Biar saiz ‘bersuara’




Cuba bersaing dengan Honda 1900cc, Kawasaki memperkenalkan jentera yang lebih berkuasa, Vulcan 2000cc.

VULCAN. Namanya cukup terkenal untuk membariskan versi motosikal easy rider keluaran Kawasaki Heavy Industries Jepun.

Vulcan juga merupakan perintis kepada mini easy yang juga diperkenalkan pada versi yang kecil seperti Eliminator atau Vulcan 250cc. Konsep motosikal ini juga lebih kecil dengan enjin satu silinder yang dijenamakan semula di bawah logo Modenas Jaguh.

Daripada sebuah jenama besar kepada enjin dan versi kecil, jadi bagaimana pula, jika dibesarkan dengan sebesar-besarnya?

Vulcan 2000cc. Ya. Bukan salah ejaan. Vulcan diperkenalkan untuk versi 2000cc, sebagai jawapan kepada 1800cc Honda.

Dengan kapasiti sebesar itu, tentu sahaja model seperti Mean Streak akan kelihatan kecil. Kecil? Sedangkan Mean Streak begitupun sudah cukup sasa dan gemuk.

Jadi, bagaimanakah pula untuk menggunakan nadi penggerak sebesar dua liter pada sebuah motosikal? Ia mungkin keterlaluan jika dilihat pada teorinya.

Namun, dengan rekaan dimensi yang betul, kerangka yang mantap, 2000cc bukanlah satu masalah. Yang lebih diutamakan ialah pasaran di Amerika Syarikat (AS) yang mementingkan saiz. Baik reka bentuk mahupun enjin.

Dengan menggunakan enjin V-Twin, kuasa yang besar hanyalah sebahagian kecil daripada dominasi Vulcan dalam keluarganya. Ia adalah sebuah cruiser yang direka dengan elemen moden dan kontemporari bersama daya jiwa klasik sebuah easy rider.

Jadi, ia menghasilkan sebuah jentera yang mempunyai kelebihan dalam segmennya.

Reka bentuk badan Vulcan ini direka dengan sangat padat, kompak dan tidak banyak berbeza jika diletakkan Mean Streak secara bersebelahan.

Cuma, ia direka dengan lebih kontemporari menerusi penggunaan bahagian kromium yang membalut bahagian luar yang terdedah.

Bahagian berkilat ini kemudiannya dipantulkan semula oleh komponen keluli berwarna hitam menjadikan sinaran motosikal ini benar-benar unik. Berkilat, tetapi terselindung dengan maya hitam garang sekali gus menyembunyikan identiti di sebalik imej keseluruhannya.

Lampu hadapannya dipasangkan dengan bentuk hemi. Bukan itu sahaja, ia didatangkan dengan empat mentol yang menyinar di dalam perumah projektor.

Selain itu, ia daripada sebuah lampu utama. Susunan meter utamanya masih pada posisi terdahulu tetapi telah dikemaskan lagi dengan elemen penting seperti kromium, meter penunjuk bahan api dan juga alat bantu maklumat yang berguna kepada penunggang.


TENTU menarik jika dapat berselisih dengan Vulcan 2000cc di jalan raya Malaysia.



Kemasan kecil yang turut diambil kira sebagai perhiasan ialah penutup penapis udara yang diserapkan dengan imej hitam-kromium seperti mana asas badannya.Jika dilihat dengan lebih teliti, penggunaan warna hitam mati dan hitam metalik Diablo berjaya menyeimbangkan bentuk motosikal ini daripada pandangan hadapan hingga ke ekor belakangnya.

Elemen penting yang cuba digarap pada imej motosikal ini ialah bentuk cruiser khusus untuk memaparkan kuasanya. Ia tidak ditonjolkan, tetapi tidak pula disembunyikan. Hakikat ini mendorong jurutera di Kawasaki memilih enjin produksi massa terbesar mereka, 2,053cc V-Twin.

Enjin ini dibina di atas platform kebuk pembakaran dengan saiz gerek dan lejang 103 X 123.2mm, omboh tempa, rod penyambung aloi, flywheel 220mm dan sepasang cam yang diletakkan di antara crankcase dan pushrod sebelah kanan.

Reka bentuk pushrod itu sendiri telah berjaya mengurangkan ketinggian enjin hampir 125 kubik inci. Dengan enjin sebesar ini juga, penggunaan lash injap hidraulik bukanlah sesuatu yang istimewa, malah ia wajib kerana motor akan bergegar teruk apabila tiba masa penyelenggaraannya nanti.




Seperti mana kerangka hitamnya, penggunaan krom hitam pada silinder enjin memberi kontras yang dramatik pada sisik penyejuk radiator.

Ia bukan sahaja sebagai tujuan kosmetik, malah memberi laluan sejukan kepada ¾ bahagian enjin di bawahnya. Sebagai tambahan, sistem transmisinya datang bersama pam pelincir dan pam penyejuk terbina dalam.

Kotak komputer enjin mengawal pembakaran menerusi sistem suntikan yang dipasangkan bersama sepasang badan pendikit 46mm dan injap sub throttle.

Sistem penyuntik dalam penyuntik ini memberikan kuasa yang lancar dan linear dengan kadar ekonomikal terbaik berbanding sistem konvensional.

Pemilik jentera ini juga pasti akan berterima kasih dengan sepasang peredam bunyi yang digilap kilat. Malah menunggangnya menjadi lebih stabil dengan crankshaft satu pin dan cagak enjin diperbuat daripada getah.

Model ini baru sahaja dilancarkan oleh Kawasaki. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Kawasaki Malaysia berminat untuk membawa masuk jentera besar ini ke pasaran tempatan.

Pasaran motosikal sebegini di Malaysia agak kecil. Mean Streak telah membuktikannya. Cuma, tentu menarik jika dapat berselisih dengan Vulcan 2000cc di jalan raya Malaysia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: