Dari belantara ke jalan raya


Yamaha WR250X


MODEL dual purpose ini teruji prestasinya di atas jalan raya dan off-road.



Istilah atau kategori pada motosikal kadangkala menyebabkan ramai yang tersalah gelaran pada sesebuah model.

Istilah motosikal berkuasa tinggi, atau ‘motor besar’ sering menjadi jalan keluar dalam menguniversalkan setiap jenis motosikal yang secara fizikalnya nampak lebih besar berbanding cub dan moped.

Hakikat ini biasanya berlaku di negara di mana pendedahan terhadap motosikal berkuasa tinggi adalah rendah. Kesedaran penggunaan jentera dua roda, harga yang tinggi dan kuasa beli yang rendah menyebabkan kemajuan pasaran motosikal jenis ini amat perlahan di negara kita berbanding negara jiran kita yang lain.

Berbeza di negara-negara maju yang meletakkan motosikal sebagai pengangkutan alternatif, kesedaran terhadap peri pentingnya faktor masa dan praktikal menjadikan pasaran motosikal tetap laris. Tidak seperti motosikal harian yang biasa kita lihat di jalan raya, motosikal berkuasa tinggi biasanya didatangkan dengan pelbagai teknologi keselamatan, sama seperti sebuah kereta moden yang memerlukan mandatori syarat kelayakan asas seperti beg udara dan ABS ke negara-negara maju.

Istilah kadangkala digunapakai secara berbeza di beberapa benua. Di Amerika Syarikat (AS), motosikal sport berkuasa 600cc dan ke bawah dianggap sebagai sport bike. Malah sesetengah 900cc juga diberi gelaran serupa.

Sebaliknya di Asia, 600cc, 900cc dan motosikal satu liter moden sering dirujuk sebagai super bike. Ini kerana super sering dibayangi kuasa; dan apabila motosikal 600cc keluaran 2006 memiliki kuasa kuda setinggi motosikal 1000cc keluaran 90-an, ia dianggap layak menyandang gelaran superbike.

Jadi apa pula gelarannya pada motosikal offroad/scrambler/motocross yang dihibridkan kepada kegunaan jalan raya? Ada yang menggelarnya supermotard, supermotor atau dual sport.

DIDATANGKAN dengan enjin bersesaran 249cc DOHC empat injap.



Mana-mana istilah yang digunakan, ia biasanya merujuk kepada motosikal bertema off-road tetapi dipasangkan dengan tayar kegunaan aspal.

Jadi apakah perbezaan kelas ini dengan dual purpose (DP)? Llazimnya, ia melibatkan penggunaan rim di mana kebanyakan supermoto menggunakan rim berjejari dengan tayar tiub, sementara Dual Purpose pula rim sport dengan tayar tanpa tiub.

Yamaha WR250X ini bukan sekadar motard yang menarik dipandang, malah model asal WR250F kegunaan lasak ini telah dijelmakan pada bentuk jalanan. Berkuasa 250cc (seperti namanya), ia mempunyai ciri premium pada sebuah motosikal kecil, yang sepatutnya bertanding dengan D-Trekker keluaran Kawasaki yang dijual secara sah di Malaysia.

Ketika Kawasaki mempelbagaikan produk dan segmen, Hong Leong Yamaha Malaysia tidak berminat untuk membawa masuk atau memasang model-model sebegini. Menjual Ego, Nouvo, 135LC dan 125Z jelas memberikan mereka untung besar dengan risiko yang minimum.

Supermoto ini dipasangkan dengan enjin sama 249cc sejukan cecair, DOHC, empat injap, empat lejang dengan injap pengambil buatan titanum. Ia juga menggunakan sistem pancitan bahan api generasi baru Yamaha. Penutup kepala silindernya diperbuat daripada magnesium ringan.

Sepasang palam pencucuh NGK CR9EK kini didatangkan sebagai peralatan OEM, dipasangkan di bahagian tengah kebuk pembakaran untuk kepantasan pembakaran dan respons pendikit yang cepat.

Malah, ruang silindernya diperbuat daripada komposit seramik untuk mengurangkan tahap geseran, penyebaran pelincir yang efisien dan seterusnya menghasilkan kuasa maksimum pada sebuah enjin kecil.

Pengaliran bahan api motosikal ini diselia oleh badan pendikit Mikuni 38mm yang terbukti jitu dalam penetapan campuran pembakaran, penjimatan bahan api, mengurangkan pencemaran dan direka tanpa perlunya fungsi choke. Unit ini dibantu penyuntik bahan api 12 liang dengan lay-out suntikan berkembar, pertama seumpamanya dalam kelas 250cc.

Yamaha masih mengharapkan pembeli WR250X ini mempunyai naluri penjelajahan belantara. Transmisinya dikekalkan dengan enam kelajuan yang direka untuk dua alam pemanduan, di atas jalan dan off-road.

WR250X bersaing dalam segmen yang turut dihuni oleh model Kawasaki D-Trekker.



Sistem pelinciran dalaman transmisi ini diperbaharui dengan teknologi semburan sekata bagi melancarkan penukaran gear. Gear-gearnya pula diorganisasikan oleh pelapik klac tugas berat yang ditala bersesuaian dengan kuasa outpun enjin.

Sistem ekzosnya dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi EXUP (Exhaust Ultimate Power Valve) yang mana sebuah injap berbentuk rama-rama bertugas menutup ruang ekzos untuk mengurangkan tekanan balikan berlebihan ketika enjin beroperasi.

Begini, ketika enjin berputar ligat dan anda menukar gear, pendikit yang diturunkan memberi jarak lega antara gas ekzos dengan proses pembakaran sekitar satu saat.

Julat masa pendek ini kerap menyebabkan gas yang terperangkap dalam peredam menyebabkan ia tersedut masuk ke bahagian kebuk. Fungsi injap EXUP ini adalah menganalisa ketika mana injap ekzos perlu ditutup untuk memberi kuasa berterusan ketika pendikit dilepas dan dipulas semula.

Reka bentuk keseluruhan motosikal ini memang jelas memperlihatkan sifat super motardnya. Rim berjejari lidi dan tayar spesifikasi aspal adalah antara faktor tambahan menjelaskan maksud motosikal ini dibina. Selain itu, ia dapat dilihat menerusi reka bentuk pelana yang menirus dan lampu utama kecil dan ekzos yang dipasang tinggi di sisi motosikal. Ia sebuah motosikal yang bertema Yamaha, gaya, lasak dan kuasa di alam dua roda ekstrem.

Satu Respons

  1. mcm mna ni nda fhm la…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: