Lupa rosakkan manusia

ANTARA kelemahan manusia ialah selalu lupa. Banyak sebab menjadi pelupa, antaranya berpenyakit alpa dan nyanyuk serta terlalu banyak berfikir sehingga lupa apa yang sepatutnya tidak dilupakan.

Malah, lupa juga berpunca daripada tiada fokus terhadap amalan dan pekerjaan yang dilakukan iaitu melakukan sesuatu tidak sepenuh hati atau dipanggil sesetengah orang tidak masuk hati, lalu cepat lupa.


Lupa juga berlaku kerana isteri ramai, asyik memikirkan cara untuk mengelak daripada dimarahi dan strategi sebagai penyelamat daripada diserang.

Tetapi antara punca lupa yang menakutkan ialah apabila banyak lupa kepada Allah. Dalam satu ayat al-Quran ada menyebut maksudnya: “Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupai Allah, nanti Allah akan membuatkan kamu lupa diri kamu sendiri.”

Lupa diri sendiri menurut ulama antara maksudnya ialah lupa hari akhirat, lupa amalan dosa yang dilakukan hingga tidak terasa hendak bertaubat serta lupa tanggungjawab sebagai suami, isteri dan anak, sehinggakan lupa fungsi hidup, lupa sebagai seorang pekerja, lupa amanah, lupa tugas, lupa janji dan seumpamanya.

Oleh kerana banyak lupa, kita semestinya sentiasa diperingatkan (tazkirah) dan melakukan analisis (muhasabah) terhadap diri sendiri.

Lihat nasihat Imam al-Ghazali yang sangat mendalam, semoga ia menjadi bahan dan teman muhasabah kita.

Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Imam al-Ghazali bertanya (pertama): “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang memberikan jawapan orang tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah ‘mati’. Sebab itu sudah janji Allah s.w.t bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (lihat ayat 185, surah Ali-Imran)

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan pertanyaan kedua: “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang. Lalu Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah ‘masa lalu.’

Walau hebat macam mana sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita harus menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga: “Apa yang paling besar di dunia ini?”

Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali.

Tetapi katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah ‘nafsu’ (sila rujuk ayat 179 dari surah al-A’raaf).

Oleh itu, kita harus berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.

Pertanyaan keempat: “Apa yang paling berat di dunia ini?” Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan gajah. Semua jawapan benar, kata Imam al-Ghazali tetapi yang paling berat adalah ‘memegang amanah.’ (lihat ayat 72, surah al-Ahzab)

Tumbuhan, haiwan, gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika Allah s.w.t meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima: “Apa yang paling ringan di dunia ini?” Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah ‘meninggalkan solat.’

Gara-gara pekerjaan malah keletihan, kita meninggalkan solat.

Pertanyaan keenam ialah: “Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedang.

Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya yang paling tajam ialah ‘lidah manusia.’ Ini kerana melalui lidah manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: