleh itu PCB menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai dan tandas awam.

Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket dan pembuatan layang-layang.

PENGURUS Pemasaran, Amran bangga dengan pembinaan chalet baru Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort yang telah siap dibina.

Keistimewaannya, PCB menjanjikan panaroma menarik kepada pengunjung khusus pelancong asing untuk melihat pembalikan cahaya bulan di pantai itu yang menghadap Laut China Selatan pada waktu malam.

Keindahan pancaran cahaya bulan itu menambahkan lagi keasyikan untuk melepaskan penat lelah dan rasa bosan di pantai berkenaan.

Bagi merealisasikan lagi dan menambah nikmat kepada pengunjung merasai suasana istirahat yang sebenar, mereka boleh berkunjung ke Pantai Cahaya Bulan Resort (PCB Resort) yang tersergam di pantai berkenaan.

Kedudukan resort yang hanya kira-kira 50 meter dari pantai menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung antaranya pakej menarik menikmati aktiviti tradisional penduduk di kampung berdekatan.

Pengurus Jualan PCB Resort, Che Amran Che Mat, berkata walaupun sebuah resort, pihak pengurusan cuba menyerap konsep homestay di dalamnya dengan pengunjung akan dibawa melawat ke rumah penduduk kampung yang menjalankan perusahaan tradisional seperti membuat barangan perak, kain batik, songket, sutera, keropok dan ikan masin.

Katanya, pengunjung juga berpeluang terbabit secara langsung sama ada membuat atau bermain pelbagai permainan tradisional seperti wau dan rebana ubi selain melihat bagaimana beruk dilatih memetik kelapa.

Beliau berkata, sejak pembinaan benteng penghakis ombak beberapa tahun lalu, masalah hakisan setiap kali musim tengkujuh sudah berkurangan.

Benteng itu kini menjadi tumpuan pengunjung untuk menjalankan aktiviti beriadah seperti memancing, bermain wau dan bersantai bersama keluarga.

Che Amran berkata, sebagai menyokong usaha kerajaan menaikkan taraf pantai itu dengan membina pusat perniagaan seperti gerai kraftangan, makan dan jualan pelbagai produk industri kampung, PCB Resort turut membina 14 unit lagi chalet baru.

PCB Resort turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti seminar atau kursus termasuk satu dewan besar bertaraf theater yang mampu menampung 800 orang, tiga dewan kecil dan dua dewan terbuka selain restoran tepi pantai dan kolam renang.

Che Amran berkata, resort itu menjadi pilihan utama kepada pelancong tempatan dan luar negara untuk menginap dan bersantai bersama keluarga kerana kedudukannya hanya kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Katanya, sebagai sokongan kepada industri pelancongan negara, resort akan sentiasa menawarkan pakej menarik termasuk berkonsepkan homestay untuk mereka yang datang secara individu atau berkumpulan.

“PCB Resort sentiasa mengutamakan keselesaan pengunjung yang mampu menambat hati mereka untuk datang semula kerana kadar sewa bilik pada harga yang berpatutan, iaitu bermula dari RM65 hingga RM199,” katanya.

FAKTA: Pantai Cahaya Bulan Resort

  • PCB Resort beroperasi sejak 30 tahun lalu adalah resort pertama diwujudkan di Kelantan dalam usaha menarik pelancong ke negeri Che Siti Wan Kembang itu.

  • Pelbagai pakej percutian disediakan kepada pengunjung termasuk agensi kerajaan dan swasta yang ingin mengadakan seminar, bengkel dan sebagainya.

  • Sebagai daya tarikan, PCB Resort turut menyediakan pakej lawatan ke kampung penduduk berdekatan untuk melihat aktiviti perusahaan tradisional seperti membuat kain batik, songket, sutera, membuat wau, barangan perak dan rebana ibu.

  • Turut menyediakan padang dan kolam mandi untuk pengunjung mengadakan aktiviti keluarga seperti sukaneka, bermain wau dan menunggang berkuda.

    Bagaimana ke sana?:

    Kedudukan PCB Resort hanya kira-kira 15 kilometer dar bandar Kota Bharu. Pelancong boleh memandu terus dari Pasar Besar Siti Khatijah melalui Jalan Padang Bank ke Jalan Pantai Cahaya Bulan untuk ke PCB Resort. Pelancong juga boleh menaiki teksi atau kereta sewa selain bas di Terminal Bas Kota Bharu.

  • Untuk keterangan lanjut hubungi PCB Resort menerusi talian 09-7744040/7742020.
  •  

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: