Chevrolet Captiva – SUV lebih premium






Pasaran segmen SUV atau crossover SUV di Malaysia dilihat melalui evolusi yang agak pantas. Saban tahun, ada sahaja model-model baru diperkenalkan melibatkan segmen yang semakin mendapat tempat di hati pengguna ini.

Bagi pemandu di Malaysia, SUV lebih digunakan sebagai kenderaan harian berbanding untuk kegunaan off-road memandangkan infrastruktur jalan raya yang ada masih boleh dianggap baik. Apatah lagi, harganya yang melebihi RM100,000 membuatkan pemiliknya berfikir 10 kali untuk menggunakannya secara lasak.

Bagi mereka yang memiliki keluarga besar pula, SUV adalah alternatif terbaik sebagai kenderaan yang boleh menempatkan semua ahli keluarga dengan selesa, selain dapat memandu sebuah jentera yang jauh lebih sporty dan bergaya.

Berada sebaris dengan rangkaian model crossover SUV lain yang ada di pasaran seperti Honda CRV, Naza Sorento, Toyota RAV4 dan Hyundai Santa Fe, buah tangan terbaru daripada Chevrolet ini nyata menyerlah.

Dibangunkan daripada platform GM Theta, model yang diberi nama Captiva ini dihasilkan oleh pusat reka bentuk GM Daewoo yang berpangkalan di Bupyeong, Korea Selatan.

Secara kasarnya, fizikal Captiva mempunyai tarikan cukup kuat bagi mereka yang gemarkan kenderaan dengan attitude. DNA kenderaan buatan Amerika Syarikat (AS) memang jelas terserlah pada Captiva, biarpun produk jenama Chevrolet ini bukan lagi dibuat di AS tetapi menerusi syarikat pengeluar kereta miliknya, Daewoo di Korea Selatan.

Namun begitu, bagi pasaran tempatan, Chevrolet membawa unit crossover SUV ini dalam bentuk CBU (diimport sepenuhnya) dari kilangnya di Rayong Thailand.

Kalau hendak diikutkan, jenama Chevrolet bukanlah asing menerusi pengenalan model-model seperti Aveo, Optra, Optra5 dan Aveo Notchback. Ia nampaknya tetap bergelut untuk mendapatkan kepercayaan daripada pengguna Malaysia yang masih selesa menggunakan kenderaan berjenama nasional dan Jepun.

Secara jujurnya, ketika mula-mula memegang stereng Captiva, tiada ekspektasi menggunung yang penulis letakkan padanya. Namun begitu, persepsi itu pantas berubah apabila Captiva mula meluncur di atas jalan raya.

Menjadi antara model terawal keluaran Chevrolet menggunakan unit kuasa diesel, enjin bersesaran dua liter ini terasa cukup responsif. Justeru, menyusuri lebuh raya yang baru siap menuju ke Putrajaya untuk sesi fotografi, sukar benar rasanya untuk membuatkan Captiva mematuhi had laju yang ditetapkan.

Sebabnya mudah, enjin diesel 16 injap VCDi dengan unit turbo intercooler yang dibangunkan oleh GM Daewoo dengan kerjasama GM Powertrain dan VM Motori S.p.A. ini tidak mengecewakan.

Dengan keupayaan menghasilkan 150 hp pada 4,000 rpm dan tork maksimum 320 NM @ 2,000 rpm, tiada keraguan bahawa ia mampu memberikan kuasa secukupnya, biarpun terpaksa mengharung perjalanan berbukit atau memandu di tengah kesesakan jalan raya.

Dipadankan dengan kotak transmisi automatik lima kelajuan tiptronic, senggukan ketika gear ditukar hampir tidak terasa. Malah, enjin ini tidak perlu menunggu lama untuk menghamburkan kuasa yang diperlukan.

Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, gearnya pantas diturunkan dengan jarum rpm hanya berkisar antara 2,000 hingga 3,000 rpm sebelum ia mencapai gear tertinggi.


KONSOL tengahnya menampilkan reka bentuk ergonomik dengan semua butang pendingin hawa dan audio dapat dicapai dengan mudah.




Bagi mereka yang mahu merasai keseronokan memandu secara manual, anda boleh berbuat demikian dengan menolak tombol gear ke sebelah kiri dan mula memilih kedudukan gear sebagaimana yang anda mahukan.

Ruang kabin dengan kapasiti tujuh tempat duduk ini dimonopoli oleh warna hitam yang menyalut tempat duduk, panel sisi dan papan pemukanya.

Sebenarnya, terdapat banyak ciri yang membuatkan Captiva lebih premium berbanding mana-mana pesaingnya. Pendingin hawanya dikawal secara digital, selain paparan digital yang ada di bahagian atas papan pemukanya memaparkan pelbagai maklumat berguna seperti suhu dalam dan luar kabin, serta sejauh mana Captiva boleh bergerak dengan bahan api yang masih bersisa di dalam tangki.

Sistem audionya juga boleh membuatkan anda tersenyum. Kualiti bunyi yang dihasilkan oleh unit pembesar suara cukup bagus untuk memainkan apa juga genre muzik yang anda gemari.

Paparan meter analognya cukup ringkas, tetapi di sebalik latar hitam itu tersembunyi ikon-ikon yang akan menyala apabila butangnya ditekan.

Sementara kemasan warna titanium pada bahagian sisi konsol tengahnya serta krom yang terdapat di tombol audio serta pendingin hawa membuatkannya nampak kemas dan elegan.

Menyumbang kepada kestabilan pemanduan juga ialah sistem suspensi bebas pada keempat-empat rodanya. Roda hadapan Captiva menggunakan khidmat topang MacPherson dengan bar penstabil, manakala roda belakang pula dipasang dengan suspensi jenis Multi-linik, lengkap bersama sistem self leveling.

Sistem ini berfungsi menaikkan suspensi roda belakang lebih tinggi secara automatik apabila anda membawa beban yang berat. Ini bagi memastikan keseimbangan berat antara bahagian depan dan belakang berada dalam keadaan sempurna.

Chevrolet Captiva 2.0L diesel ini ditawarkan pada harga RM156,360 seunit tanpa insurans.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: