Berlibur di Kota Tinggi

Daerah seluas 3,489 kilometer di negeri Johor ini bukan sekadar memanggil tetamu dengan tarikan lokasi air terjunnya, malah anda berpeluang bersantai dalam suasana desa.


EKSPEDISI mencari kunang-kunang di Sungai Lebam dimulakan dengan aktiviti menyusuri ketenangan kawasan paya bakau.


SEBUT saja nama Kota Tinggi, pasti ramai yang terbayang lokasi air terjun yang popular di negeri selatan tanah air. Lokasi tersebut adalah antara produk pelancongan negeri yang tidak perlu kerap dipromosikan kerana kehebatannya disampaikan dari mulut ke mulut.Tidak mahu terus bergantung pada satu lokasi rekreasi yang masyhur, daerah ini kini giat mencanang tarikannya dengan pelbagai pilihan produk pelancongan lain.

Apabila bercakap tentang kunjungan, tentu ada yang ingin mencari tempat untuk bermalam sehari dua. Dalam banyak pilihan yang boleh ditemui, gaya penginapan homestay semakin mendapat sambutan pelancong dari dalam dan luar negara.

PENGUNJUNG Ladang Ternakan Buaya Teluk Sengat berpeluang untuk ‘bermesra’ dengan anak buaya yang berusia seminggu.


Bob Homestay di Kampung Johor Lama adalah antara lokasi penginapan yang mengajak tetamunya bersantai dalam persekitaran desa.

Sambil melibatkan diri dengan aktiviti menyusuri Sungai Johor dengan bot, berkayak, berbasikal serta mendekatkan diri dengan koloni paka bakau, homestay ini menambah tarikannya dengan lawatan ke kawasan bersejarah dan pertunjukan kebudayaan.

Begitu juga dengan homestay yang dikelola oleh pihak Felda dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) seperti Homestay Felda Semenchu.

Terletak di laluan menghala ke pusat peranginan Desaru, sebanyak 92 buah rumah menanti dengan standard kebersihan dan kemudahan yang terjaga.

BURUNG unta jinak mengundang keseronokan pengunjung Kota Tinggi Ostrich Farm.


Masih teringat lagi akan kelazatan pisang goreng panas yang dicicah dengan sambal kicap yang dihidang sewaktu minum petang. Tidak perlu diulas lanjut tentang itu, kerana semua layanan mesra dan kemudahan di sini menjawab pertanyaan mereka yang merancang menjadikan Kota Tinggi sebagai destinasi persinggahan hujung minggu.

Mencintai daerah ini bermakna anda mahu mengambil tahu tentang asal-usul yang dahulunya dibuka oleh komuniti nelayan. Maka, tempat paling ideal untuk mendalami hasrat tersebut adalah dengan melawat Muzium Nelayan yang terletak di Tanjung Balau.

Selain menghidupkan semula gaya hidup aktiviti nelayan tradisional, muzium ini turut menyediakan artifak bahan pameran antaranya gambar-gambar, replika peralatan dan diorama perkampungan nelayan.

Tidak kenal bubu, rawai dan pompang? Inilah masanya untuk mengimbas semula kehidupan dan jerih payah nenek moyang kita meredah sungai dan laut demi menyediakan hidangan sekeluarga.

Kedudukan muzium tersebut di pantai Tanjung Balau yang terkenal dengan hamparan pasir dan hamparan rumput yang sesuai untuk acara riadah keluarga. Pantai ini juga sama seperti Pantai Desaru, pernah menjadi gelanggang acara luncur ombak khususnya ketika musim ombak besar setiap tahun.

KEDAMAIAN suasana kampung jelas terlihat di homestay Felda Semenchu.

Sebagai pelengkap permintaan, Chalet Tanjung Balau yang terletak berdekatan tidak ketinggalan menawarkan pakej penginapan selesa. Bagi kedatangan berkumpulan, unit dormitori adalah disyorkan. Semuanya pada harga yang berpatutan.

Mahu menikmati suasana meredah sungai sambil memancing dari atas dek terbuka?

Bujang Firefly adalah syarikat yang mengendalikan ekspedisi bot menyusuri Sungai Lebam. Sambil melayan selera dengan seleksi bufet termasuk ikan dan sotong bakar, penumpang boleh berhibur dengan nyanyian karaoke sambil menunggu matahari terbenam.

Jangan malu jika suara anda tidak sedap kerana yang mendengar hanyalah teman-teman seisi bot dan isi hutan bakau yang tidak akan mengkritik!

DEKATI ilmu agrikultur di Desaru Fruit Farm.

Apabila hari sudah gelap, lampu bot akan dipadamkan. Ketika inilah penumpang diminta untuk senyap sambil berwaspada dengan magis yang bakal muncul. Mata yang awas akan cepat menangkap isyarat cahaya kunang-kunang yang seakan berpesta di balik rimbun daun di sepanjang sisi sungai.

Kota Tinggi menyemarakkan konsep agro-pelancongan melalui pembukaan ladang seluas 100 hektar bernama Desaru Fruit Farm. Lebih 100 jenis buah-buahan tropika sedia dinikmati oleh para pengunjungnya.

Seterusnya, pelancong dicadangkan untuk tidak melepaskan peluang melawat dua buah lokasi santuari eksotik.

IKAN bakar dan sate antara menu yang dihidangkan di atas bot yang dikendalikan syarikat Bujang Firefly.

Pertama adalah dengan melawat ‘rumah’ bagi ribuan reptilia besar dan ganas iaitu di Ladang Ternakan Buaya Teluk Sengat. Ladang warisan keluarga Ang Kok Ting ini dibuka setiap hari dengan bayaran masuk serendah RM4 hingga RM8.

Pelancong juga boleh meninjau aksi lincah dan manja burung unta di Kota Tinggi Ostrich Farm, Teluk Ramunia. Destinasi ini pasti menyeronokkan pengunjung, lebih-lebih lagi jika dapat membuat demonstrasi wajib seperti berdiri di atas telur burung unta yang keras atau menunggang haiwan itu, disamping merasai kelazatan sate dan burger burung unta.

Apa lagi yang boleh dilakukan di Kota Tinggi? Jika ada yang bertanyakan ‘berbaloikah untuk menghabiskan masa libur di daerah ini’, pasti penduduk tempatan akan berkata: “Datanglah dan ‘tawan’ Kota Tinggi dengan semangat percutian anda!” – HAMZAH ABDUL HAMID

5 Respons

  1. kak nor dan kak anna masih di semanchu lg ?

  2. semencu dlm ingatan

  3. balik sedili besar nak singgah sana.

  4. salam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: