Cahaya ibadah


Oleh Idris Musa

“(NUR hidayah bersinar) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (an-Nur: 36)


Makmurkan masjid dengan ilmu

Melalui peranan dan aktiviti masjid yang berkesan, cahaya Islam tersebar dari Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, bersinar bak bulan menerangi ke seluruh semenanjung Arab, malah merentasi perbatasan benua dunia.


Bermula dengan dua masjid yang mulia itu Islam semakin berkembang, menerangi jiwa manusia, daripada kegelapan bertukar kepada cahaya, jahil bertukar menjadi alim, kafir menjadi muslim, fasiq menjadi soleh, kabur bertukar jelas, malah yang fasiq menjadi orang soleh.

Itulah peranan masjid, bukan sekadar tempat solat berjemaah atau sembahyang Jumaat malah sebagai rumah Allah bagi membawa misi ke arah kecemerlangan masyarakat dan tamadun bangsa.

Jika diperhatikan sirah Rasulullah s.a.w terhadap dua masjid agung itu, ia tidak hanya terbatas kepada ibadat khusus yang menekankan hubungan antara manusia dan Allah, malah mendukung konsep dan falsafah merangkumi semua aspek termasuk perhubungan sesama manusia.

Rasulullah s.a.w sering menerima wahyu di masjid, di samping menjadikan masjid tempat mengajar sahabatnya mengenai Islam, iman dan ihsan, malah mengajar cara pembentukan peribadi, pembersihan hati, peraturan keluarga, masyarakat dan kepemimpinan negara.

Tetapi hari ini, ketika umat Islam semakin bertambah ramai dan masjid makin bercambah di segenap pelosok dunia, sesetengah institusi itu gagal memainkan peranan memakmurkan Islam.

Zaman awal Islam, kecemerlangan masjid cukup terserlah, institusi untuk penerokaan ilmu, pusat pemupukan persaudaraan serta parlimen untuk mesyuarat dan mencari titik persefahaman dalam pelbagai persoalan.

Bermula dengan bayangan masjid, munculnya Universiti al-Azhar dan beberapa universiti lain, sehingga menjadi tumpuan seluruh masyarakat dunia.

Peranan dan kejayaan yang ditunjukkan masjid ternama itu sewajarnya menjadi contoh kepada masjid lain dalam merencanakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan tahap kehidupan umat Islam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan Masjid Bandar Country Homes, Rawang, baru-baru ini bertitah: “Peranan masjid perlu seiring dengan perubahan masa dan persekitarannya kerana faktor kepemimpinan, dasar dan perubahan minda perlu kerana ia akan mempengaruhi kehidupan masyarakat.

“Justeru, barisan jawatankuasa masjid perlu mempunyai pegawai yang proaktif, profesional, kreatif dan berwawasan agar budaya kerja cemerlang dapat diterapkan dalam usaha memakmurkan masjid.”

Masjid satu institusi penting dalam Islam dan dengan sebab itu orang yang terbabit dalam pembangunan, pengurusan dan kemajuan masjid mestilah benar-benar layak, berkaliber dan beriman dengan Allah, sesuai dengan firman-Nya bermaksud:

“Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (at-Taubah:18)

Penceramah bebas, Muhamad Fauzi Husin, berkata dalam mentadbir masjid memerlukan kombinasi mereka dalam pelbagai kepakaran supaya peranan institusi itu dapat dipertingkatkan lagi, tetapi syarat asasnya, mereka yang ahli (akrab) masjid perlu diberikan keutamaan.

“Masjid bukan sekadar tempat solat berjemaah dan solat jenazah tetapi ada pelbagai fungsi.

“Kita kena pelbagaikan fungsinya, contohnya dalam bidang kebajikan dan anak yatim,” katanya yang juga Setiausaha Masjid Kuala Kangkung, Alor Star, Kedah.

Menurutnya, sesuai dengan kemodenan sekarang, masjid perlu mempelbagaikan fungsi dan aktivitinya, malah kandungan khutbah juga perlu dipastikan sesuai dengan isu semasa supaya tidak ada yang tertidur ketika khatib sedang berkhutbah.

Di masjid juga persaudaraan tanpa mengenal usia terjalin dengan berkesan, malah perpaduan dan semangat kebersamaan dapat disemai bagi membentuk umat yang satu. Dari masjid jugalah lahir sikap tolong menolong, sekali gus mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Muslim.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata pihaknya sentiasa memastikan masjid di negeri terbabit diuruskan dengan sempurna bagi memastikan institusi itu berfungsi dengan berkesan.

“Di Selangor memang kita buat ke arah itu (pengurusan profesional). Malah, kami juga memastikan masjid bebas daripada pengaruh politik supaya tidak berlaku pecah-belah di kalangan makmum,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberikan komitmen dalam memastikan masjid di negeri itu yang berjumlah 350 buah sentiasa makmur, harmoni dan menyatupadukan masyarakat.

“Atas tujuan perpaduanlah kami sentiasa melakukan pemantauan supaya tiada pengaruh politik. Malah, kami juga memantau semua 350 masjid dan 1,800 surau di negeri ini. Semuanya ada di dalam senarai kami,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: