Boracay dibanjiri pelancong

Tiga dekad lalu, Pulau Boracay merupakan destinasi legenda percutian pengembara backpacker, tetapi kini ia semakin sesak dengan pengunjung dan pembangunan.


KELIHATAN seorang pengunjung menikmati keseronokan bermain luncur ombak.


TAHUN lalu, lebih 600,000 pelancong mengunjungi Pulau Boracay, di Filipina. Pulau itu terkenal sebagai salah satu destinasi percutian terbaik dunia dan hanya mempunyai jumlah penduduk seramai 18,000 orang.

Kehadiran pelancong tahun ini pula dianggarkan mencecah 670,000 orang dan memberi tekanan terhadap infrastruktur pulau tersebut di mana lebih banyak hotel dan resort dibina bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

Jalan sempit di sepanjang Pulau Boracay itu sesak dengan trafik, saluran yang membawa air ke pantai dan paip hotel boleh kering secara tiba-tiba. Lebih kurang 10 tan sampah pula perlu dibersihkan dan dibuang setiap hari.

“Tempat peranginan ini benar-benar sesak dan membangun,” kata bekas pelakon Amerika Syarikat (AS), David Light, yang mengunjungi Boracay sebagai destinasi percutian sejak tahun 1991.

“Ia mempunyai suasana alam semula jadi yang mendamaikan dan saya benci untuk melihatnya berubah. Tetapi ia berlaku juga.”


DERETAN resort yang bakal dibina untuk memenuhi keperluan pelancong yang meningkat.


Tiga dekad lalu, Boracay merupakan destinasi legenda percutian rahsia untuk generasi backpacker, dengan pantai yang indah, beberapa rumah pondok dan hanya mempunyai beberapa kemudahan asas.

Tetapi kini lebih 150 hotel dan restoran sentiasa dipenuhi pengunjung di sepanjang pantai White Beach sejauh tiga batu yang terkenal dengan pasir memutih dan air biru jernih yang mendamaikan.

Bagaimanapun beberapa bahagian lain di pulau tersebut kurang sesak, namun ia juga berkemungkinan akan membangun disebabkan saban tahun semakin ramai pengunjung membanjiri kawasan peranginan ini.

Kerajaan juga bimbang kawasan pelancongan itu akan tercemar disebabkan terlalu banyak kemajuan.

Setiausaha Alam Sekitar, Lito Atienza mengumumkan pengharaman terhadap sebarang pembinaan di Boracay pada bulan Ogos tahun lalu, tetapi ia tidak dilaksanakan sehingga bulan Januari dan kemudian hanya untuk projek baru.


MENYELAM untuk menerokai keindahan dasar laut antara aktiviti yang boleh dilakukan.


Penangguhan tersebut akan kekal sekurang-kurangnya sehingga bulan Julai. Perancangan utama untuk membangunkan pulau tersebut akan dilakukan kemudian.

“Saya rasa bahawa pulau ini seperti barangan mudah pecah,” kata presiden Yayasan Boracay, Loubelle Cann.

“Saya sendiri tidak tahu berapa banyak yang boleh ditanggung oleh pulau ini dalam aspek kapasiti fizikal. Oleh itu perkara ini perlu diteliti kerana anda tidak boleh hanya membina, membina dan membina.”

Meskipun penangguhan tersebut melibatkan lebih kurang 100 buah kedai, hotel dan restoran yang masih belum siap dibenarkan pembinaannya sehingga selesai.

Ini termasuklah resort yang mempunyai 183 buah bilik bersaiz deluxe sedang dibina oleh Shangri-La di utara White Beach. Pembinaan hotel tersebut bernilai AS$100 juta (RM320 juta) dan akan menawarkan bilik bermula pada harga AS$500 (RM1,600) setiap malam. Ia dijangka dibuka pada bulan November tahun ini.

Berhampiran tempat itu, lereng bukit akan ditarah untuk membina resort Alta Vista manakala kuarters kakitangan Shangri-La turut dibina di seberang jalan.

Meskipun sentiasa sesak, pantai White Beach tetap bersih dan kesemua bangunan hanya setinggi dua tingkat, lebih rendah daripada pohon kelapa yang tumbuh di pantai.

Tidak seperti pantai-pantai lain di dunia, White Beach kekal selamat pada waktu malam dan tiada terdapat tanda-tanda ia digunakan sebagai sarang penagih dadah.

“Ia tempat yang menarik,” kata pelancong dari Perancis, Roger Mestric yang berada di pulau itu bersama isterinya selepas melawat China dan Kemboja.


PULAU Boracay tahun ini bakal dikunjungi hampir 670,000 pelancong dari seluruh dunia.


“Ia tidaklah begitu sesak. Menurut pandangan ahli ekologi, Martinique, kepulauan Carribean lagi baik, tetapi anda boleh hidup di sini dengan mudah.”

Kerajaan, pemilik-pemilik resort dan penduduk di sana mengatakan mereka perlu mencari keseimbangan dalam mengawal pembangunan yang menawarkan kemudahan dan infrastruktur agar keindahan alam semula jadi di pulau ini tidak hilang ditelan waktu. – Reuters

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: