Mencari sang pelangi


Setibanya di Taman Bonsai dalam keadaan cuaca yang cerah, mata kami terpaku melihat pemandangan yang begitu memukau.


PANORAMA awan yang dilihat dari puncak Gunung Tapis.


PELANGI biasanya terjadi saat hujan gerimis atau setelah hujan berhenti. Kadang kala dapat juga kita melihat pelangi tercipta pada genangan minyak. Keadaan fizik pelangi dengan warna-warna yang berbeza memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja yang melihatnya untuk memuji pencipta-Nya.Kekaguman inilah yang membuatkan penulis ingin menjejak pelangi tatkala mendapat tahu tentang keindahan air terjun Pelangi di Sungai Lembing, Pahang.

Terletak 42 kilometer (km) dari Kuantan, ia merupakan sebuah pekan yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Kota El Dorado Timur’. Gelaran itu diperoleh kerana ia merupakan tapak perlombongan bijih timah bawah tanah yang terbesar di dunia.

Untuk kali ini, penulis yang berjiwa kembara ingin menambah koleksi gunung dengan menawan Gunung Tapis di ketinggian 1,526 meter dari paras laut sekali gus melihat sendiri keajaiban air terjun Pelangi yang terletak di kaki gunung itu. Berikut catatan pendakian penulis.

Hari pertama: Saya dan rakan-rakan pendaki seramai 12 orang dari Komuniti Kasih Hutan Kita (KHK) menikmati sarapan laksam serta kuih-muih. Memandangkan inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan Sungai Lembing, saya mengambil kesempatan untuk bersiar-siar sambil berinteraksi dengan penduduk setempat. Selepas menghabiskan kira-kira 30 minit di ‘pekan koboi’ ini, saya dan rakan-rakan menaiki lori yang menunggu kami di hadapan Balai Polis Sungai Lembing. Perjalanan ke CP1 memakan masa 1 jam 30 minit.

ANTARA pokok bonsai yang terdapat di Taman Bonsai.


Sampai di CP1, kami menyeberangi Sungai Kuantan yang lebarnya kira-kira 50 meter. Kami bersyukur kerana air sungai hanyalah di paras lutut dan ini membolehkan kami meredah sungai dengan lancar.

Kemudian kami mula menapak dengan menempuh laluan lama lori pengangkut balak selama empat jam untuk sampai ke CP2 yang terletak di kaki Gunung Tapis. Perjalanan ini cukup memenatkan dengan bahang mentari yang membakar kulit. Dalam suasana yang terik ini, kerap kali kami membasahi tekak dengan bekalan minuman yang dibeli agar tidak berlaku penyahhidratan. Sesekali kami menyiram muka dengan air sungai yang cukup menyegarkan. Selesai menjamu selera di CP2 dengan bekalan yang dibawa, kami terus mendaki ke puncak. Kali ini, rintangan yang perlu kami tempuhi adalah sebuah bukit yang digelar pendaki tegar sebagai Bukit Taubat. Hati tertanya-tanya kenapa sampai begitu sekali bukit ini mendapat gelaran itu. Pelbagai andaian meracau di fikiran tetapi semua itu ditolak mentah-mentah oleh semangat untuk bermalam di puncak. Selangkah demi selangkah, kami berusaha melepasi Bukit Taubat dan akhirnya selepas dua jam meniti laluan yang curam, kami berjaya sampai di CP3 yang merupakan punca air terakhir. Di kesempatan ini, kami berehat sebentar sambil botol-botol kosong diisi untuk kegunaan semasa di puncak nanti. Tatkala keletihan mula terasa, seorang daripada kami berkata dalam nada berseloroh: “Aku dah taubat!!!”. Kata-kata itu dilontarkan mengenangkan keperitan yang telah dilalui ketika kami menempuh Bukit Taubat. Senda gurau yang bersahaja itu sudah cukup membingitkan keadaan sekali gus menghilangkan keletihan yang mula menguasai diri.



Selesai mengisi bekalan air yang secukupnya untuk tujuan memasak dan keperluan peribadi, kami memulakan perjalanan fasa terakhir iaitu dari CP3 ke puncak yang jauhnya kira-kira lima kilometer. Perjalanan yang melalui trek-trek yang agak curam serta panjang begitu mencabar kelasakan badan serta jati diri. Keadaan yang sudah malam memayahkan lagi pergerakan yang hanya disinari cahaya lampu suluh. Ada kalanya, kami tersadung akar-akar yang menjalar di tengah trek tetapi mujurlah tiada kecederaan serius berlaku. Setelah bertarung selama tiga jam merentasi bentuk muka bumi yang mencanak dengan suasana malam yang cukup pekat, akhirnya kami sampai di suatu tempat yang dinamakan Taman Bonsai. Lokasi ini terletak kira-kira 10 minit ke puncak Gunung Tapis. Angin dingin yang cukup kuat pada malam itu menghampakan harapan kami untuk menikmati suasana di puncak. Lantas, kami mendirikan khemah betul-betul di sebelah beirut yang sudah dimakan usia. Kegirangan berada di puncak terpaksa kami lupakan kerana keletihan yang teramat serta hujan renyai.Hari kedua: Selepas menikmati sarapan pagi, kami meneroka keindahan Taman Bonsai yang terletak tidak jauh dari puncak. Pernah dikatakan kawasan ini seakan-akan taman bonsai di puncak Gunung Tahan. Taman Bonsai ini juga boleh dijadikan tapak perkhemahan terutamanya bagi kumpulan pendaki yang ramai ahlinya. Setibanya di Taman Bonsai dalam keadaan cuaca yang cerah, mata kami terpaku melihat pemandangan yang begitu memukau. Pokok-pokok bonsai pelbagai saiz jelas kelihatan memenuhi setiap ruang seolah-olah sebuah hamparan permaidani yang menghijau. Kami terpaksa melangkah berhati-hati, takut pula terpijak anak-anak pokok bonsai yang tumbuh meliar di sepanjang laluan trek agar keindahan ini dapat dinikmati oleh pendaki lain. Selesai bergambar kenang-kenangan, kami mula menuruni gunung menuju ke CPI.

Trek yang agak cerun dan licin disebabkan hujan malam tadi menyebabkan pendakian turun agak teknikal. Kami menjadikan dahan-dahan pokok di kiri dan kanan trek sebagai tempat berpaut agar tidak tergelincir. Kami tiba di CPI sekitar pukul 8.30 malam seperti mana yang telah dirancang.

Kami bermalam di situ agar keesokan harinya, kenderaan pacuan empat roda akan mengambil kami untuk dibawa ke air terjun Pelangi yang terletak kira kira 7km. Selesai mendirikan khemah serta menikmati juadah makan malam, ada juga rakan-rakan mencuba nasib dengan memancing di Sungai Kuantan. Pada mereka yang tidak memancing peluang ini digunakan untuk berehat sambil bertukar-tukar pengalaman.

Hari ketiga: Lena kami dikejutkan oleh deruman kenderaan pacuan empat roda yang telah bersedia untuk membawa kami ke air terjun Pelangi. Selesai memunggah beg ke atas lori, kembara kami diteruskan dengan perjalanan yang memakan masa kira-kira satu jam.

Lebih kurang pukul 11.15 pagi, kami tiba di sebuah kawasan lapang yang sesuai dijadikan tapak perkhemahan. Di sana, terdapat beberapa jentera pacuan empat roda lain. Sempat juga kami bertegur sapa dengan mereka yang sedang menggoreng ikan tengas sebesar tiga jari. Dari tapak perkhemahan ini, kami berjalan kaki ke air terjun dengan merentasi arus sungai yang agak deras tetapi cetek. Langkah kami semakin laju tatkala mulai kedengaran desiran air. Akhirnya selepas melalui laluan yang penuh dengan bongkah batu-batu besar, saya dan rakan-rakan sampai di air terjun Pelangi. Malangnya ketika kami tiba, sang pelangi yang dicari tidak kelihatan. Ini mungkin kerana kami sampai agak lewat iaitu kira-kira pukul 12.30 tengah hari di mana matahari sudah berada hampir betul-betul di atas kepala. Situasi ini menyukarkan proses pembiasan berlaku kerana untuk pelangi terjadi di air terjun, matahari harus berada di hadapan air terjun.


KUMPULAN pendaki dari Komuniti Kasih Hutan Kita bergambar di puncak.


Bukan rezeki kami agaknya. Mungkin inilah yang dibisikkan di benak kami yang agak hampa. Bagaimanapun, kami tetap berbangga kerana berjaya menawan Gunung Tapis serta bersyukur kerana dapat melihat salah satu air terjun yang tercantik di Malaysia.

Satu Respons

  1. thanx sebab pamerkan artikel aku.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: