Tarikan Sydney


Oleh AFIQ HANIF

BAK kata pepatah, jauh perjalanan luas pengalaman, walaupun masa perjalanan itu ringkas dan padat.

Itulah yang tersemat di fikiran apabila penulis memulakan penerbangan sejauh 6,616 kilometer dari Kuala Lumpur ke Sydney.


Undangan Nokia untuk menyaksikan pelancaran empat telefon bimbit terbarunya di sana tidak mungkin dilepaskan, bukan saja kerana kesempatan itu dapat menjadi penulis antara manusia pertama memegang peranti terbaru itu, malah dapat juga menjelajah negara yang terkenal dengan kanggaru itu.

Kota Sydney, New South Wales menjadi masyhur dalam peta dunia melalui Opera House yang terletak di antara lautan dan daratan dengan reka bentuk bangunan unik seakan-akan sebahagian kulit durian serta menjadi tumpuan pelancong sejak sekian lama.

Bersama dua rakan wartawan lain, Siti Syameen dan Zam, dua ahli blog dan Pengurus Komunikasi Nokia Malaysia, Hazel Abu Samah, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney selepas hampir lapan jam perjalanan.

“Penatnya duduk dalam ‘flight’!” ungkapan pertama yang keluar dari mulut, walaupun tertidur hampir lima jam dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).

Memang terasa penat untuk melakukan aktiviti sebaik tiba, namun perasaan teruja membuatkan semuanya hilang kerana banyak tempat yang ingin dilawati dalam masa beberapa hari di Sydney.

Apabila tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan, kami dibawa menaiki van ke tempat penginapan di Sheraton On the Park di Jalan Elizabeth yang mengambil masa kira-kira 20 minit dan kami bernasib baik kerana tidak terperangkap pada kesesakan lalu lintas kerana hari itu adalah hari minggu di sana.

“Jangan lambat untuk makan tengah hari,” pesan rakan apabila kami mula melangkah ke bilik masing-masing untuk menyegarkan diri, di mana penulis mendapat bilik bernombor 714 yang betul-betul berdepan satu taman rekreasi.

Taman dimaksudkan ialah Hyde Park yang memiliki keluasan hampir sama dengan tiga padang bola sepak jika mahu membuat perbandingan.

Terfikir sejenak mengenai taman di Kuala Lumpur. Jika Sydney boleh mewartakan Hyde Park dan pelbagai lagi taman hijau lain di tengah bandar raya membangun, mungkin kita boleh mengambil langkah serupa.

Hotel yang berdekatan dengan Menara Sydney ini sememangnya menarik perhatian dengan pemandangan menakjubkan oleh menara mencakar langit itu.

Apabila perut mula berbunyi, kami menggerakkan kaki cuba mencari makanan halal apabila dikatakan lebih 200 restoran makanan halal di kota metropolitan itu yang diusahakan umat Islam keturunan Arab atau Malaysia yang menetap lama di negara berkenaan.

Namun kami hampa apabila tidak menemui satu pun kedai makanan halal. Mungkin kami tersalah kawasan.

Tanpa pilihan, kami memilih untuk memesan makanan laut sambil memastikan ia dimasak secara halal.

Sydney tidak menempatkan warga berkulit putih saja, malah kaum Cina juga banyak di sana dengan penulis dimaklumkan, juga ramai pelajar Melayu menuntut di Universiti New South Wales (UNSW), Sydney.

Apa yang boleh dilakukan di Sydney? Kota metropolitan itu sebenarnya menawarkan pelbagai destinasi menarik yang mesti dilawati. Antaranya Sydney Opera House, Sydney Harbour Bridge, Akuarium Sydney, pantai Bondi, Masjid Gallipoli, The Rocks Market, Paddy’s Market, The Australia Reptile Park dan Taman Marks.

Sydney Opera House atau Rumah Opera Sydney mempunyai reka bentuk bangunan abad ke-20 yang unik dan terkenal.

Rumah opera ini yang juga terletak berdekatan Sydney Harbour Bridge di Darling Harbour, sekali gus menjadikan kedua-duanya sebagai mercu tanda Australia.

Rumah opera ini memiliki daya tarikan dengan reka bentuk bersumberkan cengkerang laut. Selain objek pelancongan, rumah opera ini menjadi tempat untuk pelbagai pertunjukkan teater muzikal, opera, balet dan lain-lain seni teater. Reka bentuknya berdasarkan kerja arkitek dari Denmark, Jorn Utzon, pada 1957.

Satu lagi tarikan Sydney ialah akuariumnya yang menempatkan lebih 11,000 hidupan laut, termasuk jerung dan anjing laut, yang memberi keseronokan menikmati ciptaan Tuhan di dalam air.

Terletak berhampiran Akuarium Sydney ialah Muzium Maritim yang luas serta mampu menempatkan tiga kapal perangnya untuk tontonan umum, namun penulis berasa kesal kerana tak sempat memasukinya kerana ditutup awal pada hari itu.

Segalanya berdekatan antara satu sama lain, sekali gus membolehkan pengunjung berjalan saja tanpa perlu pengangkutan awam.

Selain itu, Pantai Bondo adalah lokasi pantai awam yang indah untuk diterokai iaitu dengan pemandangan cantik dan pasir memutih. Pengunjung juga berpeluang melihat aksi pemain papan luncur air atau anda mungkin boleh mencubanya sendiri.

Sungguh indah pada malam hari apabila penulis berpeluang menaiki kapal mengelilingi pantai di Sydney yang dibawakan Nokia sambil menikmati makan malam.

Pengalaman sebegini tentunya tidak ternilai dengan wang ringgit kerana pengetahuan itu lebih berharga untuk manfaat pada masa akan datang.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: