Keindahan Yan sukar dilupakan

 

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
 

DARI jauh, Gunung Jerai yang menjadi puncak tertinggi di Utara Semenanjung tersergam indah apabila menghampiri Yan, daerah terkecil Kedah.

DARI jauh, Gunung Jerai yang menjadi puncak tertinggi di Utara Semenanjung tersergam indah apabila menghampiri Yan, daerah terkecil Kedah.

Pemandangan sawah padi menguning menjadi latar semula jadi kepada gunung setinggi kira-kira 1,200 meter (m) itu.

Gunung yang menganjur ke Tanjung Jaga di pinggir laut ini sejak berabad menjadi panduan pelayar silam yang singgah berdagang di negeri ini.

Ada yang mengaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang dikatakan membuka penempatan di kaki gunung ini.

Memandangkan Yan sudah lama menarik kunjungan pedagang dari, daerah ini juga pernah diteroka pendatang Acheh, Indonesia.

Kampung Acheh dan Kampung Sungai Limau dengan majoriti penduduknya keturunan Acheh menjadi bukti kewujudan masyarakat dari seberang itu.

Meskipun memiliki keluasan kecil, Yan memiliki pelbagai tarikan pelancongan semula jadi dalam suasana perkampungan Melayu.

Dengan keramahan penduduknya, pelancong yang bertandang pasti merasai percutian mereka seolah-olah pulang ke kampung.

Peranginan Sri Perigi, lima kilometer (km) dari Yan dan 35 km dari Alor Star antara destinasi mesti dilawati apabila menjejakkan kaki ke daerah ini.

Landskap semula jadi air terjun paling tinggi di Kedah melebihi 100 m kelihatan apabila anda menghampiri hutan lipur itu.

Perjalanan ke sini tidak akan membosankan dengan pemandangan sawah padi, perkampungan tradisional Melayu diselang-seli dengan hamparan dusun buah-buahan.

Suasana semakin permai apabila melihat kelibat kanak-kanak berkejaran di sawah padi yang sedang dituai.

Bagaimanapun, pengunjung diingatkan datang selepas musim kemarau bagi benar-benar menikmati keindahan khazanah rimba Yan.

Aliran air terjun yang mengalir deras, pasti membuat anda berasa nyaman walaupun berada di kaki bukit.

Peranginan Batu Hampar, berhampiran Istana Hinggap Sultan Kedah turut menjadi tumpuan orang ramai bersantai pada hujung minggu.

Selain berkelah di tebing sungai, pengunjung boleh melihat pelbagai spesies pokok hutan Gunung Jerai termasuk Meranti, Melanti, Meranti Langgong dan Meranti Tembaga.

Peranginan Titi Hayun pula lebih teratur dengan pembinaan kemudahan penginapan untuk mereka yang bermalam di pusat rekreasi air terjun itu.

Selain kemudahan asas, chalet kendalian Majlis Daerah Yan (MDY) terletak berdekatan dengan air terjun membolehkan pelbagai aktiviti berkumpulan dilakukan.

Sejak beroperasi lebih setahun lalu, ia menarik kunjungan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan kakitangan kerajaan untuk menjalankan kem motivasi.

Menariknya, chalet ini dibina tanpa mengorbankan landskap semula jadi kawasan rekreasi ini.

Seperti kawasan rekreasi air terjun lain di Kedah, Titi Hayun kembali meriah selepas berakhirnya musim kemarau menjelang Mei.

Bagaimanapun, pengunjung masih melakukan pelbagai aktiviti lasak di sini termasuk berkhemah dan merentas denai.

Kawasan rekreasi itu menjadi antara laluan mendaki Gunung Jerai. Laluan dipanggil Tangga Kenari Seribu Tahun dengan 1342 anak tangga itu dibina pada era bekas Menteri Besar, Tan Sri Sanusi Junid.

Peranginan Titi Hayun menjanjikan kedinginan air gunung malah pengunjung pasti terpesona dengan landskap semula jadi.

Mereka yang pernah ke sini pasti tahu betapa seronoknya kedinginan air terjun yang mengalir dari bukit berbatu.

Puas melihat keindahan air terjun, pengunjung boleh bersiar-siar di kawasan perkampungan Acheh.

Jika langkah kanan, anda berpeluang merasai keenakan makanan tradisional Acheh seperti sayur rumpai, rendang asam, daging masak nangka dan kuih warisan masyarakat itu iaitu jimpan.

Jika mahu merasai sendiri pengalaman hidup di perkampungan Melayu, boleh berkunjung ke Kampung Raga.

Kepala yang sesak pasti terasa ringan melihat pepohon hijau dan pemandangan indah Sungai Raga yang jernih dan berliku.

Kebersihan sungai dan persekitaran kampung tradisional berkenaan yang pernah memenangi beberapa anugerah kebersihan peringkat kebangsaan nyata menjadi tarikan utama ke Kampung Raga.

Jika tidak tahan berendam dalam air sungai yang sejuk, pengunjung boleh cuba nasib memancing atau berkayak di sepanjang sungai berkenaan.

Dari sini, anda boleh memandu terus ke Pantai Murni, kira-kira 10 km dari Tanjung Dawai dan 50 km dari Pantai Merdeka yang menjadi tempat persinggahan pengunjung yang mahukan ketenangan.

Pendamkan saja hasrat untuk bermain air memandangkan pantainya dipagari tembok pemecah ombak dan airnya berlumpur.

Pantai ini tidaklah secantik pantai peranginan terkemuka seperti di Langkawi tetapi masih mempunyai tarikan tersendiri. Ini mungkin kerana kedudukannya yang dihimpit Gunung Jerai, puncak tertinggi utara Semenanjung yang menganjur sehingga ke laut.

Sambil melepaskan lelah di atas tembok batu, pengunjung dapat melihat beberapa pulau kecil berdekatan termasuk Pulau Bidan, Pulau Bunting dan Pulau Telor.

Pulau kecil yang terletak berhampiran antara satu sama lain ini menjadi tumpuan kaki pancing.

Kini, Pulau Bunting boleh dikunjungi apabila sebuah jambatan sepanjang kira-kira 2.29 km dibina untuk mendekatkan pulau itu dengan daratan.

Pemandangan perkampungan nelayan bakal menjadi satu lagi tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke pulau ini.

Terlanjur ke sini, jangan lupa mencuba makanan luat di medan selera Pantai Murni yang bertambah meriah apabila menjelang larut malam.

Pelbagai hidangan termasuk kerang bakar, sotong goreng tepung dan pari bakar ditawarkan pada harga yang amat berpatutan.

Pemandangan malam di pantai juga bertambah indah dengan kerlipan cahaya lampu menerangi bot yang berlabuh sementara menunggu siang.

Bertambah meriah apabila kaki pancing membanjiri tembok sabar menanti joran disambar umpan.

Satu Respons

  1. hidup anwar..hidup pakatan rakyat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: